Monday, October 10, 2011

Jalan mendap ancam nyawa


SEORANG penduduk, Ruhamidah Abdullah menunjukkan rekahan di jalan Jelawang-Gua Musang, Kampung Ingin Maju, Kuala Krai semalam.


KUALA KRAI – Penduduk dan pengguna yang melalui jalan Jelawang-Gua Musang di Kampung Ingin Maju di sini bimbang dengan keselamatan mereka setiap kali melalui jalan itu yang semakin rosak dan mendap.

Kerosakan sepanjang kira-kira 30 meter itu menyaksikan banyak lubang besar terbentuk ekoran hujan lebat sejak minggu lalu.

Tinjauan Kosmo! mendapati jalan tersebut mengalami pemendapan dan rekahan pula semakin membesar sehingga 25 sentimeter.

Kerosakan jalan itu boleh menjejaskan keselamatan penduduk di tiga buah kampung iaitu Kampung Ingin Maju, Bertam Baru dan Tok Sin untuk ke Gua Musang atau Kota Bharu memandangkan ia merupakan laluan utama ke destinasi terbabit.

Penduduk Kampung Ingin Maju, Mohd. Ridzuan Mat Din, 32, berkata, jalan berkenaan ditabur batu kerikil dipercayai untuk diturap semula pada tahun lalu tetapi sehingga sekarang ia tidak dilaksanakan.

“Beberapa hari lalu, saya lihat jalan ini sudah merekah dan tanahnya sudah mendap akibat hujan lebat yang berterusan.

“Hari ini pula saya terkejut melihat ia terus mendap dan merekah agak dalam. Ini boleh membahayakan nyawa pengguna,” katanya ketika ditemui semalam.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: