Tuesday, December 8, 2015

Ubah sisa kayu jadi perabot



Ubah sisa kayu jadi perabot
Suhaimi (kiri) dan Razali mengukir senyuman tanda kepuasan dengan hasil kerja mereka selepas selesai menyiapkan set meja kopi yang ditempah Adun Tioman, Datuk Mohd Johari Hussain.
ROMPIN – Mula berjinak menghasilkan kraftangan berdasarkan kayu di rumah secara sambilan sekitar tahun 2011, dua pemuda generasi kedua Felda Selendang 1, di sini, kini layak bergelar usahawan dengan menawarkan produk perabot yang diperbuat daripada kayu.
Ia merupakan industri yang jarang diceburi oleh golongan muda seperti mereka yang sebenarnya menawarkan peluang cerah dan luas dalam kerjaya berkenaan untuk menjana pendapatan yang tinggi bergantung pada kualiti serta promosi.
Ada individu yang memiliki kemahiran mengukir atau membuat perabot berasaskan kayu setelah menjalani kursus di mana-mana institut kemahiran namun tidak kurang juga terdapat individu yang sememangnya dianugerahkan kemahiran tersebut sejak azali.
Tanpa memiliki sebarang latar belakang kemahiran berkaitan kraftangan berasaskan kayu, Md Suhaimi Saad, 31, tidak pernah putus asa dan bersama seorang rakannya, Mohd Razali Mustahak, 33, mula menyertai kursus untuk menambah kemahiran agar dapat menghasilkan produk yang lebih berkualiti.
Tugas membelah kayu
“Asal kisah saya mula terlibat dengan kerja kraf kayu ini ketika dalam proses membuat rumah pada tahun 2007 hingga 2011. Tugas saya membelah kayu dan dari situlah bermulanya minat untuk menghasilkan produk kraftangan yang berasaskan kayu.
“Pada waktu itu memang tiada kemahiran langsung dan hanya berbekalkan minat yang tinggi itu saya cuba-cuba buat sesuatu dengan kayu yang ada di rumah. Hasil tangan saya yang pertama ialah meja kayu. Ada kalanya ketika saya sedang menggosok kayu tidak sedar sampai boleh tertidur,” katanya sambil berseloroh.
Beliau yang kini sudah beroperasi di bengkel sendiri walaupun dalam kemudahan yang tidak sempurna tidak menafikan banyak dugaan dan cabaran untuk meneruskan minatnya itu terutama kekangan dalam bentuk kewangan.
“Seperti yang saya kata tadi, saya bermula di rumah namun terpaksa berpindah mencari tapak lain untuk dijadikan bengkel kerana mengambil kira kepentingan jiran-jiran sebab proses kerja membuat kraftangan kayu ini menghasilkan habuk dan bunyi bising.
“Tapak bengkel yang jadi pusat operasi sekarang ini dibuka sejak tahun 2013. Ini pun tidak kurang kisah pengorbanan untuk merealisasikannya kerana terpaksa menjual mesin gergaji untuk dijadikan modal bagi kerja menolak tanah serta sebagainya,” katanya.
Rezeki dipermudahkan
Bagaimana pun, dalam kesusahan dan kepayahan itu mereka juga dipermudahkan sumber untuk mendapatkan kayu seperti kayu balak lama serta tunggul kayu yang diperoleh di kawasan pembalakan berhampiran Felda Gugusan Selendang itu.
Menurut Mohd Razali, itu merupakan kelebihan yang mereka ada dan digunakan sebaik mungkin namun tidak dinafikan mereka juga bimbang jika ia menjadi satu kesalahan kerana mengambil kayu-kayu berkenaan walaupun ia hanya sisa pembalakan.
Tawarkan kualiti terbaik
Harga yang ditawarkan bagi setiap perabot yang dihasilkan pula adalah berdasarkan jenis produk atau kayu iaitu dari RM500 hingga RM10 ribu yang sudah tentu menjanjikan kualiti yang terbaik bagi setiap pelanggannya.
“Menjadi adat berniaga, pendapatan yang diperolehi memang tidak menentu iaitu bergantung kepada tempahan namun sokongan daripada rakan-rakan di sini menjadikan kami kuat untuk terus berusaha hingga berjaya.
“Perancangan kami selepas ini adalah untuk membeli mesin, alat kraf kayu dan kemudahan lain yang dapat memudahkan kerja serta menghasilkan lebih banyak rekaan perabot pada masa akan datang agar kami dapat terus memberikan kualiti terbaik kepada para pelanggan,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: