
NAMA Ahmad Idham Ahmad Nadzzri sememangnya bukan asing lagi dalam industri seni.
Mula menceburkan diri dalam bidang perfileman sebagai pelakon tambahan menerusi filem KLU pada 1994. Ahmad Idham seterusnya menjadi perhatian selepas gandingannya bersama Haliza Misbun menerusi drama bersiri Cinderella mendapat tempat di hati penonton beberapa tahun selepas itu.
Tidak hanya berbakat dalam bidang lakonan, Ahmad Idham kemudiannya menceburi bidang pengarahan pada 1998 dengan mengarah sebuah telefilem Tarantula.
Antara pencapaian terbaiknya dalam bidang pengarahan adalah apabila dinobatkan sebagai Pengarah Terbaik Anugerah Skrin 2004 dan kemudiannya memenangi Anugerah Pengarah Harapan di Festival Filem Malaysia pada tahun sama.
Di sebalik kecemerlangannya selaku pengarah prolifik di Malaysia, Ahmad Idham mula memperlahankan kerjayanya dan kemudiannya ke Johor Bharu.
Tidak berhijrah kosong, beliau seterusnya membuka Ahmad Idham Film Academy (AIFA) yang terletak di Nusajaya Wilayah Pembangunan Iskandar, Johor.
Antara sebab utama Ahmad Idham membuka akademi di Johor pada ketika itu adalah kerana kewujudan Pinewood Studios.
Namun, setahun selepas pembukaannya, Ahmad Idham mengambil keputusan untuk memindahkan akademinya ke Kuala Lumpur demi memenuhi peluang kerjaya kepada pelajarnya.
“Saya mula membuka AIFA adalah kerana kewujudan Pinewood Studios dan saya juga mahu melahirkan penggiat seni yang mempunyai pendidikan dalam bidang yang mereka ceburi. Kemudian saya lihat Pinewood Studios adalah lokasi yang sesuai buat mereka menjalani latihan industri.
“Alhamdulillah setakat ini saya mempunyai kira-kira 100 pelajar yang akan melangkah ke bidang diploma bermula awal tahun depan.
“Namun janji-janji dari Pinewoods Studios kini tinggal janji apabila mereka tidak mengiktiraf sijil kemahiran biarpun ia dikeluarkan oleh Kementerian Sumber Manusia.
“Dek kerana itu, saya beralih ke Kuala Lumpur dan berharap akan lebih ramai lagi menyertai AIFA selepas ini,” katanya.
Menurut Ahmad Idham, biarpun Pinewood Studios tidak menerima mereka, namun ia tidak menjadi penghalang buatnya mengembangkan AIFA dan seterusnya memastikan akademi miliknya menjadi pintu masuk buat mereka yang ingin menyertai industri.
“Pekerja yang terlibat dalam bidang industri perfileman merupakan satu aset yang cukup berharga. Mereka yang dibelakang tabir ini, merupakan tunjang, dalam penghasilan karya berkualiti, sekali gus mempertingkatkan tahap kualiti penghasilan sesebuah filem. AIFA merupakan satu inisiatif yang saya ambil, dalam membantu perkembangan industri perfileman tempatan, dengan menyediakan tenaga kerja berkemahiran dan mendapat pendidikan yang bersesuaian.
“Kursus yang ditawarkan berkonsep vokasional dan praktikal. Ini memberikan setiap pelajar lebih peluang merasai dan mengalami keadaan dan persekitaran kerja sebenar. Ianya merupakan satu kelebihan, kerana setiap pelajar yang selesai mengikuti kursus ini, sudah mempunyai pengalaman, dan bukan sekadar teori.
“Lagipun cita-cita untuk membantu industri ini telah lama diimpikan, dan saya rasakan ianya merupakan satu tanggungjawab sebagai anak seni. Saya juga mahu membina empayar dan industri sendiri menerusi AIFA,” katanya.
Tambah Ahmad Idham untuk mendapatkan maklumat lanjut, juga sebarang pertanyaan, boleh berbuat demikian dengan melayari laman sosial www.facebook.com/aifamalaysia dan di Twitter @AifaMalaysia.
Kritikan jadi kekuatan
Mengimbau pahit jerihnya di dalam industri, Ahmad Idham berkata, dia pernah berhasrat untuk membawa industri seni ke tahap yang lebih baik suatu ketika dahulu. Namun, usahanya itu di salah anggap dan dipandang sepi oleh penggiat seni yang lain.
Ahmad Idham berkata, biarpun ia pahit untuk ditelan, namun ia tidak sesekali menjadi penghalang buatnya untuk terus memacu industri selepas ini.
“Kenapa industri TV kita lihat semakin lama semakin berkembang dan diterima baik oleh masyarakat? Kerana mereka ada individu-individu yang tahu bagaimana untuk membawa stesen mereka gah di mata penonton.
“Tapi kenapa industri filem tidak sebegitu? Kerana kita tidak ada pengurusan yang mahir mengenai filem dan setiap kali orang atasan berubah, hala tuju juga berubah menyebabkan tiada penambahbaikan dalam industri filem.
“Pada pandangan saya, janganlah kerana dua filem berjaya mencatat kutipan yang tinggi, kita sudah boleh lihat industri pulih. Sebaliknya kita kena terus mengkaji apa filem yang disukai dan hasilkan sesuatu yang berkualiti,” katanya yang menganggap setiap kritikan sebagai pembakar semangatnya untuk berjaya.
Pertaruh Mat Moto
Sementara itu, berkongsi perkembangan terkininya, Ahmad Idham berkata, filem terbaharu arahannya, Mat Moto akan menemui penonton di pawagam pada 24 Disember ini.
Biarpun judulnya sama dengan filem arahan sama oleh Pekin yang akan menemui penonton awal tahun hadapan, dia tidak melihat ia sebagai satu masalah mahupun persaingan.
“Pada saya ia adalah dua karya yang berbeza biarpun judul sama. Lagipun filem saya ini diinspirasikan oleh pelajar saya sendiri.
''Apatah lagi, karya mengenai mat motor sudah lama saya hasilkan dan saya percaya saya sudah ada pengikut tersendiri saya akan datang menonton filem ini nanti,” katanya.
Ahmad Idham berkata, filem ini juga menjadi bukti bahawa dia tidak pernah berundur mahupun merajuk dengan industri sebaliknya, memilih untuk menghasilkan karya yang berkualiti untuk dipersembahkan kepada penonton.
Selain Mat Moto, Ahmad Idham juga kini sedang sibuk mengarahkan sebuah drama untuk slot Lestari TV3 yang akan disiarkan sekitar Januari atau Februari depan.
“Saya juga kini dalam proses untuk mengarahkan sebuah filem adaptasi dari novel. Namun, apa judulnya kena tunggu pengumuman saya nanti,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: