Sunday, October 2, 2011

Konsert Jamal Abdillah pungut RM1.9 juta


KALI terakhir muncul dalam konsert di Singapura adalah pada tahun 1983. Tahun ini dia kembali lagi, kekal dengan vokal dan personaliti yang mempesona.


TEMPOH 28 tahun merupakan suatu penantian yang sangat lama buat peminat Jamal Abdillah untuk bertemu kembali dengan penyanyi pop tersebut.

Kali terakhir Jamal menjejakkan kaki di Singapura adalah pada 1983.

Namun, peluang penyanyi kelahiran Ipoh, Perak itu mengadakan konsert solo pertamanya di negara pulau itu pada hujung minggu lalu mampu mengubati kerinduan peminatnya di sana.

Biarpun menghiburkan peminatnya atas nama konsert amal, Jamal tetap mampu menggegarkan Stadium Tertutup Singapura dengan lagu-lagu malar segarnya.

Selain memanjatkan kesyukuran atas kejayaan konsert tersebut, Jamal turut berbesar hati kerana dapat menjayakan sebuah konsert serampang dua mata.

"Syukur kerana saya dapat menjayakan konsert pada malam ini. Dengan apa yang saya ada (kutipan) ini, akan saya gunakan untuk membantu orang yang memerlukan.

"Selalunya apa yang kita kongsikan bersama orang lain akan kita terima kembali," kata Jamal ketika sidang akhbar bersama wartawan Malaysia dan Singapura sejurus selepas konsert.

Konsert Amal Akustikasih Jamal Abdillah pada malam itu dianjurkan oleh pusat kebajikan Jamiyah Singapura untuk menyalurkan dana kepada mereka yang memerlukan.

Penggemar lagu-lagu pop 1980-an di Singapura nyata tidak sabar menanti kelibat Jamal malah stadium berkapasiti 7,500 orang itu mulai penuh beberapa jam sebelum konsert bermula.


ALBUM baru Jamal adalah hadiah buat kerinduan para pecintanya.


Konsert itu ternyata berjaya apabila penganjurnya memungut hampir S$800,000 (RM1.9 juta) berbanding jangkaan awal sekitar S$500,000 (RM1.2 juta).

Sorakan penonton sedikit menenggelamkan vokal Jamal saat dia melontarkan lagu Gadis Melayu sebagai pembuka pentas tepat pada pukul 8.30 malam.

Pada malam itu, Jamal tidak sedikitpun menunjukkan riak penat walaupun sudah mendendangkan hampir 30 buah lagu daripada sejumlah albumnya.

Antara dendangan yang mengusik jiwa penonton termasuklah lagu Kau Lupa Janji, Perjalananku, Di Sudut Kamar Hatiku, Kekasih Awal Dan Akhir serta Penghujung Rindu.

Persembahan pada malam itu lebih menyengat apabila diiringi oleh orkestra yang dipimpin oleh pengarah muzik, Eddie Marzuki bersama 12 pemuzik.

Mengembalikan nostalgia Studio Jalan Ampas, Jamal turut mendedikasikan lagu-lagu popular seniman Tan Sri P. Ramlee dengan lenggoknya tersendiri.

Madley lagu-lagu seperti Di Mana Kan Ku Cari Ganti, Getaran Jiwa, Putus Sudah Kasih Sayang dan Tunggu Sekejap mampu mengembalikan nostalgia yang dekat dengan jiwa setiap jiwa Melayu di Singapura.

Seterusnya Jamal turut menterjemahkan apresiasinya kepada penyanyi dan komposer Datuk Ahmad Nawab dengan menyanyikan lagu Sepi Seorang Perindu dan Keluhan Perantau.

Sedang penonton masih khayal dengan lantunan vokal bertenaga penyanyi berusia 51 tahun itu, Jamal mempersembahkan lagu duetnya bersama dengan artis Singapura, Farshihah Kamsani dan Nana dengan lagu Seri Langkat, Kehebatan Cinta dan Sandarkan Pada Kenangan.

Duda dua anak itu ternyata bijak berkomunikasi di pentas sambil bercanda nakal untuk memilih gadis Singapura sebagai suri hati.

"Apa salahnya kalau ada gadis Singapura yang suka pada saya," katanya sambil disambut tepukan dan gelak ketawa daripada penonton.

Lagu yang mengungguli carta popular pilihan peminat pada malam konsert tersebut iaitu Azura dan Seroja turut dinyanyikan tanpa kecacatan vokal.

Saat Jamal melontarkan lagu pertama sehinggalah ke akhir tirai konsert, peminat-peminatnya yang terdiri daripada usia kanak-kanak sehinggalah warga emas tidak henti bersorak dan menyanyikan bersama lagu-lagu yang didendangkan.


SORAKAN dan tepukan tidak berhenti mewarnai perjalanan konsert yang dinanti-nantikan ramai ini.


Sebelum melabuhkan tirai konsert, Jamal turut memperkenalkan lagu-lagu di dalam album terbaharunya, Raja Pop 2 seperti Bahagia Sementara dan Jangan Kau Rayu di samping lagu-lagu lain seperti Rayuan Maut, Rundung Derita, lagu Rindu dan Secupak Dua Cupak.

Biarpun sudah berada di pasaran, Jamal sempat berseloroh dengan peminatnya bahawa dia masih belum berkesempatan melihat hasil terbaharunya itu lagi.

Dalam album tersebut turut dimuatkan lagu-lagu popular tahun 1950-an dan 1960-an yang dinyanyikan semula seperti Perasaan, Tangisan Di Waktu Malam dan Manis Manja.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: