Monday, December 21, 2015

‘Ini tanggungjawab saya’



‘Ini tanggungjawab saya’
Mohd Aryan menghidangkan nasi untuk ibunya.
SEMUA agama di dunia ini mahukan penganutnya memuliakan ibu bapa. Apatah lagi di sisi Islam, sehinggakan syurga itu letaknya di bawah tapak kaki ibu.
Bagi saudara baharu, Mohd Aryan Khailash Arumugam yang telah memeluk Islam sejak setahun lalu, jasa dan pengorbanan kedua orang tuanya perlu dibalas dengan sempurna, meskipun mereka berlainan agama.
Walaupun kedua ibu bapanya penganut agama Buddha, tetapi sebagai anak dia mempunyai tanggungjawab yang perlu diselesaikan, iaitu menjaga dan menghormati ibu bapanya selagi hayat mereka ada di dunia ini.
“Dari dulu sehingga kini saya masih lagi tinggal serumah dengan ibu dan ayah, walaupun pada mulanya mereka bersikap dingin dengan tindakan saya memeluk Islam tanpa pengetahuan mereka, namun itu hanyalah sementara.
“Ibu merupakan insan yang sentiasa memberi sokongan terhadap apa jua keputusan yang saya lakukan, demi memastikan saya gembira, cuma ayah yang masih belum dapat terima kenyataan...tetapi hubungan kami baik," katanya.
Menurutnya, mungkin disebabkan dia anak tunggal dan menjadi harapan bapanya.
Walaupun demikian, katanya, hubungan mereka tiga beranak masih lagi baik, malah lebih baik berbanding sebelumnya.
Islam ajar erti kasih sayang
Menurut Mohd Aryan, sejak dia memeluk Islam, dirinya ibarat mendapat cahaya hidup yang baharu dan lebih bersemangat.
Katanya, Islam banyak mengajarnya erti sebuah kehidupan dan kasih sayang dalam hubungan keluarga, kawan dan masyarakat.
“Jika dulu hidup saya tak tentu hala dan tanpa tujuan, tetapi kini semua yang saya lakukan jelas serta bermatlamat demi menuntut keredaan ALLAH.
“Tiada apa yang menggembirakan, selain hubungan akrab saya dengan ibu masih lagi seperti biasa, malah ibu juga tidak pernah membenci saya, walau pun kami berlainan agama," katanya.
Menurutnya, hubungan antara ibu dan anak tidak mungkin dapat diputuskan, kerana itu adalah sesuatu yang hakiki.
Tambah Mohd Aryan, sejak memeluk Islam, keluarga tidak pernah menghalang dia melakukan ibadat di rumah, mahupun membaca buku agama.
Perjalanan hidupnya seolah-olah telah dirancang dengan baik oleh tuhan dan tiada sebarang kesulitan ialami, sebaliknya banyak perkara kebaikan datang dalam dirinya.
“Saya bersyukur kepada ALLAH SWT kerana memberi hidayah kepada saya untuk mendalami ilmu dan mempelajari Islam itu sendiri.
“Tak pernah terlintas pendedahan awal mengenai Islam sejak tiga tahun lalu melalui seorang ustaz, mendorong diri saya mahu mengenali Islam ini dengan lebih dekat, sekali gus menjadikan ia sebagai agama rasmi diri saya,” katanya.

Tertarik kisah nabi
Katanya, semuanya bermula pada 2014, ketika itu usianya mencecah 26 tahun. Terdapat seorang ustaz yang tinggal di Kuala Pilah sering berdamping dengannya dan menceritakan kisah nabi sehingga memberi kesan kepadanya.
Bermula dari situ, hatinya mula terdetik untuk mendekati Islam dan sedikit demi sedikit, akhirnya hasrat memeluk agama Islam disuarakan kepada rakannya yang dikenal sebagai Hafiz.
Bertemankan dengan seorang sahabat itulah, pada 1 Mei 2014, dia melafazkan syahadah di hadapan seorang ustaz yang dikenal sebagai Ustaz Atan di pejabat Pertubuhan Kebajikan Islam (Perkim) Seremban.
“Ramai juga kawan menyokong tindakan saya, terutamanya Zamri Vinoth (Pengerusi Skuad Mubaligh) yang banyak membantu dan memberi perangsang kepada diri saya.
“Selain itu, idola saya iaitu Timbalan Mufti, Nor Azamir Alias juga banyak memberi tunjuk ajar dan nasihat kepada saya, terutamanya cara bagaimana hidup sebagai seorang mualaf dalam keluarga yang berlainan agama," katanya.
Katanya, atas nasihat dan tunjuk ajar beliau sehingga kini dia masih tinggal bersama ibu bapanya, bukan kerana tidak mampu menyewa sendiri, tetapi semata-mata mahu menjalankan tanggungjawab sebagai anak.
Kata Mohd Aryan, Islam itu agama yang sangat indah, sempurna dan tidak pernah menyulitkan.
Berubah selepas peluk Islam
Sementara itu, ibunya, MK Baby, 60, berkata dia tidak pernah membenci anak tunggalnya itu, sebaik sahaja mengetahui dia sudah memeluk Islam.
“Bagi saya, dia berhak untuk menentukan hidupnya sendiri, asalkan dia gembira dengan keputusan yang dibuat.
“Saya juga bersyukur, selepas memeluk Islam, dia berubah menjadi seorang anak yang penyabar, malah lebih bertanggungjawab terhadap keluarga.
“Mungkin ini yang diajar dalam Islam dan saya nampak dia cuba perbaiki dirinya dengan lebih menghormati saya dan ayahnya,” katanya.
Jaga ibu bapa itu wajib
Sementara itu, Timbalan Mufti Negeri Sembilan, Nor Azamir Alias berkata, wajib ke atas anak untuk berbuat baik kepada kedua ibu bapanya, malah perlu menjaga mereka dengan sempurna walaupun berbeza agama.
Katanya, hubungan antara anak dengan ibu bapa tidak akan terputus sampai bila-bila, kerana itu adalah hubungan kekeluargaan.
“Anak wajib menjaga orang tuanya dengan baik, jika ibu bapa tidak bekerja, anak wajib beri nafkah, sediakan tempat perlindungan, perubatan serta menjaga makan minum mereka.
“Walaupun beza agama, jangan sesekali mengguris hati mereka, layan ibu bapa elok-elok dan tunjukkan rasa hormat kita sebagai seorang anak tambah berbelah-bahagi,” katanya kepada Sinar Harian.
Tambahnya, bagi menghormati ibu bapa, anak dibolehkan untuk bersama keluarga mereka meraikan perayaan yang disambut kedua ibu bapanya.
“Bagi meraikan adat budaya atau perayaan itu tidak ada masalah, tetapi jangan pula kita turut serta dalam upacara keagamaan mereka kerana itu adalah dilarang.
“Sebagai seorang Muslim, kita perlu menjaga sikap dan tanggungjawab kepada ALLAH SWT, kita buat yang diperintahkan dan tinggalkan apa yang dilarang,” katanya.
Kesimpulannya, walaupun perbezaan agama hubungan antara anak dengan ibu bapa tetap terjalin sampai bila-bila kerana Islam tidak pernah melarang seorang anak untuk menjaga ibu bapanya walaupun mereka berlainan agama.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: