TERTEKAN adalah situasi yang sering dihadapi oleh pelajar apabila menjelang peperiksaan. Keadaan itu akan mengakibatkan perubahan sikap dan tingkah laku mereka yang ketara seperti tidak selera makan, sensitif, tidak ingin bergaul dan sebagainya.
Masalah ini dikatakan boleh mengganggu tumpuan pelajar menghadapi peperiksaan malah boleh merosakkan masa depan mereka sendiri sekiranya tidak ditangani dengan baik.
Oleh itu, kebijaksanaan ibu bapa dan guru yang mendidik penting dalam memastikan dan memantau perkembangan mereka agar sentiasa dalam keadaan yang baik dan terurus.
Guru Sekolah Menengah Kebangsaan Segambut Jaya, Abdul Halim Abdullah berkata, selain memberi tunjuk ajar kepada murid, cabaran seorang guru adalah mengawasi mereka agar tidak berhadapan sebarang masalah ketika menjelang hari peperiksaan.
Katanya, guru perlu memahami keadaan pelajar dan tidak boleh terlalu mendesak sesuatu di luar kemampuan pelajar itu sendiri.
Malah guru perlu mengajar mereka dengan kaedah yang mudah untuk diterima dan difahami.
"Kebijaksanaan guru penting dalam mendidik dan mendorong kejayaan pelajar kerana di peringkat umur itu, mereka sangat memerlukan panduan yang jelas untuk membawa mereka kepada kejayaan," katanya kepada Mega, baru-baru ini.
Beliau ditemui pada majlis bacaan Yasin, solat hajat dan munajat sempena menghadapi tiga peperiksaan utama.
Peperiksaan itu adalah Penilaian Menengah Rendah (PMR) yang bermula hari ini, Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mulai 14 November ini dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) mulai 21 November 2011.
Majlis itu anjuran Jabatan Pelajaran Wilayah Persekutuan (JPWP) dengan kerjasama Masjid Negara.
Abdul Halim berkata, salah satu kaedah terbaik bagi mengelak pelajar tertekan adalah melakukan solat hajat dan doa munajat seperti yang dianjurkan dalam majlis itu.
"Walaupun program solat hajat dan bacaan doa munajat telah diadakan di peringkat sekolah, namun dengan adanya majlis ini dapat mengumpulkan pelajar dari seluruh sekolah menengah sekitar Wilayah Persekutuan untuk sama-sama bermunajat memohon pertolongan daripada Allah," kata guru agama itu.
Sementara itu, seorang bapa, Mohd. Amin Hashim berkata, mendidik anak bukanlah perkara yang mudah kerana ia merupakan amanah Allah dan ibu bapa bertanggungjawab mencorakkan masa depan anak-anak.
Majlis itu katanya, dapat meningkatkan keyakinan anak sebagai persediaan dalaman mereka untuk menghadapi peperiksaan dengan tenang.
"Segala perbuatan kita akhirnya perlu kembali kepada Allah. Moga dengan majlis solat hajat dan doa munajat yang disertai pelajar bersama ibu bapa dan guru ini lebih dimakbulkan dan tercapai," katanya yang mengiringi anaknya, Muhammad Akram, bakal menduduki PMR.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: