Saturday, October 8, 2011

Gaya Arab cita rasa kita

UNIK...pemilihan busana rona gelap atau pastel sesuai untuk pengantin yang inginkan tema padang pasir.
UNIK...pemilihan busana rona gelap atau pastel sesuai untuk pengantin yang inginkan tema padang pasir.

SONGKET yang dulunya sinonim dengan rekaan tradisional kini melalui proses penyerapan menerusi potongan dan teknik jahitan agar menjadi lebih kontemporari seiring peredaran zaman.

Jika dulu, mempelai memilih padanan baju kurung dan kebaya songket, kini fabrik tradisi ini menjadi lebih moden dan bergaya.

  • Foto

    GAYA ARAB...tudung dengan perhiasan kepala serta niqab menyerlahkan gaya pengantin Timur Tengah.

  • Foto

    MEMPESONA...keanggunan mempelai bukan saja pada padanan gaun tetapi pada tudung yang dibuat bentuk sanggul serta diletakkan perhiasan.

  • Foto

    TERSERLAH...gaun warna pastel dengan perincian pada pinggang sesuai untuk mempelai berniqab.

Selain penggunaan songket, potongan ala gaun kembang menggunakan teknik lipatan dan alunan bersama helaian fabrik renda dan sutera sifon menjadikan pakaian ini terletak cantik dan ‘jatuh’ pada tubuh si pemakai.

Lebih istimewa, menjelang 2012 perkahwinan bertemakan padang pasir semakin mendapat perhatian disebabkan tampak sopan, elegan dan menepati ciri wanita Muslimah.


Menurut pemilik butik Udaimatunnur, Ismail Abd Rahman, perkahwinan ala Puteri Balqis dengan pengantin memakai niqab walaupun masih terlalu baru, semakin mendapat perhatian terutama pada majlis pernikahan disebabkan gaya sebegini mampu menonjolkan kejelitaan mempelai selain nampak suci dan sopan.


“Kini kebanyakan mempelai berani memilih perkahwinan tema Arab terutama ketika majlis pernikahan.

“Namun pemilihan warna sangat penting kerana akan mempengaruhi penampilan.

“Tidak semua orang boleh memakai warna yang sama. Untuk gaya Timur Tengah, warna gelap seperti kelabu, coklat, hitam dan perak ditambah rona putih dan krim, sesuai untuk semua jenis kulit,” katanya.

Ismail yang berpengalaman sebagai perunding perkahwinan memberitahu terdapat beberapa perkara yang harus diberi perhatian sebelum memilih tema busana.

Bagi mendapatkan padanan sesuai, rekaan harus mengikut bentuk badan, ketinggian serta warna kulit mempelai.

“Contohnya, mempelai berkulit gelap tidak sesuai memakai warna jingga seharusnya mereka mengenakan rona perang cair atau krim. Begitu juga dengan pemilihan tudung, tidak semestinya mengikut rona baju sebaliknya ton warna bersesuaian. Ikatan tudung pula sangat dipengaruhi bentuk muka.

“Bagi mempelai berwajah bulat, mereka digalakkan memakai tudung bersengkuap supaya wajah nampak bujur. Pilih rona gelap berbanding cerah bagi menyembunyikan kekurangan wajah,” katanya.

Bagi gaya padang pasir, Ismail tidak mengambil inspirasi seratus peratus daripada gaya Arab, sebaliknya menggabungkan unsur moden supaya boleh diterima wanita. Jika diikutkan, gaya Arab mengetengahkan juntaian perhiasan kepala yang sarat dan berwarna. Busana mereka pula adalah jubah yang diperindahkan perincian manik mewah.

“Gaya sebegini mungkin agak janggal di Malaysia kerana mempelai lebih gemar bersederhana dalam berpakaian. Sebab itu dalam kebanyakan rekaan, saya memilih teknik lipatan dengan penggunaan fabrik bermutu seperti sifon ditambah manik serta batu permata pada bahagian tertentu bagi menampakkan imej sopan sesuai pengantin Muslimah.

“Untuk tudung, saya lebih gemar memilih ikatan kemas dengan lilitan selendang
ditambah perhiasan kepala.

Ini kerana gaya sebegini akan lebih menonjolkan keistimewaan mempelai. Mereka tidak perlu bimbang kerana penggunaan layah akan membuatkan pengantin berada dalam kelas tersendiri,” ujarnya.

Selain pakaian, solekan juga memainkan peranan penting terutama bagi mempelai
berniqab, solekan mata mampu menonjolkan keanggunan raja sehari kerana pada bahagian itu menjadi titik tumpu tetamu.

“Jika sudah memilih pakaian sebaiknya, mereka memilih jurusolek sesuai yang tahu konsep diinginkan. Kemahiran menyolek bahagian mata adalah kunci kepada kejelitaan selain membuat teknik bayangan pada wajah terutama pengantin berwajah bulat dan comel,” katanya.

Butik Udaimatunnur bukan saja menerima tempahan baju pengantin, tetapi turut menyediakan perkhidmatan sewa atau membeli baju siap. Harga untuk sepasang baju yang ditempah adalah mengikut bajet pelanggan manakala kadar sewa bagi sepasang
baju adalah RM1,500 dan RM2,000 ke atas untuk pengantin lelaki dan wanita.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: