
PENCARIAN Clinique Star Tour 2011, yang berlangsung sepanjang bulan Julai dan Ogos lalu menemui pilihan bintang yang ideal. Pertandingan musim kedua anjuran rangkaian produk penjagaan kulit terkemuka Clinique tersebut bertujuan membawa wanita mengembara ke dunia kecantikan dan fesyen dalam suasana santai dan menyeronokkan.
Dengan kerjasama majalah Cleo, Clinique Star Tour 2011 melakukan siri jelajah mencari peserta di beberapa lokasi utama seperti gedung beli-belah Pavilion Kuala Lumpur, Mid Valley Kuala Lumpur, Kolej PTPL, Shah Alam dan Kolej Tunku Abdul Rahman, Setapak.
Setiap lokasi yang dikunjungi bukan saja disertai kumpulan mekap artis dan perunding kecantikan Clinique malah, turut dimeriahkan dengan kehadiran sebuah trak Mobile Makeover Studio yang direka khas bagaikan sebuah rumah supermodel. Dekorasi trak itu dilengkapi set perabot konsep urban, lapan stesen solekan, meja dandanan rambut dan studio mini.
“Selepas meneliti dan menilai sebanyak 2,220 penyertaan, akhirnya kumpulan juri berjaya menemui pemenang utama kempen Clinique Star Tour 2011. Para pemenang yang terdiri daripada tiga orang pelajar kolej ini bukan sahaja memiliki kecantikan semula jadi dan personaliti menarik malah, turut mempunyai latar belakang pendidikan yang baik.
“Ia bersesuaian dengan intipati cabaran yang ingin melahirkan bintang Clinique yang lengkap dari aspek kecantikan, fesyen dan ilmu pengetahuan,” jelas Pengurus Besar Jenama Clinique, Sharyn Wong, kepada Stailo selepas menyampaikan hadiah kepada Alicia Tan, Alena-Marie Atkinson dan Shermaine Leong.

Pelajaran diutamakan
Sementara itu, Alicia Tan, 20, sama sekali tidak menyangka bakal merangkul tempat pertama memandangkan dia perlu bersaing dengan kumpulan peserta yang mempunyai keunikan dan kecantikan menawan. Biarpun pernah memenangi beberapa pertandingan model dan pencarian wajah berskala kecil, anak kelahiran Ipoh, Perak itu tetap berasa gementar sewaktu menyertai Clinique Star Tour 2.
“Ini merupakan pengalaman manis dalam kamus hidup saya apabila dipilih sebagai juara. Matlamat utama menyertai kempen ini adalah untuk meningkatkan keyakinan diri dan menimba ilmu kecantikan daripada pihak Clinique.
“Kini saya semakin menitikberatkan soal penjagaan wajah. Sebelum ini, selepas mencuci saya hanya mengaplikasi krim pelembap pada kulit wajah. Pemakaian krim pelindung sinaran ultra ungu (UV) dan krim asas diabaikan kerana saya menyangka ia sekadar kosmetik sampingan.
“Namun menerusi kempen ini, perunding kecantikan Clinique menyarankan supaya saya memakai produk berkenaan bagi mencegah kerosakan kulit wajah dan pigmentasi,” terang Alicia yang merupakan penuntut Ijazah Perakaunan dan Kewangan, Universiti Nottingham di Semenyih, Selangor.

Dalam pada itu, Alena-Marie Atkinson, 20, tidak dapat menyembunyikan perasaan teruja apabila terpilih menyandang tempat kedua dalam kempen Clinique Star Tour 2011 tersebut.
Memiliki darah campuran Serani, Cina dan India, gadis berkulit hitam manis yang mesra disapa Alena itu, menyifatkan kemenangan berkenaan merupakan platform terbaik baginya menceburkan diri dalam bidang peragaan.
Namun, anak bongsu daripada dua adik-beradik itu mengakui, sebelum serius dalam bidang peragaan, dia akan memastikan cita-citanya menjadi peguam tercapai. Lagipun kerjaya itu sudah dibaja dalam dirinya sejak menuntut di peringkat sekolah menengah.
Bagi Shermaine Leong, 20, yang turut berkongsi tempat kedua, menyifatkan kempen Clinique Star Tour 2011, mengajarnya menjadi individu yang berkeyakinan tinggi, percaya dengan kebolehan diri dan sentiasa menjaga tata rias wajah.
Bergelar pemenang utama dalam pertandingan itu, ketiga-tiga pemenang membawa pulang produk Clinique bernilai RM5,000.
Sementara itu, salah seorang pelayar laman web Clinique, Kurt Liyanaraeaz yang mengundi pertandingan tersebut menerusi online, berjaya memenangi sebuah notebook Samsung bernilai RM3,299 selepas berjaya meneka dengan tepat ketiga-tiga peserta yang berada di tempat teratas.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: