Monday, December 21, 2015

I Want To Be A Filmmaker taruhan David Teo




I Want To Be A Filmmaker taruhan David Teo

KEMUNCULAN program realiti, I Want To Be A Filmmaker bakal menjadi ‘pentas utama’ dalam pencarian bakat muda baharu dalam bidang pengarahan di negara ini.
Apa yang pasti, platform yang disediakan itu bermatlamat untuk mencari pelapis pengarah muda kreatif dan kritis.
Pujian wajar diberikan kepada Mangkin Prestij Sdn Bhd atas usaha gigih mengesan bakat muda sekali gus memberi peluang melangkah ke dalam industri perfileman yang sebenar.
Tidak keseorangan, anak syarikat Metrowealth International Group (MIG) itu turut mendapat kerjasama daripada saluran televisyen internet, HyppTV dan Yayasan Telekom Malaysia (YTM).
Menariknya, program realiti 10 episod itu menampilkan 12 peserta berusia 18 hingga 22 tahun yang tidak mempunyai pengalaman dalam bidang perfileman.
Bagi menjelaskannya dengan lebih lanjut, Zass mendapatkan Ketua Pegawai Eksekutif MIG, Mejar (K) David Teo pada satu sidang media, baru-baru ini.

Tahniah di atas penerbitan program realiti, I Want To Be A Filmmaker. Apakah yang menyebabkan munculnya idea seperti ini?
Idea terhadap program realiti ini hadir daripada Mangkin Prestij Sdn Bhd. Ia sebagai usaha mengesan bakat baharu yang boleh dididik untuk menjadi sutradara mahir demi memenuhi keperluan industri perfileman pada masa akan datang.
Pada masa sama, program realiti ini juga merupakan percubaan pertama kita dalam membuka peluang kepada anak muda yang berbakat dalam bidang pembikinan filem. Bahkan, kita juga tidak menolak kemungkinan untuk menyambungnya ke musim kedua sekiranya siri realiti TV ini mendapat sambutan hangat.

Adakah pemilihan peserta sudah dilakukan dan apakah kriteria yang diperlukan?
Ya, ia sudah pun dilakukan. Kita telah mengadakan sesi uji bakat pada Ogos lalu. Seramai 12 peserta telah dipilih terdiri daripada sembilan lelaki dan tiga perempuan dalam lingkungan umur 18 hingga 22 tahun. Mereka ialah Rasbinder Kaur D/O Manjit Singh dan Chen Yee Fei dari Negeri Sembilan, Hakim Mazlan, Hairil Nahar Azmi, Irman Bahrudeen Erafarn, Yunita Carolina Binur, Muhamad Aiman Rasidi dan Khairi Razalee dari Selangor, Muhammad Khairul Anam Aziz (Kuala Lumpur), Mohamad Azlan Norani (Melaka) dan Nadira Tasyah (Sabah).  
Kesemua peserta yang dipilih itu mestilah berlatar pendidikan sekurang-kurangnya Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) atau diploma serta mempunyai komitmen dan kreativiti untuk menjadi pembikin filem.

Boleh terangkan sedikit mengenai perjalanan siri realiti TV ini?
Rancangan realiti TV ini dijalankan secara rakaman. Secara keseluruhannya, rakaman telah pun diadakan di studio Fakulti Media Kreatif Universiti Multimedia (MMU), Cyberjaya. Jadi, rancangan ini akan memaparkan 10 episod pada setiap Rabu, jam 10 malam selama sejam, bermula 16 Disember lalu. Rancangan ini bersiaran di saluran HyppInspirasi HD (HyppTV saluran 111). Ia dihoskan dua pendatang baharu, Hafizz Bahari dan Julia Farhana Marin.
Setiap minggu, semua peserta akan diberikan projek tugasan sehinggalah ke akhir episod. Pun begitu, usaha mereka ini akan dinilai barisan panel juri terdiri daripada saya sendiri dan penerbit terkenal, Raja Azmi serta juri jemputan yang terdiri daripada karyawan filem dan pengkritik seperti pengamal media.
Selain itu, proses penyingkiran juga dilaksanakan pada setiap minggu manakala pemenang bagi setiap episod pula akan mendapat kuasa imuniti yang akan menghalang peserta tersebut disingkirkan pada episod seterusnya. Tiga peserta yang berjaya ke peringkat akhir akan diberikan tugasan mengarahkan satu filem pendek.

Apakah yang dapat dilihat menerusi program realiti ini?
Sebenarnya, rancangan I Want To Be A Filmmaker ini menjanjikan persembahan menarik daripada peserta yang mengasah bakat melalui bidang pengarahan. Pada masa sama, kita juga akan menguji mereka terutamanya mengenai kemahiran asas dalam bidang tersebut selama tempoh sebulan.
Mekanisme pertandingan ini adalah peserta akan dipecahkan kepada dua kumpulan seterusnya diberikan tugasan untuk membuat proposal, papan iklan komersial dan filem pendek, selain mendapat perkongsian pengalaman daripada tetamu jemputan.
Bahkan, sepanjang tempoh pengajian, peserta akan didedahkan dengan konsep skrip, pitching, pemasaran, lakonan, pengurusan dan reka bentuk produksi, pengarahan dan pos produksi.

Tempoh sebulan untuk mempelajari bidang pengarahan. Tidakkah ia terlalu singkat?
Sebenarnya, kesempatan paling besar adalah peluang menyertai program ini. Mereka berpeluang menerima latihan praktikal secara langsung daripada segi asas dalam ilmu pengarahan filem. Setiap peserta diajar mengenai realiti menjadi pengarah filem, bukan khayalan seperti mahu membina istana di langit. Mereka juga akan diajar bagaimana menghasilkan filem yang bersesuaian untuk pasaran dan bukan setakat hanya popular untuk menjadi pengarah.
 
Jadi, apakah ‘habuan’ yang menanti juara?
Ya, pemenang pertandingan ini akan mendapat biasiswa pengajian daripada Yayasan Telekom Malaysia (YTM) bernilai RM100,000. Pada masa sama, pemenang juga akan didaftar dalam program Ijazah Sarjana Muda Seni Perfileman (CAP) di MMU selama tiga tahun di kampus Nusajaya, Johor.
 
Mereka yang tidak berjaya pula akan dihantar menjalani latihan praktikal di Pinewood Studio dan MIG selama tiga bulan. Malah, setiap peserta ini juga didedahkan dengan ilmu berkaitan pemasaran, script pitching, kos, promosi, pengurusan dan berfikir serta mampu menghasilkan filem yang sesuai mengikut nilai pasaran.
 
 
Harapan?
 
Secara keseluruhannya, program realiti ini merupakan platform untuk mencungkil bakat-bakat baharu sebagai pelapis dalam industri hiburan di negara ini. Malah, walaupun mereka tiada kelayakan secara formal dalam bidang ini, kita amat kagum dengan idea dan kesungguhan yang ditonjolkan setiap peserta. Semua peserta menunjukkan kemampuan luar biasa dan boleh menyesuaikan diri dalam persekitaran dunia penyiaran sebenar.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: