Saturday, October 1, 2011

Biarlah misteri

pix_gal0
Sarah Sechan mahu media berlaku adil melaporkan berita perceraian

LANGSUNG tidak pernah terlintas di fikiran, kes perceraiannya akan mendapat liputan luas media hingga membuatkan pengacara popular, Sarah Sechan kurang selesa apabila hal peribadinya terlalu disorot.
Meskipun sedia bekerjasama, namun masih ada bahagian yang enggan dikongsi secara umum. Sarah sebaliknya, lebih rela menyimpan itu sebagai misteri untuk dirinya dan suami.
Tolonglah berikan liputan yang adil, tanpa perlu ditokok tambah serta diselitkan pelbagai tanggapan yang cuma memburukkan lagi apa yang berlaku. - Sarah Sechan
Pinta Sarah kepada media, usah terlalu memfokus episod keretakan rumah tangganya cuma pada sudut negatif kerana dia sudah berusaha menjadi manusia yang jujur kepada semua penggemarnya.

Cuba bersikap tenang, wanita kelahiran Bandung, Jawa Barat berusia 37 tahun itu juga memohon kepada media supaya tiada soal jawab diadakan.

Cukup cuma dia yang berbicara menjelaskan segala kekeruhan yang menjadi kabut kepada rumah tangga yang dibinanya selama lapan tahun bersama Emir Hakim.

Bekas VJ MTV itu, bagaimanapun tidak membantah perkahwinannya sedang bergolak tetapi enggan menyatakan sebab mengapa mereka mahu bercerai.
“Saya cuma mohon doa semua. Apa saja boleh berlaku pada masa akan datang, kita tidak pernah tahu kerana semua itu adalah rahsia Allah.

“Tapi ini kehidupan yang harus saya lalui. Saya yakin mampu melaluinya, malah tiada apa yang harus kami berdua selindungkan.

“Namun untuk hari depan, kita lihat saja bagaimana nanti,” kata pengacara bertubuh kecil molek itu tenang ketika ditemui wartawan di Jakarta Selatan, baru-baru ini.

Sarah memfailkan permohonan cerai di Pengadilan Agama Depok pada 26 Julai lalu menganggap perpisahan adalah jalan terbaik untuk dirinya dan Emir.

Sebagai seorang yang dewasa, Sarah dan Emir tenang menghadapi kemelut itu lantas berharap media juga bersikap matang serta tidak membuat pelbagai spekulasi ketika melaporkan berita perpisahan mereka.

“Saya dan suami sangat rasional, justeru berharap media dan masyarakat juga melihat serta memahami masalah kami dari mata orang dewasa.

“Saya cuma mahu tegaskan, ini adalah urusan rumah tangga saya bermakna ia sesuatu yang peribadi. Maaf jika saya menolak untuk berkongsi sesuatu yang seharusnya menjadi ruang peribadi saya dan keluarga,” katanya.

Kenyataan tegas itu seolah-olah menghantar isyarat bahawa Sarah enggan membiarkan kisah perpisahan mereka menjadi bahan sensasi media.

Justeru, pada pertemuan itu, Sarah selesa jika cuma dia yang bersuara mewakili keluarganya agar tiada perkataan yang mengguris perasaan orang lain, terutama anak tunggal mereka.

“Kami tidak ingin berita simpang siur kerana harus menjaga perasaan banyak orang, terutama anak. Usah menulis sesuatu yang berbaur fitnah kerana saya sudah berlaku jujur.

“Tolonglah berikan liputan yang adil, tanpa perlu ditokok tambah serta diselitkan pelbagai tanggapan yang cuma memburukkan lagi apa yang berlaku.

“Hubungan saya dan suami masih baik dan cukup dewasa. Semoga teman atau masyarakat yang menggemari saya atau sebaliknya menerima kenyataan ini dengan matang,” katanya.

Saat ini kata Sarah, komunikasinya dengan Emir dan anak mereka masih berjalan baik malah yakin, perceraian yang bakal dilalui tidak akan memberi kesan buruk kepada semua.

“Hingga ke proses ini, segala-galanya sudah saya perjelaskan kepada anak. Insya-Allah anak saya mampu menerima.

“Dia seorang yang cerdas dan sering melihat kasih sayang saya serta suami terhadapnya masih utuh meskipun kami sedang berdepan masalah,” katanya.

Keluarga tidak masuk campur

BIAR pelbagai sisi dicuba untuk mencari penyebab kepada keretakan itu, seluruh keluarga Sarah seperti sepakat untuk tidak menambah beban kotak pemikiran wanita yang dilahirkan pada 9 Mei 1974 itu.

Selain kedua orang tuanya yang kemas mengunci mulut, hal yang sama juga diambil oleh adik beradik Sarah. Biarpun saling mencurah perasaan, namun bibir mereka seakan terkunci untuk bertanya lanjut mengenai badai yang sedang melanda rumah tangga Sarah.

“Apa pun yang terjadi itu adalah kisah rumah tangga mereka. Itu yang sering dipesan mama ketika kami mengambil keputusan untuk bernikah,” kata adik Sarah, Ade Fitria Sechan.

Berharap media tidak cuba mendapatkan penjelasan daripadanya, Ade lebih senang menjawab tidak tahu supaya isu itu tidak berlanjutan.

“Saya tidak terlalu tahu, malah tidak pernah bertanya. Saya mengerti perasaannya ketika ini kerana saya juga pernah melalui episod yang sama.
“Bohong jika dia tidak pernah mencurahkan perasaan, apatah lagi kami adik beradik. Tapi saya tidak pernah bertanya.

“Saya biarkan saja dia yang membuka cerita. Jadi saya tidak tahu mengapa dia mahu bercerai. Lebih baik ajukan saja soalan kepada tuan punya badan,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: