Dana RM200j disalur bagi PKS gagal dapat biaya, tetapi ada potensi
CREDIT Guarantee Corporation Malaysia Bhd (CGC) memperkenalkan skim jaminan kredit baru yang dikenali sebagai Enhancer Direct dengan peruntukan dana mencecah RM200 juta untuk disalurkan kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) bagi meningkat daya saing sektor itu.
Kemudahan yang mengenakan kadar faedah berdasarkan Kadar Pinjaman Asas (BLR) tanpa tambahan kadar lain itu, mengenakan yuran jaminan serendah 0.5 peratus setahun dan dijangka memberi faedah kepada sehingga 1,000 PKS seluruh seluruh negara.
Pengarah Urusan dan Ketua Eksekutif CGC, Datuk Wan Azhar Wan Ahmad, berkata ia diperkenalkan untuk membantu PKS yang kurang mendapat layanan sewajarnya selaras usaha kerajaan meningkatkan lagi sumbangan sektor PKS kepada pertumbuhan ekonomi negara.
Beliau berkata, melalui Enhancer Direct, pihaknya mewujudkan saluran langsung kepada PKS untuk mendapatkan pembiayaan serta akses pantas bagi membolehkan dana diagihkan lebih cepat.
“Kami menyasar memberikan jaminan kredit RM80 juta daripada dana berkenaan sehingga akhir tahun ini dengan habis digunakan menjelang pertengahan tahun depan untuk manfaat kira-kira 1,000 PKS,” katanya pada sidang media selepas majlis memeterai perjanjian kerjasama antara CGC dan RHB di Petaling Jaya, semalam.
Hadir sama, Pegawai Prinsipal RHB, Renzo Viegas.
Pada majlis itu, CGC diwakili Pengurus Besar Pembangunan Perniagaannya, Alex Lim Keat Chye, manakala RHB diwakili Pengarah Perniagaan Perbankannya, Amy Ooi Swee Lian dengan disaksikan Wan Azhar dan Viegas.
Sementara itu, Viegas berkata, RHB akan terus menyokong CGC untuk membantu PKS yang berdaya maju dan mempunyai potensi kukuh untuk membesar tetapi kekurangan cagaran dan rekod prestasi bagi mendapatkan pembiayaan daripada institusi kewangan.
Beliau berkata, pihaknya percaya penyelesaian unik itu memberikan cadangan nilai manfaat tambahan kepada PKS terutama ketika kebanyakan PKS kini begitu prihatin ke atas kos dan lebih berhati-hati.
“Kami yakin skim Enhancer Direct akan memberikan manfaat besar kepada PKS kerana mereka mendapat pembiayaan sehingga RM500,000 dengan jaminan lindungan 100 peratus oleh CGC bagi membesarkan perniagaan,” katanya.
RHB yang juga syarikat kewangan kelima terbesar di negara ini sudah meluluskan lebih 46,000 pinjaman bernilai kira-kira RM5.2 bilion menerusi skim jaminan CGC sejak lebih 30 tahun lalu, manakala CGC menyediakan jaminan kredit bernilai kira-kira RM50 bilion kepada lebih 400,000 PKS sejak 39 tahun lalu.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: