Friday, October 21, 2011

Hidangan ikut cita rasa


Zakaria Ismail (kanan) dan Chef Rosmandi Ismail bersama sajian makanan Melayu Thailand yang menyelerakan.


MASAKAN Melayu Thai bukan lagi asing kepada masyarakat pelbagai kaum di negara ini.

Melihat pada menunya sahaja membuatkan sesiapa sahaja terbuka selera tidak kira ketika makan tengahari mahupun makan malam.

Sajian sama jadi taruhan di Restoran Suasa terletak di Hotel Habib, Kota Bharu, Kelantan yang menawarkan Melayu Thailand terpilih untuk para pengunjungnya sepanjang awal September lalu hingga hujung tahun ini.

Menurut Pengurus Hotel, Zakaria Ismail, sajian tersebut dipilih kerana menyedari ia sememangnya menjadi kegemaran kebanyakan rakyat Malaysia tanpa mengira kaum.

"Falsafah kami menyediakan makanan untuk dinikmati oleh semua. Memandangkan masakan Melayu Thailand boleh diterima oleh semua golongan daripada kanak-kanak hinggalah orang tua rasanya ia adalah pilihan yang tepat," katanya.

Beliau mengakui aspek rasa dan aroma masakan amat dititikberatkan agar ia setanding dengan masakan sendiri di rumah.

Sebab itu juga menu yang ditawarkan berbentuk hidangan secara set yang boleh dipilih pelanggan mengikut cita rasa dan kesesuaian mereka.

"Dengan cara ini pelanggan tidak perlu berebut untuk beratur mengambil makanan sebaliknya terus membuat tempahan mengikut selera mereka.

"Pelanggan juga dapat menikmati makanan segar yang baru dimasak dan harga yang dikenakan juga berbaloi dengan keenakan yang dinikmati," katanya.

Semua hidangan Restoran Suasa disediakan oleh tukang masak berpengalaman iaitu Chef Rosmandi Ismail yang dibantu oleh empat pembantu.

Menariknya di restoran ini semua perencah yang digunakan untuk memasak dibuat sendiri oleh chef menggunakan bahan-bahan mentah yang segar, herba serta rempah asli.

"Semua ini penting bagi memastikan rasanya dan kualiti masakan betul-betul istimewa seperti masakan di Thailand," kata Chef Rosmandi.

Malah, bagi memastikan aroma masakan menyelerakan dan rasa lebih sedap, semua bahan-bahan terutama perencah masakan tidak dikisar dengan mesin sebaliknya menggunakan cara tradisional iaitu sama ada dihiris atau ditumbuk.

Sementara itu bagi pengunjung yang baru pertama kali melangkah masuk jangan lupa mencuba sup ekor yang merupakan sajian wajib di restoran ini.

Sajian lain termasuk sambal sotong, tomyam, ikan goreng bersama mangga muda, ayam goreng halia, kailan goreng dan banyak lagi.

Selesai menjamu selera mintalah segelas Teh Tarik Dangdut. Aroma teh pekat yang ditarik secukupnya menjadi satu lagi keistimewaan di restoran ini.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: