SEORANG pelanggan melihat skrin iPad menunjukkan gambar Steve Jobs ketika seluruh dunia meratapi kematian pengasas Apple, di Prague, semalam.
KUALA LUMPUR: Kematian pengasas Apple, Steve Jobs, 56, akibat kanser pankreas disifatkan sebagai kehilangan besar kepada industri teknologi komunikasi maklumat (ICT) global apabila kebanyakan pengguna dan peminat gajet keluaran syarikat itu terkejut dengan pemergian mendadak ikon Lembah Silikon itu.
“Pemergian Jobs adalah kehilangan besar kepada masyarakat global kerana beliau adalah individu yang berjaya menjadikan teknologi ‘lebih menarik’ untuk dinikmati.
“Perubahan dibawa Jobs seperti mengadunkan teknologi dan seni dengan memahami keperluan serta kehendak pengguna. Ia ibarat menjadikan lukisan Michelanglo kepada sesuatu (teknologi) yang boleh dinikmati ramai (melalui gajet dan teknologi Apple),” katanya mengulas mengenai kematian ikon Lembah Silikon itu, semalam.
Pengarah Komunikasi Korporat Perbadanan Pembangunan Multimedia (MDeC), T Vijayaratnam pula menyifatkan pemergian Jobs sebagai penamat kepada era yang mana teknologi dihargai pada peringkat tertinggi.
“Beliau (Jobs) menjadi sumber inspirasi kepada ramai pihak dan pemergiannya amat mengejutkan masyarakat dunia, terutama pengguna Apple,” katanya.
Pengerusi Telekom Malaysia Berhad (TM), Datuk Dr Halim Shafie, menyifatkan Jobs sebagai usahawan berwawasan dan perintis kepada teknologi yang memberikan impak besar kepada masyarakat dunia, jauh melampaui Lembah Silikon.
“Beliau akan terus diingati sebagai tokoh perniagaan tersohor, satu dalam sejuta di atas pelbagai inovasi yang beliau bawakan kepada pasaran, mencipta revolusi, mengubah cara kita menggunakan teknologi dan maklumat setiap hari menerusi peranti gaya hidup terhebat, namun tetap bermanfaat,” katanya.
‘Perginya ikon Era Baru’
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menyifatkan kematian Pengerusi Apple Inc, Steve Jobs sebagai kehilangan besar terhadap masyarakat dunia.
Dalam laman sosial twitter.com, Najib berkata, Jobs selaku pengasas bersama dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Apple, insan yang boleh dianggap sebagai ikon Era Baru dunia.
“Kematian Steve Jobs satu kehilangan besar bukan saja terhadap Apple, tetapi juga masyarakat global. Beliau adalah ikon sejati Era Baru,” katanya.
Jobs, 56, menghembuskan nafas terakhirnya pagi semalam selepas bertarung dengan penyakit barah yang dihidapinya sejak 2004.
Beliau menjalani pembedahan pemindahan hati pada 2009 dan sebelum meletak jawatan sebagai CEO pada Ogos lalu selepas beberapa kali terpaksa mengambil cuti panjang akibat masalah kesihatan.
Jobs mengemudi Apple menjadi gergasi syarikat ulung mengeluarkan pelbagai peranti canggih daripada komputer peribadi kepada iPod dan iPhone.
Apple mengumumkan berita kematiannya tanpa memberikan sebarang punca kematian secara khusus.
Steve Jobs tunjuk rahsia terakhir Apple
SAN FRANCISCO: Steve Jobs pasti sentiasa dikaitkan dengan syarikat komputer Apple sebagai pengasas bersama meninggalkan kesan mendalam kepada industri komputer dunia kerana keupayaannya menghasilkan produk berteknologi tinggi serasi dengan keperluan pengguna.
Kematiannya pada usia 56 tahun kelmarin menyusuli sidang media terakhirnya menyaksikan beliau menuding kepada rahsia Apple unggul dalam pasaran komputer, iaitu satu skrin memaparkan gambar gergasi petunjuk arah di persimpangan jalan raya berlabel ‘teknologi’ dan ‘seni liberal.’
Apple membuat pengumuman mengenai kematian Jobs tidak lebih sebulan selepas beliau menyerahkan tugas kepada Ketua Pegawai Operasi, Tim Cook.
Jobs dikenali sebagai seorang yang amat mengutamakan kesempurnaan hingga personaliti itu menjadi ‘jiwa’ syarikat. Beliau dilahirkan pada 24 Februari 1955 di San Francisco oleh seorang ibu tunggal dan menjadi anak angkat satu pasangan dekat Mountain View.
Tempat beliau dibesarkan, sebuah kawasan dusun itulah yang akhirnya menjadi hab teknologi dikenali sebagai Lembah Silikon (Silicon Valley).
Sebagai pelajar sekolah tinggi, beliau menghadiri syarahan di syarikat komputer Hewlett-Packard di Palo Alto dan mendapat kerja musim panas bersama jurutera Steve Wozniak.
Jobs meninggalkan Kolej Reed di Portland, Oregon selepas satu semester, tetapi masih menghadiri kelas, termasuk kaligrafi yang dianggapnya inspirasi kepada Macintosh kerana dicipta dengan pelbagai jenis huruf.
Selepas menjelajah India untuk mencari ketenangan, beliau bekerja sebagai juruteknik permainan video Atari dan menyertai ‘Kelab Komputer Homebrew’ bersama Wozniak yang turut gagal menghabiskan pelajarannya di kolej.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: