Thursday, December 10, 2015

Black impi anak perempuan



Black impi anak perempuan

PENYANYI Black Hanifah tidak menjangka, rezeki yang masuk mencurah-curah sejak akhir-akhir ini menjadi antara petanda awal sebelum dia mengetahui isterinya, Naquia Yasirah sedang hamil.
Menurut Black, pada awalnya, dia merancang membawa isteri dan anaknya, Khaleef Dayyan, 10 bulan untuk pergi bercuti, namun satu persatu tawaran yang diterima membuatkan dia terpaksa membatalkan hasrat  itu.
Tidak lama kemudian, dia mengetahui isterinya hamil dan mengibaratkan ia rezeki berganda.
“Buat masa ini saya sibuk dengan Juara Parodi dan dalam masa  sama membuat persediaan untuk Juara Lagu. Selain itu saya turut terlibat dengan Mentor Milenia dan selepas habis Mentor saya akan terlibat dengan Ceria Popstar.
“Selain itu, album terbaharu saya, akan keluar dalam bulan ini juga dan menampilkan enam buah lagu antaranya Teman Pengganti, Mana Mungkin dan Si Putih Si Merah serta album itu  turut memuatkan sebuah CD karaoke.
“Bila lihat jadual saya, baru saya tahu ALLAH telah susun cantik perjalanan saya dan saya percaya ini semua adalah rezeki anak,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran Mentor Milenia, baru-baru ini.
Tambah Black, isterinya kini sedang hamil sembilan minggu dan dia berharap mendapat anak perempuan pula.
“Sebenarnya kami tidak merancang, apatah lagi menjangka mendapat anak secepat ini. Tapi saya terima dan rasa teruja memang tak sama macam yang pertama.
“Apa pun saya berharap dapat anak perempuan pula selepas ini. Jadi lengkaplah sepasang anak dan bolehlah jarak lama sikit untuk anak yang seterusnya,” katanya yang mengimpikan empat anak.
Ditebak tindakannya yang mengumumkan terlalu awal berita kehamilan isterinya, Black berkata, dia berbuat demikian demi mengharapkan doa yang baik-baik daripada peminat agar anak yang dikandung isterinya sihat dan tidak mengalami sebarang komplikasi.
“Saya akui ada yang tanya kenapa kenapa cepat sangat umum tapi sebelum ini bila kami rahsiakan, salah. Bila umumkan pun salah juga.
“Masa anak pertama, saya tiada pengalaman. Tapi kali ini saya fikir kalau berkongsi berita baik, mungkin ramai yang akan mendoakan yang baik-baik,” jelasnya.
Sementara itu, berkongsi penglibatannya dalam program terbaharu, Mentor Milenia, Black berkata, dia teruja menjadi mentor, namun tidak berasa asing kerana dia dari program yang sama.
“Alhamdulillah dulu protege kini mentor. InsyaALLAH saya akan gunakan pengalaman saya untuk menggilap bakat protege saya. Malah, saya juga sudah ada team yang akan membantu saya sepanjang pertandingan ini,” katanya yang akan menjalani sesi uji bakat pencarian protegenya pada 26 Disember di Studio Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, Shah Alam.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: