KELIBAT Abdul Manaf Mamat harus menggerunkan mana-mana penjaga gol ketika ini, tetapi Mohd Farizal Marlias tidak sedikitpun gentar dengan ledakan berbisa penyerang sensasi Terengganu itu menjelang final Piala Malaysia di Stadium Shah Alam, Sabtu ini.
Malah, penjaga gol Negeri Sembilan yang tampil beraksi pertama kali pada pentas berprestij itu yakin sepasang 'tangan emas' miliknya mampu menghalang Abdul Manaf daripada membocori gawangnya.
Selain menggegar ketika membantu Terengganu menyingkirkan juara bertahan, Kelantan di suku akhir, Abdul Manaf membuktikan ketajaman penyudahnya apabila menyumbat tiga gol ketika memusnahkan ‘Misi 33’ Selangor pada separuh akhir.
Farizal yang menyarung jersi Negeri Sembilan buat pertama kali musim ini berkata, dia memiliki 1001 alasan untuk menyinar pada final nanti, sekali gus memastikan skuad Hoben Jang Hoben memenangi piala keramat itu.
Selain tidak mahu penampilan kali pertama di pentas prestij itu berakhir kekecewaan, penjaga gol kebangsaan itu juga mahu menggunakan detik final sebagai medan membalas kepercayaan Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS).
“Selepas gagal membantu Negeri Sembilan pada saingan Liga Super dan Piala FA, inilah saat terbaik saya dan rakan sepasukan menebus kehampaan itu,” katanya.
masih tak dpt lupa kejayaan Jang tahun lepas dlm Piala M'sia. Taniah!! Hoben Jang Hoben :P
ReplyDelete