Thursday, December 17, 2015

Tampung belanja sebagai runner



Tampung belanja sebagai runner
Man Runner (kiri) bersama team ‘runner’ di Terengganu bergambar selepas mengadakan pertemuan ringkas kumpulan berkenaan di Taman Rekreasi Batu Burok.
KUALA TERENGGANU – “Saya sekadar cuba nasib je, mana tahu boleh tambah duit poket, tak perlu nak susahkan mak ayah untuk bagi duit belanja saya kat universiti,” jelas seorang penuntut Universiti Malaysia Terengganu (UMT) yang memilih menjadi penghantar barang atau lebih dikenali sebagai ‘runner’ sejak dua bulan lalu secara separuh masa.
Muhammad Nurdaniel Aiman Mazlan, 19, berkata, dia hanya melakukan kerja ‘runner’ pada hujung minggu jika ada luang kerana tidak mahu mengganggu pembelajarannya di universiti tempatan itu.
“Hujung minggu baru saya buat kerja ni (runner), kalau hari biasa saya tumpukan untuk ‘study’. Tetapi walaupun hujung minggu, pendapatan saya agak lumayan kerana boleh dapat sekitar RM500 hingga RM600 sebulan.
“Saya buat keputusan untuk jadi ‘runner’ pada hujung minggu kerana tidak mahu masa itu terbuang begitu sahaja selain dapat memberi pendapatan kepada saya sendiri,” katanya kepada Sinar Harian.
Menceritakan penglibatannya dalam dunia ‘runner’, Man berkata, pada mulanya dia melihat kerja-kerja ‘runner’ yang ada di laman media sosial termasuk laman facebook beberapa ‘runner’ sedia ada di Terengganu.
“Saya tertarik dengan kerja mereka dan saya cuba menghubungi salah seorang daripada orang lama sebagai ‘runner’ untuk minta tunjuk ajar dan Alhamdulilah sudah dua bulan saya menjadi ‘runner’ dengan nama panggilan Man Runner,” ceritanya.
Tidak tetapkan bayaran
Mengenai upah, Man berkata, dia juga seperti ‘runner’ lain yang tidak menetapkan bayaran kepada pelanggan malah masih mengekalkan konsep upah seikhlas hati.
Namun katanya, dia pernah melakukan kerja menghantar barang kepada pelanggan tanpa upah dan dia tidak pernah simpan di dalam hati malah menganggap pelanggannya itu tidak memahami apa itu ‘runner’.
“Pernah sekali dua saya hantar barang kepada pelanggan dan lepas tu dia tak ada bagi apa-apa (upah) pun, tapi saya tak kisah kerana itu bukan rezeki saya dan percaya mungkin dia (pelanggan) tak faham tugas saya,” jelasnya.
Biarpun banyak cabaran yang terpaksa Man lalui sebagai ‘runner’ termasuk keadaan cuaca terutama musim hujan, dia tidak pernah mencipta alasan untuk tidak menunaikan kehendak pelanggannya.
“Saya bergerak menghantar pesanan pelanggan dengan menggunakan motosikal sahaja, tetapi itu tidak menghalang saya untuk tidak memenuhi permintaan pelanggan. Setakat ini paling jauh saya pernah hantar barang di Hulu Terengganu, kawasan lain belum lagi,” ceritanya.
Manakala lain pula kisah seorang ‘runner’ yang bekerja sepenuh masa, Nor Azmam Sidek, 32, atau lebih dikenali sebagai Adam Runner.
Menurut cerita Adam, dia pernah melalui detik cemas ketika menghantar bunga yang dipesan pelanggannya iaitu terlibat dalam kemalangan jalan raya di Wakaf Beruas bulan lepas sehingga keretanya rosak teruk dan terpaksa meminta pertolongan ‘runner’ lain untuk menyelesaikan pesanan berkenaan.
“Inilah cabaran sebagai ‘runner’ sebab kadang-kadang kami kejar masa. Orang Terengganu ni mereka suka telefon pada saat-saat akhir untuk membuat pesanan, tetapi saya perlu bijak mengatur jadual perjalanan bagi mengelak perkara sama berulang (kemalangan).
“Pagi-pagi sebelum keluar saya akan tengok telefon dan membuat senarai pesanan paling awal dan kemudian menilai yang mana mahu segera, saya dahulukan untuk memudahkan saya mengatur perjalanan harian.
“Dalam sehari adalah lebih kurang 10 pesanan tetapi bergantung kepada keadaan juga kadang-kadang lebih. Masa tulah (banyak pesanan) nak cari duit lebih pun,” katanya yang memperoleh pendapatan hampir RM100 sehari.
Nekad tutup bengkel untuk jadi runner
Adam yang menetap di Kampung Padang Midin, baru menjadi ‘runner’ empat bulan lalu setelah bermacam pekerjaan dilakukannya yang dirasakan tidak sesuai dengan keadaan ekonomi sekarang.
“Sebelum ni saya pernah bekerja sendiri dengan membuka bengkel kereta tetapi memandangkan saya suka bekerja sebagai ‘runner’, saya ambil keputusan tutup kedai dan fokus kepada satu pekerjaan (runner) sahaja,” ceritanya.
Bagi Adam, pekerjaan yang dilakukannya sekarang sangat seronok kerana amat sesuai dengan jiwanya yang suka keluar jumpa orang ramai selain dapat mengenali banyak lokasi baharu terutama kedai makan yang belum pernah ditemuinya selama ini.
“Pesanan paling banyak saya terima ialah makanan, jadi pada waktu tengah hari saya akan bersiap sedia untuk menghantar makanan kepada pelanggan yang telah membuat pesanan. Tapi kadang-kadang ada juga yang baru nak pesan, saya ambil juga kerja tu, kalau tak (ambil), macam mana nak dapat duit lebih,” katanya lagi.
Adam turut mengakui masanya agak terhad kerana keluar awal pagi dan pulang selepas lewat petang, malah kadang-kadang terpaksa bangun seawal tiga pagi kerana mengambil pesanan pelanggan yang dihantar melalui bas ekspres di Hentian Bas MBKT, di sini.
“Saya pernah hantar barang ke Kuala Berang dan bila pulang ke sini (Kuala Terengganu), sekali lagi menerima pesanan untuk ke Kuala Berang semula, walaupun penat tetapi itulah rezeki saya,” ceritanya.
Dalam masa sama, Adam juga suka berkongsi pengalamannya bersama ‘runner’ baharu kerana mahu membantu mereka terutama golongan belia yang tidak mempunyai pekerjaan.
Nasihatnya, sebagai ‘runner’ kepercayaan pelanggan adalah perkara penting yang perlu diterapkan sekiranya mahu kekal lama dalam dunia ‘runner’ kerana dari situ kita akan dapat lebih ramai pelanggan kerana kerja itu turut melibatkan barang berharga dan juga wang ringgit.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: