SEORANG saksi memberitahu Mahkamah Majistret Ampang hari ini, dia ternampak hidung dan telinga bekas isteri Awie, Rozana Misbun berdarah ketika wanita itu datang ke bank untuk urusan pengeluaran wang pada 2 Jun tahun lalu.
Pegawai bank, Zailah Zahid, 43, bertugas di Alliance Bank cawangan Ampang Point berkata, ketika Rozana sampai di bank kira-kira jam 1 tengah hari bersama pemandu peribadinya, Rozana kelihatan biasa namun dia menutup hidung dan mulutnya menggunakan sapu tangan.
"Rozana kelihatan biasa sahaja namun apabila dia cuba menurunkan tanda tangan pada borang pengeluaran wang, saya lihat ada sedikit darah pada hidungnya,"jelas saksi pendakwaan keenam itu.
Menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya Goh Ai Rene pada perbicaraan kes melibatkan penyanyi rock Awie atau nama sebenarnya Ahmad Azhar Othman, 47, yang didakwa atas pertuduhan dengan sengaja mendatangkan kecederaan parah terhadap isteri, saksi itu memaklumkan, mata Rozana juga kelihatan merah seperti baru lepas menangis.
Selanjutnya, Zailah berkata, dia juga melihat terdapat sedikit darah pada bahagian cuping telinga Rozana, 37.
" Saya sangkakan dia tidak sihat, saya tanya kenapa tapi dia hanya membuat isyarat supaya senyap dengan meletakkan jari di mulut,"jelasnya.
Zailah berkata, dia sememangnya mengenali Rozana isteri kepada penyanyi rock terkenal dan dia ada menasihati Rozana supaya pergi ke klinik untuk mendapatkan rawatan.
Sementara itu, Zailah memberitahu, pada hari tersebut, Rozana ingin membuat pengeluaran wang tunai dari akaun semasa berjumlah RM29, 650 iaitu hampir keseluruhan daripada jumlah akaunya berjumlah RM29, 680.
"Selepas Rozana menandatangani borang pengeluaran, saya menyediakan wang dan mendapatkan pengesahan dari manager, kemudian menyerahkan wang tersebut.
Wang berkenaan diletakkan atas meja kaunter sebelum Awie yang berada di kaunter berkenaan mengambil wang tersebut,"katanya.
Pada 4 Julai tahun lalu, Awie mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan atas pertuduhan menyebabkan kecederaan parah terhadap Rozana di Jalan 9 USB 5, Taman Ukay Bestari, jam 1.30 petang, 2 Jun tahun lalu.
Pendakwaan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda jika sabit kesalahan.
Sementara itu ketika disoal balas peguam Hazman Harun yang mewakili Awie, Zailah berkata dia tidak nampak sebarang kelakuan mencurigakan atau pertengkaran antara Awie dan Rozana di dalam bank berkenaan.
Zailah juga bersetuju dengan cadangan peguam, bahawa dia hanya melihat sedikit darah pada hidung dan telinga Rozana.
Perbicaraan di hadapan Majistret Ayuni Izzati Sulaiman bersambung 12 Januari depan.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: