DI PINGGIR sebuah kampung berdekatan bandar Beirut, Lebanon, seorang lelaki tempatan terbaring di tengah jalan, mengerang kesakitan dan kepanasan.
Kenderaan pacuan empat rodanya pula telah terbalik di bahu jalan sambil api marak terus membakar bahagian hadapan kenderaan tersebut.
Mujurlah sebuah trak Pasukan Interim Bangsa-Bangsa Bersatu di Lebanon (Unifil) dari Malaysia yang kebetulan melalui jalan itu berhenti menghulurkan bantuan dengan menghantar lelaki tersebut ke pusat perubatan berdekatan.
Walaupun kedua-dua belah kakinya terpaksa dipotong, namun kaum keluarga lelaki tersebut tidak berhenti mengucapkan terima kasih atas keprihatinan pasukan tersebut menyelamatkan nyawa ketua keluarga mereka.
Berikutan itu, nama pasukan tersebut sering menjadi sebutan sekalian penduduk di kampung berkenaan.
"Pasukan Malaysia sangat prihatin, mereka menyelamatkan nyawa penduduk kampung kami semalam," ujar salah seorang penduduk kampung tersebut kepada rakannya dari kampung sebelah.
Rakannya itu dengan tersenyum berkata; "Pasukan tersebut telah lama membantu kami dari segi perubatan, keselamatan dan banyak lagi."
Begitulah antara ribuan pujian yang diperolehi pasukan Batalion Malaysia (Malbatt) dalam melaksanakan tugas-tugas menjaga keamanan di Lenanon, yang terlibat dengan program kemasyarakatan untuk membina semula keupayaan serta keyakinan penduduk negara itu.
Dikenali sebagai Civil Military Cooperation (Cimic), ia merupakan sebahagian daripada Projek Jiwa Murni Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang merangkumi tanggungjawab membina keupayaan, keyakinan dan mengeratkan hubungan antara anggota Malbatt dengan penduduk setempat itu.
Lima elemen penting yang ditekankan Cimic iaitu penerimaan masyarakat tempatan, kos yang efektif, kaedah mendekati, memenangi hati dan minda penduduk tempatan serta menjaga imej organisasi telah diaplikasikan pasukan tersebut dalam menjalankan tanggungjawab mereka di kawasan bergolak itu.
Malbatt 3
Jelas Panglima Angkatan Bersama, Datuk Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin, antara pelaksanaan Cimic yang mendapat liputan meluas media tempatan di Lubnan merupakan kunjungan 27 Datuk Bandar yang mentadbir daerah di kawasan seliaan Malbatt 3.
Katanya, melalui program tersebut, kehadiran Malbatt 3 mendapat reaksi positif daripada semua pemimpin dan penduduk kerana bukan sahaja Malbatt 3 berpeluang memahami budaya masyarakat Lebanon malah penduduk tempatan turut berpeluang merasai makanan dan memahami budaya masyarakat Malaysia dan Brunei di samping mengeratkan keakraban.
Pegawai Undang-undang Malbatt 3, Mejar Valzahmer Errino Mohd. Tahir berkata, pihaknya bukan sahaja intim dengan penduduk tempatan malah semangat setiakawan antara ketiga-tiga cabang ATM telah menaikkan semangat juang setiap anggota Malbatt untuk berbakti di negara asing itu.
"Keramahan pasukan Malbatt bersama penduduk tempatan adalah penting, boleh dikatakan 60 peratus daripada penduduk di kawasan seliaan kami menyenangi dan menghormati kami sebagai benteng keselamatan dan kesihatan mereka.
"Meskipun risiko diserang atau sebagainya semakin meningkat, namun kesiapsiagaan Malbatt dalam menggalas tugas dalam apa jua keadaan semakin kukuh dan terancang. Kami harap Malbatt 4 yang akan memulakan tugas mereka kelak dapat menyambung momentum yang telah kami kekalkan ini," tambahnya.
Malbatt 4
Atur gerak pasukan Batalion Malaysia (Malbatt) ke Lebanon membuktikan masyarakat antarabangsa terus menaruh kepercayaan terhadap kredibiliti serta sikap profesional Angkatan Tentera Malaysia (ATM), kata Panglima ATM, Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd. Zin.
Beliau berkata, penglibatan Malbatt dalam misi pengaman di Lebanon turut menyokong matlamat strategik ATM untuk menjadi pasukan ketumbukan tempur berspektrum penuh.
"Pelaksanaan misi itu juga berupaya menonjolkan kesan sinergi kepada pasukan dalam memberi respons di darat, laut dan ruang siber," katanya.
Justeru, bagi Komander Malbatt 4, Kolonel Badrul Hisham Muhammad, tanggungjawab tersebut akan digalas beliau dan anak-anak buahnya untuk memastikan penerimaan masyarakat terhadap pasukan Unifil lebih-lebih lagi ketika sentimen anti Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) masih menebal dalam kalangan penduduk negara tersebut.
"Terdapat penduduk yang tidak boleh menerima kehadiran pasukan pengaman PBB, pada mereka pertubuhan itu hanyalah propaganda Amerika Syarikat. Kami akan memastikan melalui pendekatan Cimic ini, kami dapat melunturkan stereotaip itu dan bersama membangunkan negara tersebut," kata beliau.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: