Thursday, December 17, 2015

Datuk dipenjara dera cucu



Datuk dipenjara dera cucu
Tertuduh dipenjara 30 bulan selepas mengaku salah mendera cucunya berusia empat tahun ketika dihadapkan ke mahkamah sesyen, semalam.
KUALA TERENGGANU - Perbuatan tidak berperikemanusiaan seorang datuk yang sanggup mendera cucu perempuannya  berusia empat tahun menerima pembalasan apabila dijatuhi hukuman penjara 30 bulan oleh mahkamah sesyen, di sini, semalam.
Keputusan itu dibuat selepas tertuduh berusia 44 tahun itu mengaku salah atas pertuduhan telah menganiayai kanak-kanak perempuan yang juga cucunya berusia empat tahun sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal.
Dia mengaku salah sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan kanak-kanak iaitu datuk kepada mangsa melakukan perbuatan berkenaan di sebuah rumah di Kampung Banggol, Setiu, antara bulan Februari lalu hingga 3 Ogos lalu.
Dengan itu, tertuduh mengaku salah melakukan kesalahan mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan boleh dihukum di bawah akta sama yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM20,000 atau penjara selama tempoh tidak lebih 10 tahun atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Hafiz Abd Rahman di hadapan Hakim Wan Norzanuar Wan Ahmad.
Sementara itu, isteri tertuduh berusia 27 tahun yang juga nenek tiri kepada mangsa turut didakwa melakukan perbuatan itu bersama-sama mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan atas dakwaan berkenaan.
Sejurus pengakuan tidak bersalah direkodkan, Wan Norzanuar menetapkan 18 Januari depan sebagai tarikh sebutan semula kes untuk serahan dokumen serta dalam masa sama, tiada sebarang jaminan ditawarkan terhadap wanita itu.
Berdasarkan fakta kes, kejadian yang menimpa kanak-kanak malang itu hanya disedari pada 3 Ogos lalu ketika mangsa dibawa ke Hospital Sultanah Nur Zahirah, di sini, oleh bapa saudaranya untuk mendapatkan rawatan.
Ketika itu, petugas hospital di zon kuning HSNZ mendapati mangsa cedera kerana didakwa telah terjatuh ketika sedang bermain.
Bagaimanapun, pemeriksaan awal mendapati terdapat banyak kesan lebam lama dan baru serta luka lama dan baru di seluruh tubuh mangsa.
Petugas hospital itu mensyaki mangsa telah didera secara fizikal berdasarkan pemeriksaan tersebut dan bapa saudara yang menghantar mangsa mengakui perkara itu serta memberitahu dia diminta supaya membawa mangsa ke hospital bagi mendapatkan rawatan oleh datuknya.
Pada keesokan harinya, 4 Ogos lalu, lebih kurang jam 2 petang, pasangan suami isteri itu telah menyerah diri di Balai Polis Permaisuri.
Berdasarkan keterangan beberapa saksi yang melihat kejadian itu memberitahu sebelum ini, mangsa telah ditumbuk dan dipukul di bahagian mata sebanyak dua kali oleh tertuduh sendiri.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: