Sunday, October 2, 2011

Malam Puisi Utusan di Melaka


Kumpulan kopratasa


MALAM Puisi Utusan tahun ini cukup istimewa kerana acara berprestij itu buat pertama kali diadakan di luar Kuala Lumpur.

Memilih bandar raya bersejarah Melaka sebagai lokasi utama menjadikan program tersebut lebih istimewa kerana dapat memberi peluang kepada masyarakat luar Kuala Lumpur menikmati deklamasi puisi penyair-penyair tersohor.

Malam Puisi Utusan anjuran Kumpulan Utusan dan ExxonMobil dengan kerjasama kerajaan negeri Melaka dan Mydin Mohamed Wholesales Berhad (Mydin) ini diadakan di perkarangan Mydin MITC, Ayer Keroh pada Rabu ini pukul 8.45 malam. Ia turut mendapat kerjasama Persatuan Penulis Melaka (Penama) dan Astro menjadi rakan penyiar rasmi.

Acara deklamasi puisi tidak sama dengan konsert hiburan yang banyak diadakan sama ada di Kuala Lumpur atau di tempat-tempat lain. Deklamasi acara unik dan menikmati puisi juga suatu yang istimewa. Kepada mereka yang mahu menikmati deklamasi puisi, acara di Mydin Mall ini tidak boleh dilepaskan begitu sahaja.

Pada kali ini warga sekitar Melaka Bandaraya Bersejarah berpeluang menikmati deklamasi puisi oleh Sasterawan Negara Datuk Dr. Ahmad Kamal Abdullah (Kemala). Kemala yang baru sahaja dianugerahkan Sasterawan Negara akan mendekmalasikan puisi istimewanya pada acara kali ini. Selain Kemala, Malam Puisi Utusan akan menjadi lebih bermakna dengan kemunculan penyanyi lagu dikir barat Halim Yazid. Peminat dikir barat memang mengenali Halim Yazid yang memberikan suntikan intelektual kepada lirik lagu-lagu dikir barat nyanyiannya.

Tidak ketinggalan penyair bersuara lantang, Syukri Abdullah, Marsli N.O, Lim Swee Tin, Khalid Salleh dan Kumpulan Kopratasa. Mereka mempunyai gaya dan pendekatan tersendiri untuk memukau penonton dan kali ini masyarakat di Melaka Bandaraya Bersejarah berpeluang menyaksikannya.

Penyair-penyair ini mempunyai peminat yang besar dan pengaruh yang hebat. Kerana kehebatan itu mereka ditampilkan dalam Malam Puisi Utusan pertama di luar Kuala Lumpur. Selain itu penganjur juga menampilkan dua insan istimewa, Noor Muha Aziz dan Zuraidah Jaafar yang berbakat besar dalam bidang puisi.

Malam Puisi Utusan ini juga turut memberi pendedahan kepada kalangan artis terhadap puisi. Mereka diundang mendeklamasikan puisi. Antaranya ialah Sharifah Aini, Rozita Che Wan, Zamani Slam, Hazama AF9. Puisi adalah satu genre sastera yang paling hebat. Kerana itu menjadi matlamat penganjur untuk mendekatkan golongan artis dengan karya sastera yang hebat. Semoga dengan mendekati puisi, artis-artis boleh menambah nilai keterampilan dalam karya mereka.

Kerana itu penyertaan mereka dalam acara ini tidak boleh diukur kemampuan mendeklamasi tetapi kesediaan untuk menghayati genre seni yang luar kemahiran mereka. Keyakinan mereka untuk mendeklamasi puisi lebih penting daripada mutu persembahan. Peminat juga boleh melihat penampilan berbeza artis yang mereka minati pada Malam Puisi Utusan di Melaka.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: