
SATU daripada acara penting dalam industri teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) negara, Bulan ICT Nasional (NIM) yang dianjurkan secara bersama oleh Kementerian Sains, Teknologi & Inovasi (MOSTI) dan PIKOM, kini kembali dengan satu lagi siri acara menarik.
Bertemakan Menjangkau Nilai Tinggi (Transcending Into High Value), NIM 2011 tahun ini berlangsung pada bulan ini dan akan memaparkan lima inisiatif yang setiap satunya direka untuk mencapai objektif tertentu.
Bagaimanapun ia mempunyai matlamat yang sama iaitu untuk mengukuhkan industri ICT negara.
Program NIM 2011 menandakan gemblengan usaha sama antara Persatuan Industri Komputer Dan Multimedia Malaysia (PIKOM) dan MOSTI untuk tahun ketiga berturut-turut.
Pengerusi PIKOM, Datuk Wei Chuan Beng berkata, kerjasama kedua-dua pihak akan turut mempromosi perniagaan perniagaan kecil dan sederhana (SME) dan syarikat-syarikat besar untuk mendekati pelanggan di peringkat domestik dan global dengan lebih baik.
"Sokongan kerajaan dengan mengiktiraf satu bulan dalam setahun sebagai Bulan ICT Nasional telah menyumbang kepada pengukuhan kepentingan ICT sebagai sektor utama bagi pertumbuhan ekonomi.
''Pada masa ini, industri ICT menyumbang hampir sembilan peratus kepada jumlah KDNK.
''NIM pada tahun ini adalah lebih bermakna kerana ia jatuh pada ulang tahun ke-25,'' ujarnya,
Beliau menyatakan demikian majlis taklimat media dan pelancaran NIM 2011 oleh Timbalan Menteri MOSTI Datuk Fadillah Yusof, di ibu negara bar-baru ini.
Katanya, pelbagai pihak seperti PIKOM, kerajaan, syarikat-syarikat dalam industri ICT sama ada kecil atau besar, pemilik perniagaan dan pengguna, semuanya akan beroleh manfaat daripada acara-acara yang telah rancang.
PIKOM menurut beliau, memainkan peranan besar sepanjang 25 tahun yang lalu dalam menyediakan platform bagi syarikat-syarikat tempatan untuk menempa kejayaan.
Pada masa sama, PIKOM membantu untuk menerokai pasaran global dengan penuh yakin, tetapi masih banyak lagi yang perlu dilakukan untuk memacu industri dan membantu melonjakkan ekonomi negara ke peringkat lebih tinggi.
NIM 2011 dimulakan dengan pertandingan peringkat kebangsaan World Cyber Games (WCG) Malaysia 2011 yang akan diadakan dari 7 hingga 9 Oktober lalu di PIKOM ICT Mall.
Acara tersebut dilihat sebagai suatu landasan berkesan untuk membantu merangsang minat dalam sektor pembangunan kandungan negara.
Juara kebangsaan bagi empat permainan rasmi akan bertarung di peringkat akhir WCG di Korea Disember ini.
Kemuncak NIM 2011 adalah Persidangan Pemimpin membabitkan peneraju industri ICT akan berkumpul, berbincang dan mengkaji perkembangan industri masa kini.
Persidangan selama dua hari pada 18 dan 19 Oktober ini di Palace of The Golden Horses, Seri Kembangan akan menampilkan para penceramah terkemuka dari serata dunia seperti Chris Whitney daripada HP Labs.
Laporan penyelidikan utama tahunan berhubung landskap ICT di Malaysia, iaitu Kajian Strategik PIKOM 2011/12, yang dinanti-nantikan oleh ramai pihak, akan dilancarkan semasa persidangan tersebut.
Kajian menyeluruh itu telah mendapat pengiktirafan di kalangan kumpulan pemikir, agensi dan organisasi kerajaan sejaka ia mula dilancarkan pada tahun 2009.
Satu lagi acara penting yang akan diadakan serentak dengan Persidangan Pemimpin adalah Persidangan Pencarian Sumber Pintar 2011 (Smart Sourcing Summit 2011).
Dengan bertemakan Mewujudkan Persekitaran Bagi Nilai Mampan Dalam Pencarian Sumber persidangan yang akan berlangsung dari Oktober 19 hingga 20 tersebut bakal menjanjikan penglibatan para delegasi sambil mereka menerokai faktor-faktor yang mendorong industri pencarian sumber, khususnya berkaitan anjakan paksi ASEAN dan mengenal pasti pertumbuhan seterusnya.
Para pengguna juga akan beroleh manfaat daripada NIM 2011 menerusi tawaran hebat dan jualan murah di PC Fair yang sungguh popular.
PC Fair akan diadakan di lima lokasi pada bulan Oktober ini.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: