Thursday, October 27, 2011

Bakal tampil kisah benar

MENARUH kepercayaan penuh, Ning tidak pernah meragui kasih sayang dan kesetiaan suami terhadap dirinya.


JIKA dihitung, 18 tahun bukan satu tempoh masa yang singkat. Selama tempoh tersebut, pelbagai momen tidak kira yang manis mahupun pahit yang perlu dilalui oleh seseorang itu terutamanya apabila dia merupakan ikon yang dikenali ramai.

Bagi penyanyi yang dikenali dengan vokal soprano iaitu Ning Baizura Sheikh Hamzah, 36, atau nama komersialnya Ning Baizura, peristiwa pahit manis yang dilaluinya sepanjang bergelar artis membuatkan dirinya menjadi lebih matang dalam menjalani kehidupan sebagai anak seni.

Berbekalkan cerita yang ‘dikumpul’ melalui tempoh 18 tahun tersebut, Ning Baizura atau lebih mesra disapa Ning, ingin menghasilkan sebuah naskhah autobiografi mengenai diri serta pengalamannya untuk menjadi pengajaran kepada umum yang membaca.

“Saya memang sudah lama ingin menghasilkan buku seperti biografi atau kisah benar mengenai perjalanan karier seni Ning Baizura.

“Bercerita mengenai perkara ini, saya sebenarnya telah berjumpa dengan penulis yang mana jika perancangan ini jadi, ia merupakan projek selama dua tahun kerana saya ingin melancarkan ia pada genap 20 tahun saya berada dalam industri seni,” bicara wanita tinggi lampai ini ketika ditemui di pelancaran muzik video single terbaharunya, Bila di Red Box, The Garden, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Tambahnya, menerusi buku tersebut, dia mahu menceritakan kisah sebenar apa yang pernah berlaku pada diri dari awal pembabitannya hingga kini. Ini kerana Ning merasakan masyarakat yang mengenali dirinya patut tahu kebenaran di sebalik setiap kisah tanpa berselindung.

Selain itu, bicara Ning lagi, kewujudan buku ini bukan bertujuan untuk mengungkit kisah lama, namun ia semata-mata untuk menceritakan pengalamannya supaya ia dapat dimanfaat oleh artis baharu yang mungkin boleh dijadikan pengajaran ketika ingin menapak atau membina nama di dalam industri hiburan tempatan.

“Saya bukan mahu mengaibkan sesiapa namun perkara ini harus kita ceritakan kerana perjalanan seni saya tempuhi setakat ini banyak pahit dari manisnya, dan saya rasa ia perlu diceritakan.

“Bukan juga mahu megah diri kerana kejayaan yang diraih namun ia sekadar ingin memberi pengajaran kepada setiap yag membaca kelak terutamanya artis baharu. Harap saya tidak akan disaman pula kerana menceritakan kisah-kisah tersebut,” cerita Ning sambil ketawa kecil.

Menurut Ning lagi, berkemungkinan naskhah ini akan dihasilkan di dalam dua versi iaitu bahasa Melayu dan bahasa Inggeris serta ingin menjadikan autobiografi ini sebuah naskhah yang tidak terlalu mahal dan mampu dibeli oleh semua.

Tidak pernah curiga

Bagi peminat Ning, pastinya sedar akan kontroversi baharu yang melanda dirinya serta suami, Omar Sharif Christopher Layton Dalton yang juga merupakan pengurusnya kini. Rumah tangga Ning dikatakan goyah akibat suaminya yang bermain kayu tiga di belakangnya bersama wanita berbangsa Cina.

Sebaik diajukan persoalan tersebut, Ning dan suami yang hadir ke pelancaran muzik video Bila bersama wakil-wakil Universal Music (M) Sdn. Bhd., ketawa besar mendengar gosip yang melanda diri mereka itu.

“Anda harus faham bahawa kini sejak abang (Omar Sharif) menjadi pengurus saya, dia banyak keluar berjumpa klien untuk berbincang mengenai kerja. Namun, saya tidak bimbang mengenai perkara ini kerana saya rasa tidak perlu untuk saya sentiasa ‘melekat’ bersama suami sepanjang masa.

“Saya juga tidak pernah curiga padanya kerana dia seorang yang lurus. Saya akui saya memang tidak terkejut kerana ini normal. Namun bagi suami saya yang tidak biasa dengan perkara ini, dia agak terkejut,” tutur Ning yang mana suaminya juga menjawab ringkas dengan mengatakan ‘saya sayang isteri saya’.

Jawab pelantun lagu Awan Yang Terpilu ini juga, suaminya terpaksa ‘menjaja’ diri isteri untuk mencari penaja bagi konsert yang akan datang kelak. Katanya, gosip ini keluar kerana mungkin orang ramai mengambil berat terhadap mereka dan ia bukanlah sesuatu yang terlalu buruk.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: