Tuesday, October 18, 2011

Bahasa Mekar Budaya Tarik Penyertaan Bukan Melayu

Manesha Thiyagarajan

JIKA sebelum ini Bulan Bahasa Kebangsaan dilihat hanya menerima penyertaan daripada golongan Melayu sahaja, tahun ini berbeza keadaannya.

Hal ini kerana sebuah program yang dibuat khas untuk menerima penyertaan para pelajar bukan Melayu yang dinamakan Program Kuntum Bahasa Mekar Budaya telah mula diperkenalkan dalam kempen tersebut.

Program bernaung di bawah Jawatankuasa Aktiviti bahasa dan Sastera Masyarakat Bukan Melayu itu bertujuan menggalakkan penglibatan pelajar bukan Melayu dalam aktiviti kebahasaan, kesusasteraan dan kebudayaan.

Selain itu, program tersebut juga mempunyai objektif untuk memupuk kecintaan generasi muda terhadap bahasa kebangsaan dan menanam semangat muhibah selaras dengan semangat 1Malaysia.

Chan Soh Wah

Dijalankan sehari pada 6 Oktober lalu, program tersebut menerima penyertaan seramai 250 orang pelajar Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (SRJK) Cina, SRJK Tamil, Sekolah Rendah Kebangsaan (SRK), Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) dan Sekolah Menengah Persendirian Cina di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor.

Dalam semangat 1Malaysia, murid-murid sekolah berbilang bangsa bersama-sama menyertai pertandingan sahibba, jejak bahasa, membaca berita, roda kata, kuiz bahasa dan sastera, dan melukis poster Bulan Bahasa Kebangsaan.

Melalui permainan budaya, para pelajar turut berpeluang menghayati dan merasai sendiri permainan tradisional yang diwarisi seperti congkak dan batu seremban bagi kaum Melayu, kaligrafi dan yoyo bagi kaum Cina dan Aede puli atem bagi kaum India.

Manesha Thiyagarajan, 14, yang memenangi tempat ketiga dalam pertandingan permainan menyusun perkataan, sahibba, berasa seronok menyertai program yang dianjurkan oleh dan di Dewan Bahasa dan Pustaka Malaysia (DBP) tersebut.

Pelajar SMK Bukit Jalil itu merasakan bahasa Malaysia mempunyai potensi besar dalam penggunaannya kerana melihat negara ini semakin maju dari segi ekonomi dan sosial.

Dusha Nanthakumar, 14, yang suka menonton dan membaca berita dalam bahasa Malaysia selain bahasa Inggeris, menganggap minatnya itu sebagai salah satu faktor kemenangannya dalam pertandingan membaca berita bahasa kebangsaan.

“Saya banyakkan menonton berita bagi mengetahui bagaimana ia dibaca dalam bahasa Malaysia,” katanya yang memenangi tempat ketiga dalam pertandingan itu dan juga pelajar SMK Bukit Jalil.

Pelajar SJKC Kuen Cheng (2), Teo Jin Yeet, 12, tidak petah bercakap dalam bahasa kebangsaan namun ia tidak menjadi penghalang untuk dirinya muncul juara pertandingan sahibba peringkat sekolah rendah.

Teo membuat penyediaan untuk program tersebut dengan banyak melakukan penterjemahan perkataan dan mengingatinya dengan bimbingan guru sekolah.

Bagi guru Bahasa Malaysia, Chan Soh Wah, 47, dari SMK Bukit Jalil, Program Kuntum Bahasa Mekar Budaya dapat mendedahkan lagi para pelajar bukan Melayu kepada bahasa kebangsaan.

“Kebanyakan para pelajar bukan Melayu lemah dari segi percakapan dalam Bahasa Malaysia namun penulisan mereka adalah bagus dan setanding penulisan pelajar Melayu,” katanya ketika ditemui Mingguan mStar.

Chan memuji usaha yang dibuat agensi kerajaan dan DBP menerusi program tersebut dan akan terus menggalakkan pelajarnya untuk mengambil bahagian pada masa hadapan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: