PASTINYA saat ini penyanyi remaja yang juga kekasih Justin Bieber, Selena Gomez, berada dalam ketakutan. Sesiapa pun akan berasa sedemikian sekiranya menerima ugutan bunuh yang mengecutkan perut.
Jika sebelum ini Gomez yang turut dikenali sebagai pelakon itu pernah mendapat ancaman daripada peminat penyanyi remaja tersohor itu, setelah gambar mereka dalam suasana penuh intim ketika bercuti tersebar di internet, kali ini ugutan yang diterima lebih teruk lagi.
Gomez sendiri sudah pun ke mahkamah dan mendapatkan perintah supaya lelaki itu tidak mendekati dirinya kerana dia benar-benar berada dalam ketakutan.
Kisah ancaman berkenaan didedahkan peguam Gomez, Blair Berk, dalam beberapa dokumen ketika dia mendapatkan perintah mahkamah terbabit.
Brodnicki nampaknya pernah memberitahu pakar sakit jiwa yang merawatnya, selain daripada arahan yang kononnya diterima dari Tuhan, dia juga mengembara dari Chicago ke L.A. untuk bertemu dengan artis berusia 19 tahun itu, selain pernah berkunjung ke tempat kerja Gomez tidak kurang daripada tiga kali.
Pelakon Monte Carlo dan pasukan peguamnya turut menyatakan, selepas Brodnicki dikatakan membuat ancaman untuk mencederakan orang ramai, dia dicekup untuk menjalani ujian kewarasan. Ketika itulah lelaki terbabit membuat pengakuan berhubung ancaman terhadap Gomez.
Sewajarnya mereka mengambil langkah berhati-hati kerana ia bukan lagi ancaman daripada kanak-kanak yang begitu meminati Bieber, sebaliknya ancaman daripada pesakit mental dewasa.
Bieber belanja RM3 juta untuk kekasih?
SEMENTARA itu, saat diri Gomez berdepan ancaman menakutkan, muncul pula gosip mengatakan kononnya Bieber sudah pun membelanjakan kira-kira RM3 juta untuknya. Angka berkenaan dikatakan didedahkan sendiri oleh rakan penyanyi Never Say Never itu.
Menurut laman OMG!, beberapa rakan Bieber bimbang penyanyi berusia 17 tahun itu berbelanja besar daripada hasil pendapatannya untuk membuatkan gadis berkenaan melekat padanya. Maklum sajalah, Bieber dua tahun lebih muda daripada Gomez.
Jadi, dia perlu membuatkan teman wanitanya kagum dengan cara dia melayan wanita muda terbabit.
Begitupun ada yang beranggapan, sebenarnya rakan Bieber cemburu kerana penyanyi itu tidak menghabiskan duit untuk mereka, seperti mana dia mencurahkan Gomez dengan hadiah dan percutian mahal. Maka muncullah pelbagai spekulasi.
Menurut rakan penyanyi lelaki terbabit, Gomez ialah gadis impian Bieber.
"Dia benar-benar ingin membuatkan Gomez kagum padanya. Setiap kali mereka keluar, ia umpama sebuah produksi, daripada pengawal peribadi hinggalah ke jambangan bunga, jet peribadi kepada hidangan yang disediakan khas. Tambahan lagi, Bieber memberikan Selena hadiah yang mahal-mahal. Semua itu tentunya memerlukan perbelanjaan yang tinggi," kata rakannya itu.
Semua peminat sudah pun membaca mengenai sewaan bilik hotel yang mewah, majlis makan malam dan tontonan wayang secara tertutup di Staples Center di L.A., serta pengembaraan menggunakan jeti peribadi. Namun, bukankah itu caranya anak muda yang berpendapatan tinggi, seperti dua artis ini, berbelanja sejak dulu lagi?
Kecap populariti sendiri
SELENA sendiri bukanlah artis yang menumpang populariti Bieber, terutamanya sejak akhir-akhir ini. Selain dikenali menerusi hasil kerjanya sendiri, sama ada di TV mahupun filem, dia juga kini meletup bersama album terbaru Selena Gomez & The Scene berjudul When The Sun Goes Down.
Di Amerika saja, album single mereka terjual melebihi 5 juta unit, selain memiliki dua album berstatus emas, dua album yang memasuki carta top 10 pada minggu pertama jualan, dua single yang menjuarai carta Billboard Dance dan sebuah trofi Peoples Choice Award, sejak kemunculan mereka kira-kira dua tahun lalu.
Album terbaru Gomez sudah pun memasuki pasaran antarabangsa mulai Jun tahun ini.
Menerusi album berkenaan, Gomez dan rakan-rakannya mengecap populariti menerusi lagu Who Says, Bang Bang Bang dan Love You Like A Love Song. Ia turut menyaksikan Gomez bekerjasama dengan pencipta, penulis dan penerbit kelas A termasuk Toby Gad, E-man, Priscilla Renea, Tim James & Antonina Armato, Greg Kurstin, Midnight Beast/Stefan Abingdon dan ramai lagi.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: