KEHADIRAN semula gandingan dua penyerang, Norshahrul Idlan Talaha dan Safee Sali dalam skuad kebangsaan untuk perlawanan persahabatan menentang Australia Jumaat ini menceriakan pengendali pasukan, Datuk K Rajagobal untuk menurunkan kesebelasan terbaik.
“Ini masa yang terbaik untuk saya melihat dua pemain ini bermain semula dan saya berharap mereka dapat beraksi dengan baik.
Daripada permainan hari ini (semalam) saya belum nampak keserasian mereka tapi kalau kita hendak tengok mereka kembali serasi, mereka perlu lebih kerap digandingkan... dalam dua atau tiga perlawanan atau lebih.
“Kalau hanya satu perlawanan saya tidak nampak keserasian mereka tapi saya gembira melihat Mat Yo dan Safee ada dalam pasukan negara untuk bermain dalam perlawanan persahabatan menentang Australia,” katanya sebaik tamat perlawanan persahabatan menentang skuad Olimpik negara di Wisma Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), semalam.
Pada perlawanan persahabatan itu, skuad senior negara menang 3-0 ke atas barisan kendalian Ong Kim Swee.
“Jaringan yang dihasilkan dalam perlawanan ini memberi keyakinan kepada pemain, namun bagi saya bukan jumlah jaringan yang penting. Saya hendak lihat kombinasi antara pemain terutamanya pemain muda.
“Kita sedar Australia berada di tahap yang lain dan corak permainan mereka berbeza daripada kita. Saya harap dalam dua atau tiga hari lagi kita akan dapat melakukan sesuatu,” kata Rajagobal.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: