KEHIDUPAN di dunia ini penuh dengan dugaan dan cabaran. Segala dugaan dan cabaran itu mestilah dihadapi dengan kesabaran. Sabar dalam erti kata di sini betah menahan penderitaan sama ada kesakitan atau kesudahan hidup.
Orang yang sabar akhirnya akan berjaya mengatasi segala permasalahan hidup. Puasa sebulan juga mendidik umat Islam dengan kesabaran.
Sifat sabar ini mestilah dididik dan dilatih dalam diri seseorang sejak kecil. Tanpa pendidikan yang berterusan sifat ini sukar disemai dalam hati dan diri seseorang.
Tingkat kesabaran yang paling tinggi adalah sabar ketika menghadapi segala ujian dan malapetaka dalam usaha mencari keredaan Allah.
Sabar adalah tahan menderita terhadap apa yang tidak disenangi dengan reda dan menyerah diri kepada Allah.
Dalam menjalani kehidupan seharian, sifat sabar sangat penting. Oleh itu, pendidikan sifat sabar ini boleh dilakukan secara berterusan sejak seseorang itu masih kecil lagi.
Sebagai contoh, sabar dalam menghadapi perjalanan dan kesesakan di jalan raya. Kesabaran menjadi faktor utama bagi mengelakkan kemalangan.
Nabi SAW bersabda yang bermaksud: Bersabar adalah cahaya yang gilang-gemilang. (riwayat Muslim)
Oleh itu, bersabar yang hakiki adalah sabar dengan menyerahkan diri kepada Allah dan menerima ketetapan Allah dengan berlapang dada.
Ulama berbeza pendapat tentang definisi sifat sabar yang utama ini. Menurut Imam Al-Ghazali , hakikat sabar ialah tahan menderita gangguan dan tahan menderita ketidaksenangan orang.
Sesiapa yang mengeluh dari buruknya kelakuan orang lain, yang demikian menunjukkan atas buruknya kelakuan sendiri kerana budi pekerti yang baik adalah sanggup menderita daripada senang.
Beliau berkata, sabar itu kukuhnya dorongan agama dalam menghadapi dorongan hawa nafsu dan hal itu ada dua jenis iaitu:
Pertama, jasmani seperti menderita kesukaran dalam beramal dan beribadah yang demikian itu terpuji jika sesuai dengan syarak.
Kedua, rohani adalah sabar menahan nafsu daripada keinginan tabiat manusiawi dan ajakan hawa nafsu, sabar menahan syahwat perut dan faraj, dinamakan 'Iffah.
Selanjutnya beliau berkata: "Ketahuilah bahawasanya sabar itu adalah suatu tingkat dari tingkat-tingkat agama, dan suatu kedudukan dari kedudukan orang-orang yang berjalan menuju kepada Allah SWT".
Imam As-Syafie memberi wasiat: "Sabar menghadapi musibah adalah sebesar-besar erti sabar, di mana sabar itu sendiri memerlukan suatu kesabaran pula.
"Adapun bala dan musibah, ia menunjukkan adanya perhatian dan kasih sayang Allah SWT. Oleh itu syukurlah ia kerana syukur yang sedemikian setinggi-tinggi erti syukur".
Segala ujian Allah SWT untuk menguji keimanan seseorang manusia. Oleh itu, jangan ingkar dan kufur terhadap pemberi nikmat dan rahmat iaitu Allah SWT.
Selain itu, jangan mengeluh apabila ditimpa musibah dan ingat di kala susah dan lupa kepada Allah SWT pada masa senang.
Di dalam Al-Quran Allah SWT menyebutkan kata sabar lebih 70 kali. Allah SWT memberikan sifat orang yang sabar dengan beberapa sifat yang baik dan Allah SWT berjanji kepada mereka akan memberikan darjat yang tinggi berupa bahala kebaikan dan bantuan.
Allah SWT berfirman yang bermaksud: Dan Kami sesungguhnya akan memberi balasan kepada orang-orang yang sabar dengan pahala yang lebih baik daripada apa yang telah mereka kerjakan. (an-Nahl: 96).
Dalam ayat yang lain Allah SWT berfirman yang bermaksud: Sesungguhnya hanya orang-orang yang sabarlah yang dicukupkan pahala mereka tanpa batas. (az-Zumar: 11).
Jelaslah sifat sabar amat penting diterapkan dalam diri setiap umat Islam bagi menghadapi apa juga kesusahan dan kesukaran dalam hidup.
Hanya mereka yang tabah dan sabar sahaja akan dapat mencapai kejayaan cemerlang di dunia dan akhirat.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: