Friday, October 28, 2011

Karnival BEST bermula hari ini


SEBAHAGIAN daripada khemah yang dipasang di tapak Karnival BEST di Laman 1Malaysia, Presint 2, Putrajaya.


KUALA LUMPUR – Karnival Buat Elok Saja Tau (BEST) anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) yang berlangsung di Laman 1Malaysia, Presint 2, Putrajaya membuka tirainya hari ini.

Karnival selama tiga hari yang diadakan sehingga Ahad ini menyediakan pelbagai aktiviti menarik kepada pengunjung bersesuaian dengan temanya iaitu ‘Hiburan Santai Keluarga’.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pembangunan Keluarga, Sosial dan Komuniti Jakim, Zakuan Sawai berkata, orang ramai digalakkan datang dengan keluarga masing-masing kerana karnival tersebut adalah platform terbaik kepada mereka untuk meluangkan masa bersama.

“Pelbagai acara disediakan khusus untuk golongan keluarga menyertainya bagi merapatkan ukhuwah sesama mereka.

“Antara pertandingan yang disediakan khas untuk golongan berkeluarga ialah rakaman Program Adik-Adikku pada hari kedua karnival dan pertandingan mewarna keesokan harinya,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam.

Pelbagai aktiviti menarik disediakan untuk para pengunjung sepanjang tiga hari karnival tersebut berlangsung seperti senamrobik BEST, forum perdana, pertandingan Juara Nasyid BEST dan Battle BEST of the Band.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: