Monday, June 6, 2016

Faizal (AF4) Simpan Kisah Lalu, Belum Terlambat Ke Dunia Seni



Faizal (dua dari kiri) bersama mereka yang terlibat dalam penghasilan 'single' terbaharu nyanyiannya. 
KUALA LUMPUR: Juara program Akademi Fantasia musim keempat Faizal Ramliy (dulu dieja Ramly) yakin masih belum terlambat untuk kembali ke dunia seni meskipun pernah menghilang selama lima tahun.
Faizal atau nama sebenarnya Mohd Faizal Ramliy, 32, berkata, meskipun ada pihak bersikap skeptikal terhadap keputusan untuk kembali aktif namun dia enggan lagi menoleh belakang dan berazam menebus kembali peluang yang pernah dilepaskannya sebelum ini.

"Jika saya terlalu fikir apa yang orang ingin kata ia pada akhirnya akan meracun fikiran saya.

"Saya tidak perlu risau atau takut dengan persaingan daripada bakat-bakat baharu sebaliknya percaya masih ada peluang dan ruang jika saya berusaha," katanya.
Sekitar pelancaran single terbaharu Tanpa Dirimu nyanyian Faizal (dua dari kiri).
Faizal berkata demikian ketika ditemui pada sidang media pelancaran single terbaharunya berjudul Tanpa Dirimu yang diadakan di Saloma Bistro di sini, Selasa.

Dalam pada itu, Faizal berkata, dia tidak mahu mengenang lagi kisah silamnya kerana sudah memulakan kehidupan baharu.
Katanya, segala kejadian yang pernah berlaku kepadanya sebelum ini diambil sebagai iktibar dan pengajaran dalam mematangkannya sebagai seorang lelaki.

"Cukuplah lima tahun saya menyepi, karier saya musnah dan kehilangan ibu tersayang pada 24 April lalu benar-benar menguji saya.

"Tetapi setiap kejadian ada hikmahnya dan sebagai manusia saya mengambil setiap kesilapan yang pernah saya lakukan sebagai pengajaran untuk menjadi seorang lebih baik.

"Saya tidak hanya mahu berjanji dengan kata-kata tetapi Insya-Allah saya akan buktikan melalui perbuatan saya," jelasnya.

Tambah Faizal, sejak enam bulan lalu dia juga telah kembali berpindah dari kampungnya di Terengganu ke Kuala Lumpur untuk memastikan karier seninya lebih tersusun dan berjalan lancar.

Malah dia bersyukur kerana rezekinya untuk mengadakan persembahan pentas semakin banyak selain masih menerima sokongan peminat yang ditunjukkan menerusi laman sosial.
Imej terkini Faizal.
Sementara itu, bercakap mengenai Tanpa Dirimu, Faizal berkata, dia merakamkan lagu berkenaan hanya dalam masa dua minggu dan ia didedikasikan kepada Allahyarham ibunya, Zanidah Awang.

Bagaimanapun kata Faizal, dia terkilan kerana ibunya tidak sempat mendengar lagu berkenaan kerana wanita itu banyak memberi semangat kepadanya untuk bangkit semula dalam bidang seni.

"Lagu berkenaan meninggalkan kesan mendalam terhadap diri saya kerana ia sentiasa mengingatkan kepada ibu saya.

"Harapan dan kekuatannya membuatkan saya lebih bersemangat untuk terus berjuang sebagai penyanyi dan berharap peminat yang telah lama menanti kemunculan semula saya dapat menerima lagu terbaharu ini dengan baik," katanya.

Tanpa Dirimu adalah ciptaan komposer Aidil Zamri dan Hilmi Fazli manakala lirik ditulis oleh Shah Shamshiri dan Osman Ismail Hutson.

Mengenai kehidupan peribadi Faizal berkata, dia melalui tiga kali perkahwinan dan mengalami kegagalan rumah tangga bagi dua perkahwinan.

Menerusi perkahwinan pertama, dia mempunyai seorang anak perempuan berusia tujuh tahun, tiada cahaya mata bagi perkahwinan kedua manakala bagi perkahwinan terbaru, isterinya kini hamil lima bulan.

Dia bagaimanapun enggan berkongsi kisah rumah tangganya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: