Sunday, October 9, 2011

Indah untuk minda & badan




SEMEMANGNYA menakjubkan kerana hampir keseluruhan ruang pusat kecantikan spa ini dipenuhi dengan susunan fasiliti berwarna merah dan putih sehingga menyerlahkan keindahannya.

Manakala penataan ringkas menghiasi siling setiap bilik dan laluan di situ menjadikan Spa Kulit Clarins di pusat beli-belah KLCC unik dan menarik.

Mahukan diri anda dibelai dan mendapat pengalaman yang pasti sukar dilupakan, pusat kecantikan ini menawarkan dekorasi dan rawatan inovatif serta mewah.

Tenang dan santai. Itulah suasana yang dapat digambarkan sebaik sahaja pintu automatik spa ini dibuka untuk anda.

Walaupun berada di tengah-tengah kesibukan kota, Kuala Lumpur, layanan dan suasana di sini mampu mengurangkan tekanan.

Suasana baru berkonsepkan membuat pelanggan berasa selesa seperti di rumah. Terdapat empat ruang utama yang merangkumi bilik rundingan, rawatan, minum teh dan bahagian penjagaan kecantikan di rumah.

Spa ini mempunyai lima bilik rawatan dengan bilik mandi khusus untuk rawatan badan.

Selesa

Merasai layanan istimewa di sini, tetamu terlebih dahulu dihidangkan teh panas. Sambil melihat susunan kemas sofa putih, tentu sekali badan dan minda dapat direhatkan dengan selesa. Pandangan terpaku kepada gambar model yang menghiasi ruang berehat sama seperti model di pintu masuk. Tanpa solekan tebal, wanita itu masih kelihatan jelita. Mungkin pengalaman itu yang mahu Clarins tawarkan kepada pengunjung.

Lantai kayu berwarna coklat nampak ringkas dan menjadikan ruang spa ini luas.

Ternyata Clarins mahu memberi sentuhan dan pengalaman baru selain menawarkan rawatan terbaik.

Rawatan

Melangkah masuk di ruang bilik rawatan yang hanya bermain dengan warna putih, anda dilayan dengan menggabungkan kepakaran penjagaan kulit dan teknik urutan tangan Clarins yang unik.

Suasana rawatan menjadi lebih harmoni setiap kali mata menangkap warna biru langit pada siling bilik dengan alunan muzik lembut.

Aroma ekstrak tumbuh-tumbuhan dan minyak aromatik pula menjanjikan pengalaman paling indah untuk minda dan badan.

"Meluangkan masa untuk rawatan muka dan badan bukan satu kemewahan tetapi keperluan dalam dunia hari ini. Pada zaman sekarang, rasa sihat sejahtera bermula dengan menjaga diri sendiri. Di Clarins, misi kami adalah untuk memastikan kesejahteraan anda dan menambah kejelitaan anda,” ujar Pengarah Urusan Clarins, Dr. Olivier Courtin.

Kepakaran

Bagi menceriakan pengalaman anda, spa ini menawarkan segala rawatan yang menarik dan disesuaikan dengan keperluan khusus kulit.

Dengan kepakaran tangan pakar terapi kecantikan Clarins, ia memberikan kesan dan hasil optimum.

Rawatan eksklusif di sini dengan persekitaran yang menakjubkan dan tumpuan kepada penekanan secara terperinci mencipta suasana yang memberi ketenangan minda.

Selain daripada itu, rawatan Clarins mengambil kira segala aspek untuk mengoptimumkan manfaat rawatan.

Justeru itu, ia telah mencipta suasana yang akan membangkitkan keceriaan anda menerusi lima deria (penglihatan, bau, sentuhan, pendengaran dan rasa). Ia membantu merangsang deria anda dengan pengalaman yang menjanjikan keceriaan dan ketenangan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: