Monday, June 6, 2016

Rakan Cuba Cari Jodoh Untuk Fezrul Khan



Fezrul Khan memberikan tumpuan kepada karier seni dan anaknya selepas bercerai pada Ogos tahun lalu.
PETALING JAYA: Pelakon Fezrul Khan mengakui rakan-rakannya ada cuba memperkenalkannya dengan beberapa wanita selepas dia bercerai dengan bekas isterinya, Noorhafizah Zulkafli, 32 pada 19 Ogos tahun lalu.
Fezrul atau nama sebenarnya Fezrul Khan Junaidi, 36, bagaimanapun berkata, dia menolak secara baik kerana merasakan masih terlalu awal untuknya memulakan hubungan baharu selepas bercerai.
"Ada juga rakan-rakan cuba kenalkan saya dengan wanita lain selepas bercerai dan saya faham dengan niat baik mereka.
"Bagaimanapun saya masih belum bersedia dan merasakan masih terlalu awal untuk berbuat demikian," katanya.
Fezrul dan Noorhafizah mendirikan rumah tangga pada 5 Mei 2012 dan mereka dikurniakan seorang cahaya mata iaitu Farrel Khan yang kini berusia tiga tahun.
Dalam pada itu, Fezrul berkata, dia bukannya serik atau takut sebaliknya ingin memberi fokus kepada karier lakonannya terlebih dahulu buat masa ini.
Malah katanya, dia mempunyai tanggungjawab besar terhadap anaknya yang perlu diutamakan selain enggan memikirkan soal tersebut ketika ini.
"Sampai jodoh saya, Insya-Allah saya akan berkahwin tetapi sekarang perhatian saya hanya pada kerjaya dan anak.
"Komitmen dalam hubungan itu bukan sesuatu perkara mudah dan saya mahu benar-benar bersedia kerana pengalaman lalu banyak mengajar saya," katanya.
Sementara itu, Fezrul berkata, dia bersyukur kerana rezekinya dalam bidang seni semakin murah dan jadualnya padat sehingga penghujung tahun ini.
Malah katanya, dia juga mengambil kelas lakonan bagi memantapkan lakonannya dalam pembinaan karakter dalam sesuatu drama.
"Saya ada beberapa projek yang mengujakan saya dan sebagai persediaan saya masuk kelas lakonan untuk memantapkan lagi.
"Kehadiran saya dalam bidang seni ada tujuan dan ingin meninggalkan kesan kepada penonton dan peluang dan rezeki diberikan saya tidak mahu sia-siakan," ujarnya.
Dalam perkembangan lain, Fezrul berkata, dia bakal muncul dalam drama bersiri berjudulMr. Secret Admire disamping aktres Elfira Loy untuk siaran HyppTV.
Manakala selepas hari raya nanti, drama lakonannya Sayangku Kapten Mukhriz pula bakal menyusul menerusi slot Akasia TV3.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: