DONGENG rakyat ini sememangnya terkenal di kalangan masyarakat sejak dahulu lagi.
Bahkan masih terngiang-ngiang sehingga kini bait-bait lagu Perigi Biru dan Laju-laju Buaiku Laju yang sangat sinonim dengan filem Bawang Putih Bawang Merah sentuhan pengarah S. Roomai Noor, yang diterbitkan sekitar tahun 1959 itu.
Kerana itu apabila naskhah popular yang pernah diterajui Latifah Omar, Umi Kalthom, Mustapha Maarof, Siti Tanjung Perak dan Aminah Yem ini diangkat ke pentas teater, rata-rata penggemar filem itu tidak sabar untuk melihat sejauh mana kehebatan karya berkenaan dalam versi teater.
Baharu sahaja dipentaskan di Istana Budaya (IB) bermula 3 Disember lalu, teater sentuhan pengarah Erma Fatima dan A Aris Kadir ini wajar diberi pujian sementelah ia berjaya diterjemahkan dengan cukup baik.
Sama ada pelakon, jalan cerita, prop atau pun aspek teknikal, hampir keseluruhannya sempurna dan tidak ada celanya.
Mengimbas sejenak perjalanan teater ini, ia berkisarkan kisah seorang gadis kampung iaitu Bawang Merah yang terpaksa berhadapan seksaan ibu tirinya, Mak Kundur dan kakak tirinya, Bawang Putih selepas kematian ibunya, Labu.
Tidak perlu menunggu lama, menerusi babak pertamanya sahaja, teater ini telah berjaya menawan hati penonton pada malam pementasan itu.
Bukan kerana bersandarkan paras rupa beberapa pelakon utamanya sahaja, tetapi kemampuan mereka memainkan peranan yang digalas membuatkan penonton terkesan dengan lakonan mereka.
Ia terbukti apabila Fathia Latiff yang menjadi Bawang Merah menghidupkan karakternya dengan baik. Watak gadis kampung yang dihimpit penderitaan berjaya direalisasikan olehnya. Paling terkesan, ketika dia meratapi kehilangan ibunya dan diseksa oleh ibu tiri. Di saat itulah, penonton dapat merasai penderitaannya.
Pada masa sama, kehadiran Juliana Evans sebagai Bawang Putih juga tidak kurang hebatnya. Berjaya menonjolkan karakternya yang gedik, pemilihan Juliana boleh dikatakan sebagai penyeri kepada teater ini. Ia terbukti apabila setiap kemunculannya berjaya mencuit hati penonton.
Secara keseluruhan, plot teater ini sebenarnya amat menarik dan sedikit berbeza daripada versi filem, namun ia tetap sarat dengan emosi.
Selain Fathia Latif dan Juliana Evans, pementasan teater ini turut didukung oleh Fauziah Ahmad Daud, Fazlina Ahmad Daud, Beto Kushairi, Nabila Huda dan Syarul Ridzwan.
Mak Kundur bikin hati panas!
Nama Fauziah Ahmad Daud atau lebih dikenali sebagai Ogy Ahmad Daud sememangnya tidak asing dalam arena perfileman Melayu.
Sementelah, bakatnya dalam bidang itu bukan calang-calang. Berikan apa sahaja watak, pasti dia berjaya melakonkannya dengan baik.
Kerana itu, setelah Erma mengumumkan Ogy akan memainkan peranan Mak Kundur, ramai yang tertunggu-tunggu untuk melihat bagaimana pelakon hebat itu merealisasikan watak tersebut.
Sebagai pelakon berpengalaman, apa yang boleh dikatakan, Ogy benar-benar menghidupkan watak Mak Kundur dengan jayanya.
Jika penonton filem Bawang Putih Bawang Merah melahirkan rasa bengang atau benci kepada Mak Kundur dalam filem itu, tidak mustahil rasanya penonton turut menzahirkan rasa yang sama kepada Ogy menerusi pementasan teater berkenaan.
Selain itu, watak Labu lakonan adik kepada Ogy iaitu Fazlina Ahmad Daud juga telah menyentuh jiwa penonton.
Ini kerana, sebagai Labu, Fazlina banyak beralah kepada Kundur dan sentiasa berprasangka baik terhadap madunya itu.
Walaupun hanya muncul untuk beberapa babak, tetapi Fazlina telah berhasil menjadi Labu yang penuh emosi.
Tidak hanya tertumpu kepada plot utama, menarik mengenai teater ini, Erma telah mewujudkan beberapa watak dan elemen menarik sebagai kelainan naskhah ini.
Antaranya dengan menampilkan watak Bongkok lakonan Beto Kushairi dan watak Nenek Kebayan lakonan Nabila Huda.
Mendengar nama mereka sahaja, sudah pasti ramai yang bersetuju lakonan mereka pasti berjaya kerana keduanya mempunyai bakat besar sebagai anak seni.
Berkongsi mengenai lakonan Beto, watak Bongkok yang dilakonkan begitu menyerlah di mata penonton.
Kerana itu, setiap kali Bongkok hadir, pelbagai respons spontan muncul daripada penonton, ada yang ketawa dan bertepuk tangan dengan penampilan Beto malam itu.
Begitu juga dengan Nabila Huda, walau pun Nenek Kebayan hanya muncul seketika, tetapi sehingga ke penghujung, penonton masih terbayangkan karakter berkenaan.
Nabila wajar diberikan pujian kerana kehebatannya menjadi Nenek Kebayan pada malam itu.
Sementara itu, watak Sultan yang dimainkan oleh Syarul Ridzwan bagaimana pun hanya biasa-biasa sahaja kerana peranannya itu tidak memerlukan dia seorang yang luar biasa.
Selain itu, menerusi prop gergasi yang ditampilkan Erma, khususnya ketika babak Merah memberi makan kepada ibunya yang bertukar kepada Ikan Kaloi dan hutan ajaib yang dibina khas untuk pementasan teater ini, ianya berjaya menawan hati penonton.
Elak kesilapan teknikal
Mengakui agak berat cabarannya sebagai pengarah teater berkenaan, akui Erma, masih banyak yang perlu diperbaiki.
"Apa yang saya lihat pementasan ini agak berjaya dalam beberapa aspek. Kita cuba elakkan daripada berlaku kesilapan teknikal dan setakat ini ia telah berjaya," katanya.
Bertanya apakah dia berpuas hati dengan tahap lakonan teraju utama teater itu, kata Erma, dia tidak pernah berpuas hati dengan apa sahaja yang dilakukan olehnya.
"Saya tidak akan berpuas hati walau pun mereka telah memberikan yang terbaik. Apa pun, mereka telah membuat sebaik mungkin dan saya harap ia dapat diteruskan atau mungkin menjadi lebih baik sepanjang pementasan.
"Selain itu, saya harap penonton berpuas hati dengan pementasan teater ini," katanya.
Berkongsi mengenai kewujudan watak Bongkok dan Nenek Kebayan, jelasnya, apa yang dilakukan dengan menampilkan watak tersebut adalah untuk memberikan sedikit perbezaan berbanding karya terdahulu.
"Bongkok dan Nenek Kebayan adalah cubaan saya untuk menjadi karya ini lebih menarik. Syukur ianya menjadi dan menjadi perhatian," katanya.
Sementara itu, bagi Ogy pula, dipilih untuk memainkan karakter Kundur adalah sesuatu yang sangat dihargainya.
"Bila mendapat tahu akan menjadi Kundur, memang saya seronok. Ini kerana Kundur sangat kejam dan saya perlu benar-benar kejam kepada Fathia yang menjadi Merah," katanya.
Di aju pertanyaan, bagaimana bekerjasama dengan Fathia dan Juliana pula, akui Ogy, dia seronok bekerja dengan kedua aktres muda itu.
"Keduanya pelakon baharu yang bagus, mereka banyak bertanya kepada saya dan tidak segan belajar untuk menjadi yang terbaik.
"Dalam teater ini, saya berpasangan dengan Juliana dan bagi saya, dia berjaya menghidupkan wataknya," katanya.
"Saya sangat bimbang dengan reaksi penonton, menjadi Merah bukannya mudah, saya perlu menjadi gadis kampung yang benar-benar kasihan di mata penonton. Ada juga babak diseksa dan menangis, itu benar-benar mencabar kredibiliti saya," Fathia Latiff
"Sukar sebenarnya menjadi Putih yang 'over gedik', tetapi bantuan Kak Erma dan pelakon lain membuatkan saya menjadi lebih yakin untuk merealisasikannya. Untuk pengetahuan semua, setiap pergerakan dan lontaran dialog adalah direka sendiri oleh saya untuk teater ini. Alhamdulillah, nampaknya ia berhasil," Juliana Evans.
"Menjadi Bongkok adalah interpretasi yang tinggi menerusi teater ini. Pertama kali menjadi Bongkok bukan mudah kerana ia sebuah watak yang luar biasa. Saya telah menjalankan banyak kajian dan membuat rujukan bagi memastikan Bongkok tidak kekok dan kaku di mata penonton," Beto Kushairi.
"Kak Erma memang gemar memberikan saya watak yang berlainan dan saya sendiri seronok menjadi Nenek Kebayan. Bagi saya, ia satu pengalaman baharu dan bukan semua orang berpeluang memainkan karakter sebegini," Nabila Huda.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: