Tuesday, October 4, 2011

Labur RM20j bina loji lupus sisa klinikal

 RAMACHANDRAN  bersama  Takahashi menunjukkan pelan operasi loji yang akan dibina  pada majlis memeterai perjanjian di Rawang, semalam.
RAMACHANDRAN bersama Takahashi menunjukkan pelan operasi loji yang akan dibina pada majlis memeterai perjanjian di Rawang, semalam.
SRI Veeran Engineering Works Sdn Bhd, kontraktor penyelenggaraan loji simen dan pengeluar barangan berkaitan penyelenggaraan, melabur RM20 juta untuk membina loji pelupusan sisa klinikal teknologi hijau bertaraf dunia yang dijangka beroperasi Julai tahun depan di Negeri Sembilan.

Pengarah Urusannya, Datuk Dr K Ramachandran, berkata pembinaan loji perintis teknologi hijau dalam industri pelupusan sisa buangan dibuat dengan kerjasama firma teknologi dari Jepun, Tesco Co Ltd itu, akan bermula Januari ini.
Apabila beroperasi, katanya, sistem pelupusan itu dapat memproses sehingga 73,500 tan sisa buangan klinikal setahun dengan kapasiti ruang penyimpanan beku sehingga 400 tan dalam satu masa.
“Ia adalah loji terbesar yang berkeupayaan memproses sisa klinikal sehingga 24 tan sehari menerusi aplikasi teknologi hijau pertama di Malaysia.

“Pembakaran yang dilaksanakan juga bebas pencemaran udara kerana melalui proses kualiti terbaik selain pengendalian sisa buangan juga tidak membabitkan air.

“Malah sistem pemprosesan yang dilaksanakan juga tidak menjejaskan alam sekitar,” katanya pada sidang media selepas majlis memeterai perjanjian kerjasama itu di Rawang, Selangor, semalam.

Pada majlis itu Ramachandran mewakili Sri Veeran manakala Tesco diwakili Ketua Eksekutifnya, Kyuji Takahashi.
Mengulas lanjut, Ramachandran, berkata loji dengan keluasan binaan 36,000 kaki persegi itu dijangka dapat menampung keperluan pelupusan sisa klinikal dari beberapa hospital swasta di sekitar Selangor, Perak, Negeri Sembilan, Melaka dan Pahang.

“Semua proses pelupusan yang dilaksanakan akan menepati syarat yang ditetapkan dan ia dipantau sepenuhnya oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS),” katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, Sri Veeran bercadang untuk membina loji sama di zon Timur dan Selatan Semenanjung selain mensasarkan untuk membuka cawangan di Sabah atau Sarawak selepas tiga tahun loji di Negeri Sembilan beroperasi.

“Loji ini akan menjadi penanda aras bagi projek masa depan di beberapa negeri lain di seluruh negara. Namun kami optimis dengan projek ini memandangkan ia adalah cabang perniagaan yang berpotensi selaras teknologi yang diterapkan oleh kami menerusi kerjasama dengan Tesco,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: