Friday, October 28, 2011

Ceria si cilik raikan Deepavali


AHLI Parlimen Hulu Selangor, P. Kamalanathan (dua dari kanan) menyampaikan sumbangan peribadi seorang pelajar sambil disaksikan oleh Pengurus Besar Kanan Jabatan Kewangan Perodua, Suresh Kumar (kanan).


SUASANA petang di pusat beli-belah 1 Utama, Petaling Jaya baru-baru ini sentiasa sibuk dengan pengunjung yang datang silih berganti. Apatah lagi ketika itu kurang dua minggu menjelang sambutan Deepavali.

Justeru, sudah tentu ramai pengunjung yang terdiri daripada kaum India berpusu-pusu untuk membuat persiapan terakhir dalam meraikan Pesta Cahaya yang disambut saban tahun.

Di sebalik kemeriahan itu, kelihatan sekumpulan kanak-kanak berwajah ceria sedang asyik memilih kelengkapan untuk meraikan hari bahagia. Mereka turut dibantu oleh beberapa petugas jualan dalam memilih barangan yang diinginkan.

Ada yang mengambil kasut dan ada juga yang memilih baju baharu untuk dicuba. Masing-masing kelihatan begitu teruja sambil senyuman tidak lekang di bibir apabila mendapat layanan sedemikian rupa.

Itu yang dialami oleh sekumpulan kanak-kanak kurang bernasib baik yang diraikan Perodua melalui program tanggungjawab sosial korporat (CSR) sempena menyambut ketibaan Pesta Cahaya 2011 Rabu lalu.


SEBAHAGIAN kakitangan Perodua yang terlibat dalam program amal Deepavali gembira dapat menunaikan tanggungjawab sosial dalam penuh suasana perpaduan.


Seramai 50 orang kanak-kanak dari dua buah sekolah iaitu Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang Sungai Choh dan SJKT Bukit Beruntung menerima sumbangan RM200 seorang untuk membeli kelengkapan Deepavali seperti baju, kasut dan seluar di samping dihadiahkan wang bernilai RM50.

Selepas penat membeli-belah selama dua jam bermula pada pukul empat petang, kumpulan kanak-kanak itu kemudian dibawa ke Restoran Kenny Rogers di pusat beli-belah tersebut untuk mengisi perut dengan sajian enak yang dihidangkan.

Menurut Pengarah Urusan Perodua, Datuk Aminar Rashid Salleh, pihaknya rasa bertanggungjawab untuk berkongsi keseronokan dengan kanak-kanak yang kurang bernasib baik.

“Kami berbesar hati kerana dapat memenuhi keperluan mereka yang kurang berkemampuan dalam setiap perayaan utama seperti sambutan Hari Raya Aidilfitri, Tahun Baru Cina dan Deepavali.

“Di samping menyediakan peluang perniagaan dan pekerjaan, Perodua percaya program CSR seumpama ini memberi makna yang besar kepada mereka yang menerimanya,” ujar Aminar Rashid.

Tambah beliau, program CSR itu meliputi biasiswa melanjutkan pengajian, latihan teknikal untuk golongan belia, sumbangan dalam bentuk wang tunai dan tenaga kepada badan-badan kebajikan.


KEGEMBIRAAN jelas terpancar pada wajah kanak-kanak ini kerana berpeluang meraikan Hari Deepavali bersama kakitangan Perodua.


“Kesemua projek komuniti dan sumbangan ini selaras dengan tagline jenama kami Building Cars, People First,” jelasnya.

Majlis itu turut dihadiri oleh Ahli Parlimen Hulu Selangor, P. Kamalanathan yang menyampaikan sumbangan peribadi termasuk biskut kepada kanak-kanak tersebut.

Dalam pada itu, selain meraikan 50 kanak-kanak yang kurang bernasib baik, Perodua juga tidak ketinggalan menghulurkan sumbangan kepada tiga buah sekolah dan tiga rumah kebajikan.

Tiga buah sekolah yang terpilih itu adalah SJKT Changkat Asa, SJKT Ladang Escot dan SJKT Ladang Kerling, manakala rumah kebajikan pula terdiri daripada Divine Life Society Kuala Kubu Baru, Persatuan Penganut Satguru Sri Raghavendra dan Pusat Penjagaan Kanak-Kanak Cacat Taman Megah.

Masing-masing menerima sumbangan bernilai RM3,000 untuk menjayakan program yang akan diatur kelak.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: