
Laporan Sinar Harian semalam.
KUALA TERENGGANU – Langkah kerajaan untuk mengatasi masalah guru yang tinggal berjauhan dengan pasangan dilihat sebagai satu alternatif terbaik terutama mereka yang telah berkeluarga.
Seorang guru, Nor Afzan Mohd Hajazi, 33, berkata, perhatian Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid terhadap masalah itu amat tepat kerana kebanyakan guru masih ramai yang terpaksa tinggal berasingan dengan pasangan masing-masing.
Bercerita mengenai pengalamannya sendiri yang tinggal berasingan dengan suami, Mohammad Nuzi Jusoh, 34, berkata, pengalaman yang tidak dapat dilupakan apabila terpaksa bersalin tanpa suami di sisi.
“Mujur ketika itu rakan-rakan ada yang bantu hantar ke Hospital Kuala Lipis, Pahang kerana nak tunggu suami memang lambat sebab dia bekerja di Kelantan.
“Memang banyak kelebihan apabila dapat tinggal bersama lagipun kami dapat uruskan anak-anak. Sekarang dua orang anak berusia lima dan tujuh tahun tinggal dengan suami di Kelantan, manakala seorang lagi, setahun empat bulan tinggal dengan saya di Lipis (Pahang),” ceritanya kepada Sinar Harian.
Guru Matematik itu juga jarang dapat berjumpa anak-anak dan suami kerana masa cuti mereka tidak sama kecuali cuti sekolah yang panjang.
“Kalau saya tak ada kerja kat sekolah, hujung minggu balik juga tapi jarang dapat jumpa sebab masa cuti di negeri Pahang dan Kelantan tak sama. Harapkan cuti panjang macam sekarang ini (cuti sekolah akhir tahun) baru dapat jumpa lama,” katanya.
Afzan berkata, dia yang menceburi bidang pendidikan sejak 10 tahun lalu pernah tinggal bersama suami ketika mengajar di Sabah selama 7 tahun dan selepas itu sehingga sekarang masih terpisah.
Dia pernah beberapa kali membuat permohonan termasuk menghantar surat rayuan untuk ditukarkan ke Kelantan supaya dapat bersama-sama suami semula, tetapi masih belum dapat.
“Saya memang nak balik Kelantan lagipun keluarga suami memang orang sana dan kami juga dah sepakat nak tinggal di Kelantan. Kesian anak-anak tak dapat kasih sayang seorang ibu secukupnya tidak seperti anak-anak orang lain.
“Saya juga selalu risau kalau suami telefon beritahu anak-anak sakit sebab mereka tak ada depan mata, memang bimbang memikirkan mereka,” katanya lagi.
Bagaimanapun, Afzan berkata, dia sedar masih ramai lagi guru senasib dengannya terutama yang mempunyai cahaya mata, memang tidak keruan memikirkan keluarga.
Sebelum ini, Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, Kementerian Pendidikan komited mengatasi secara berperingkat masalah guru yang terpaksa berjauhan dengan pasangan masing-masing.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: