PASTI masih ramai penonton yang terbayangkan pementasan Shrek The Musical yang diadakan di Istana Budaya (IB) baru-baru ini.
Menerusi plot serta pelakon yang cukup hebat, pementasan muzikal siri animasi terbitan DreamWorks Animation yang diangkat ke pentas teater itu cukup berjaya dan memukau penonton yang hadir sepanjang pementasan tersebut berlangsung.
Mengimbas sejenak perjalanan pementasan berkenaan, plot bermula apabila Shrek dihantar ibu dan bapanya ke sebuah kawasan terpencil untuk hidup berdikari.
Pada masa sama, seorang Puteri cantik iaitu Puteri Fiona berhadapan masalah dengan keluarganya sehingga dikurung dalam menara istana.
Konflik mula timbul apabila selepas beberapa tahun, kawasan tempat tinggal Shrek diceroboh makhluk lain seperti Pinocchio, Three Little Bears, Wicked Witch, Big Bad Wolf dan Ugly Duckling kerana dibuang negara oleh Lord Farquaad.
Menariknya, di sinilah pengembaraan makhluk hijau ini berbadan besar ini bermula.
Nekad bertemu Lord Farquaad untuk menyelesaikan masalah itu, Shrek kemudiannya berhadapan pelbagai peristiwa di luar dugaan dan mencuit hati.
Babak demi babak yang muncul nyata mendapat tepukan hebat daripada audiens.
Lebih-lebih lagi sewaktu adegan Shrek ditugaskan Lord Farquaad menyelamatkan Puteri Fiona untuk dijadikan isterinya. Reaksi Puteri Fiona ketika terlihat Shrek yang disangka putera kacak sungguh mencuit hati.
Selain itu, kewujudan karakter si keldai (Donkey) turut mewarnai pementasan tersebut.
Boleh dikatakan, selain Shrek dan Puteri Fiona yang menjadi teraju utama, perjalanan pementasan ini menjadi meriah kerana kehadiran watak-watak sampingan.
Apa yang penting, sepanjang pementasan penonton terkesan dengan penceritaan yang cukup mantap dan bertenaga.
Nyata, pementasan yang mendapat sentuhan pengarah Stephen Sposito layak diberikan pujian. Ini kerana, dia bijak memastikan watak terlibat direalisasikan dengan baik.
Dilengkapi pula dengan kostum dan prop yang menarik, Shrek The Musical cukup mengagumkan.
Teater muzikal terbitan Broadway Entertainment Group FZ LLC dan NETworks Presentations, LLC itu mendapat kerjasama Tremendous Entertainment Group (TEG) serta Base Entertainment Asia.
Lakonan mantap Kyle Timson, Lindsay Estelle Dunn
Memainkan peranan utama sebagai Shrek merupakan cabaran besar bagi Kyle
Timson, akuinya, walaupun pertama kali menjayakan watak tersebut di negara Asia seperti Malaysia, dia tetap perlu memberikan yang terbaik.
"Saya sangat berpuas hati kerana dapat menyampaikan karakter Shrek kepada peminat-peminatnya. Kehadiran ibu bapa yang membawa anak-anak mereka menonton Shrek pada malam ini membuatkan saya cukup teruja.
"Bagaimanapun, saya yakin, bukan anak-anak sahaja tetapi ibu bapa mereka juga menikmati pementasan ini," katanya.
Tambah Timson, meskipun perlu bersolek selama dua jam untuk kelihatan seperti Shrek sebenar, tetapi dia berasa sangat berbaloi.
"Saya seronok apabila penonton gembira dengan kehadiran saya di sini.
"Apapun, ia satu pengalaman berharga kerana bukan mudah menarik perhatian penonton yang sudah biasa menonton Shrek versi animasi," katanya.
Berkongsi babak romantisnya bersama Puteri Fiona, kata Timson, dia lega kerana adegan itu dapat dijayakan.
"Menjadi Shrek dan berhadapan puteri cantik adalah sesuatu yang luar biasa. Kerana itu ia perlu dilaksanakan dengan betul," katanya.
Menurut Lindsay Estelle Dunn, walaupun pementasan dijalankan dengan sepenuh hati, tetapi dia bimbang jika penonton tidak menyukainya.
"Saya perlu berlakon dan pada masa sama menyanyi. Ia sungguh sukar dan berat menjadi Puteri Fiona. Bagaimanapun, apabila mendengar penonton bertepuk tangan, ia menjadikan saya lebih bersemangat," katanya.
Bercerita lanjut, akui Fiona, dia tidak sangka sambutan diberikan oleh peminat Shrek di Malaysia sangat hebat.
"Penonton-penonton yang hadir nampaknya sangat teruja dengan pementasan ini.
"Saya yakin, Shrek mempunyai peminat luar biasa di sini dan ia membuatkan saya tidak sabar untuk beraksi pada pementasan seterusnya," katanya.
Dalam pada itu, Lindsay berkata, dia gembira kerana babak paling sukar, iaitu sewaktu bertukar menjadi Puteri Fiona versi Ogre dapat dilakukan dengan lancar.
"Semuanya berlaku sekelip mata dan saya sebenarnya bimbang jika ia tidak berjaya," katanya.
Berpuas hati dengan pementasan
Sementara Pengerusi TEG, Datuk Jared Lim berkata, dia berpuas hati dengan pementasan tersebut.
"Segala dirancang dijalankan dengan baik. Daripada aspek pementasan, secara keseluruhan ia cukup hebat dan sempurna.
"Mendengar tepukan audiens dan kanakkanak sudah cukup membuktikan pementasan ini berjaya," katanya.
Mengenai pelakon-pelakonnya pula, Kata Jared, lakonan mantap mereka tidak perlu dipertikaikan.
"Mereka merupakan pelakon broadway yang bukan calang-calang.
"Dengan lakonan mereka, pementasan ini benar-benar menjadi pementasan bertaraf dunia.
"Saya yakin penonton juga berpuasa hati dengan pementasan Shrek The Musical," katanya.