
BERMULA dengan keyakinan diri dan bakat yang sentiasa diasah, tidak mustahil seseorang itu mampu pergi lebih jauh.
Berbekalkan semangat dan juga usaha yang tidak mengenal erti putus asa, dua bintang ini memulakan melangkah masing-masing dalam industri seni tanah air yang penuh warna-warni.
Kini sinar dua bintang bekas pelajar Mystarz LG dilihat semakin menyinar apabila mampu menarik minat pendengar beralih ke arah muzik mereka.
Atas kepercayaan dan bakat yang ada pada diri mereka, pihak Warner Music Malaysia Sdn. Bhd., telah melancarkan album Wana dan Nashrin secara serentak di Full House, Jalan Yap Kwan Seng, baru-baru ini.
Nashrin mahu terbang tinggi
Memulakan langkah dengan mempertaruhkan Fobia Cinta sebagai single pertamanya, anak kelahiran Ipoh, Perak ini optimis mampu terbang lebih tinggi dalam mengejar cita-citanya sebagai penyanyi yang dikenali ramai.
Bagi Nashrin atau nama sebenarnya, Wan Nashrinie Zahri,23, peluang yang ada ketika ini akan digunakan sebaiknya dalam membina nama di persada seni tanah air.
“Bagi saya, setiap peluang yang datang haruslah digunakan dengan sewajarnya. Lebih-lebih lagi saya merupakan orang baru dalam industri ini.
“Oleh itu, jika berkesempatan, saya ingin merakamkan album bersama adik beradik saya, memandangkan kami semua memang bermain muzik sejak kecil lagi. Namun semuanya masih dalam perancangan,” ujarnya.
Menurut Nashrin, jangka masa setahun yang dilaluinya banyak mengajarnya perkara baru dan turut mematangkan dirinya.
“Pengalaman dimarahi ketika proses rakaman sedikit pun tidak mematahkan semangat saya.
“Bagi saya, ia adalah salah satu proses pembelajaran. Apa yang lebih penting ialah hasilnya dapat memuaskan hati semua orang,” jelasnya.
Album Nashrin memuatkan lima buah lagu iaitu Fobia Cinta, Percaya Pada Luka, Semuanya Mungkin, Tanpa Mu Tiadalah Aku dan Ada Kamu.
Wana tampil berbeza
Pernah melahirkan album pertama berjudul Siapa, kini Wana atau nama sebenarnya Noriezuana Syed Shafudin, 25, tampil dengan perubahan pada album keduanya.
Untuk album kedua, Wana tampil segar melalui lagu Cinta Benar Cinta berentak pop rock, sekali gus membuktikan juara Mystarz LG musim kedua itu sudah menemui rentaknya.
Bagi Wana, penghasilan album pertamanya dulu adalah sekadar percubaan dalam mencari identiti sebenar.
“Untuk album pertama, saya membawakan lagu genre pop, balada dan juga raggae. Terlalu banyak variasi yang saya bawakan sehingga menyebabkan peminat keliru dengan konsep album saya.
“Jadi, untuk album kedua ini saya lebih fokus kepada lagu berentak balada, pop dan pop rock. Sememangnya ia kena dengan jiwa saya,” jelasnya.
Album Wana mengandungi lagu Cinta Benar Cinta, Biar, Sedangkal Dulu, Pinjamkan Ku Waktu dan Gila Bayang.
Selain itu, album itu turut menampilkan tiga lagu bonus iaitu Orang Biasa, Ingin Bersama Kembali (duet bersama Nashrin) dan Gerhana Sebuah Percintaan.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: