KUALA TERENGGANU – Warung Nasi Dagang Kak Ros di Kampung Atas Tol di sini, diserbu lebih 3,000 pelanggan untuk menikmati nasi dagang percuma yang disediakan sempena ketibaan Ramadan kali ini.
Seperti kebiasaan, pemberian nasi dagang percuma di warung itu telah dimulakan sejak lima tahun lalu, bagaimanapun, kali ini sambutan diterima begitu luar biasa.
Pengusahanya, Rohana Yusoff, 43, berkata, seawal 6.30 pagi, pelanggan telah mula berkumpul dan beratur bagi mendapatkan menu istimewa, nasi dagang di warungnya itu.
“Pemberian nasi dagang percuma ini yang dimulakan sejak lima tahun lalu bertujuan menghargai pelanggan di samping menzahirkan rasa terima kasih di atas sokongan mereka yang tidak putus-putus sepanjang warung ini beroperasi.
“Memandangkan tahun lalu hasrat saya untuk menyediakan nasi dagang percuma tidak kesampaian disebabkan masalah kesihatan, alhamdulillah, hari ini semuanya berjalan lancar. Saya dimurahkan rezeki dan diberikan kesihatan yang baik untuk menjamu pelanggan yang datang,” katanya ketika ditemui di warungnya, di sini.
Rohana berkata, pihaknya menyediakan sebanyak 30 gantang nasi dengan 200 kilogram ikan tongkol bagi menu nasi dagang sementara lima gantang beras untuk nasi lemak diikuti laksa sebanyak 80 kilogram.
“Pada mulanya kami menyasarkan kehadiran pelanggan sekitar 3,000 orang sahaja bagaimanapun, pada jam 9 pagi, kita terpaksa menambah jumlah hidangan untuk 500 orang lagi.
“Alhamdulillah, sambutan kali ini adalah paling memberangsangkan berbanding jamuan makanan percuma yang kita pernah adakan pada tahun-tahun sebelum ini. Mungkin juga sambutan hangat ini hasil promosi yang berkesan mengenai jamuan ini di laman facebook, Nasi Dagang Atas Tol,” katanya.
Bercerita lanjut mengenai perusahaan warungnya itu, Rohana berkata, pada awalnya ia dimulakan dengan sebuah gerai perniagaan yang diusahakan bersama suaminya,  Tuan Zainuddin Tuan Ngah, 52, sejak 10 tahun lalu.
Kini, katanya, perusahaan itu diuruskan oleh anak sulungnya, Tuan Saidatul Jamilah, 24.
Keistimewaan nasi dagang hasil air tangan Rohana itu kini semakin menjadi sebutan ramai kerana keenakannya telah mendorong saluran dokumentari antarabangsa, National Geographic membuat rakaman mengenainya pada April lalu.
“Disebabkan pernah keluar dalam rancangan itu, kini warung kami juga dikenali dengan pelbagai gelaran antaranya Nasi Dagang Nat Geo,” katanya.
Menurut Rohana, selain nasi dagang, terdapat menu lain yang turut dijual di warungnya yang mana merupakan salah satu tarikan bagi pelanggan yang berkunjung ke situ.