PROGRAM Tabung Kami Prihatin Karakter Bangsa anjuran ESQ Leadership Center Sdn. Bhd. (ESQ) dengan kerjasama Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) dilihat satu lagi jalan penyelesaian kepada gejala sosial golongan remaja.
Pengarah Besar ESQ, Marhaini Yusoff berkata, program tersebut yang diadakan untuk kali kedua adalah bertujuan membantu dan membimbing golongan remaja serta anak muda yang bermasalah kembali ke pangkal jalan.
Tambah beliau lagi, program kali ini merupakan program latihan untuk remaja mensasarkan mereka yang berusia 14 hingga 24 tahun.
"Program ini merupakan program kali kedua diadakan selepas yang pertama pada Jun lalu.
"Ia merupakan program untuk mencetus kesedaran terutama dalam memulihkan semula pembentukan karakter golongan remaja ini.
"Dalam program ini, tumpuan yang istimewa diberikan kepada mereka yang hard core dan apa yang diharapkan agar pengisian dalam program ini akan berjaya mencetus kesedaran dari hati mereka sendiri," katanya ketika ditemui selepas pelancaran Program Tabung Kami Prihatin Karakter Bangsa di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Menurutnya lagi, untuk mendapat keberkesanan selepas program, pihaknya dan PPIM akan saling berhubung bagi memastikan kumpulan itu dapat memulihkan diri sepenuhnya.
Malah jika dilihat keputusan yang diperoleh daripada tinjauan, sebanyak 97 peratus perubahan telah berlaku kepada para peserta program tersebut.
Sementara itu, menurut Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia, Hashnoel Murshim Hashim, inilah kali kedua pihaknya bekerjasama dengan ESQ dalam usaha memberi kesedaran kepada para remaja yang mempunyai masalah sosial.
Ini kerana selain ingin kembalikan mereka ke pangkal jalan, mereka juga berharap agar jumlah kes-kes yang melibatkan gejala sosial di kalangan remaja akan menurun.
"Mengikut statistik 2010, setiap 17 minit anak luar nikah akan dilahirkan dan dalam sehari 19 orang Melayu membunuh diri.
"Manakala di Malaysia terdapat lebih 400 ribu minah dan mat rempit serta bagi kelahiran anak sumbang mahram adalah sebanyak 150,000.
"Bukan itu sahaja, kerajaan telah membelanjakan RM550 juta untuk memberi makanan kepada banduan dan juga penagih dadah setiap tahun," ujarnya.
Jelasnya lagi, statistik tersebut adalah satu beban kepada negara dan program yang diadakan bersama-sama ESQ merupakan salah satu program untuk meringankan beban negara.
Oleh itu, Hashnoel berharap agar semua permasalahan ini dapat diselesaikan secara bersama dan penganjuran program-program sedemikian merupakan salah satu caranya.
Ini juga menurutnya, merupakan tanggungjawab semua dan jangan tuding jari pada mana-mana pihak malah.
Secara umumnya, tiada siapa mampu memberi jawapan tepat kepada persoalan mengapa anak-anak remaja hari ini semakin runtuh akhlaknya kerana yang pasti akhlak remaja-remaja ini semakin rosak dan liar.
Dalam pada itu ESQ memerlukan sumbangan berbentuk dana dan sumbangan kewangan daripada insan-insan mahupun sektor-sektor korporat untuk meneruskan segala usaha dalam menjalankan pelbagai latihan yang diperlukan untuk golongan remaja ataupun aktiviti-aktiviti berbentuk kerohanian lain.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: