Tuesday, March 4, 2014

Kejayaan berganda Cate Blanchett



CATE menggayakan gaun rekaan Armani pada acara karpet merah majlis anugerah Oscar kali ini.


MENGGONDOL tujuh anugerah termasuk Pengarah Terbaik yang dimenangi Alfonso Cuaron, filem Gravity ironinya, tumpas kepada karya 12 Years A Slave yang hanya memenangi tiga anugerah termasuk anugerah utama, Filem Terbaik.
Itu antara warna-warni Oscar 2014 yang menyaksikan banyak pesaing 'wajib menang' tumpas dalam 'pertembungan' di luar jangkaan.
Bagaimanapun, pemenang yang dijulang pada anugerah berprestij yang berlangsung di Dolby Theatre, Hollywood, Los Angeles, Amerika Syarikat semalam itu, kebanyakannya sudah dapat diramal.
Ini kerana karyawan filem yang diangkat sebagai pemenang Oscar, terlebih dahulu telah dijulang sebagai juara dalam beberapa majlis anugerah perfileman yang lain.
Justeru, kemenangan Cate Blanchett menerusi filem Blue Jasmine untuk kategori Pelakon Wanita Terbaik bukan suatu kejutan.
Selain Oscar, pada 1 Mac lalu, aktres kelahiran Australia itu terlebih dahulu menjulang trofi Pelakon Wanita Terbaik pada majlis Film Independent Spirit Awards 2014.
Pada Februari lalu, Cate, 44, juga telah memenangi anugerah yang sama pada acara British Academy Film Awards 2013.
Mengulas mengenai kemenangan hasil lakonannya dalam Blue Jasmine sebagai Jeanette 'Jasmine' French (seorang isteri yang ditinggal- kan suami), ujar Cate, ia sangat bermakna buat dirinya.
"Ia merupakan suatu penghargaan yang cukup bermakna apabila pengarah Blue Jasmine, Woody Allen memilih saya berlakon dalam filem yang hebat ini.
"Dengan kemenangan yang diraih, ia membuktikan bahawa filem yang memaparkan jalan cerita mengenai kisah kekuatan seorang wanita yang tertindas dan berusaha membina kehidupan semula, ternyata mendapat perhatian penonton," ujarnya yang turut memenangi kategori sama pada majlis anugerah Golden Globe 2014 yang berlangsung Januari lalu.
Kemenangan Cate itu ternyata memberi makna tersendiri buat dirinya apabila berhasil menyingkirkan saingan lain yang cukup hebat - aktres Amy Adams (American Hustle), Sandra Bullock (Gravity), Judi Dench (Philomena) dan Meryl Streep (August: Osage County).
Ia juga merupakan kemenangan kedua Cate dalam meraih Oscar setelah kali pertama meraih anugerah Pelakon Pembantu Wanita Terbaik pada tahun 2004 menerusi filem The Aviator.
Sementara itu, filem yang mengangkat kisah tentang pesakit AIDS, Dallas Buyers Club pula telah menobatkan Matthew McConaughey sebagai Pelakon Lelaki Terbaik dengan menewaskan empat calon lain.
Matthew berkata, bukan mudah untuk membawakan watak sebagai Ron Woodroof, malah dia telah kehilangan berat badan sebanyak 23 kilogram bagi menjayakan watak berkenaan.
"Pertama sekali, terima kasih kepada Tuhan atas kemenangan ini. Begitu juga dengan sokongan keluarga sehingga saya berjaya meraih anugerah yang cukup ternilai sepanjang karier sebagai pelakon.
"Selain itu, peluang berlakon dalam filem ini juga telah membuka mata saya tentang kehidupan sebenar seorang pesakit AIDS," ujarnya yang menggapai trofi Oscar buat kali pertama.
Ternyata, kemenangannya itu sangat berbaloi memandangkan dia berhadapan dengan saingan empat aktor lain terdiri daripada Christian Bale (American Hustle), Chiwetel Ejiofor (12 Years A Slave), Bruce Dern (Nebraska) dan Leonardo DiCaprio (The Wolf of Wall Street).

BARISAN empat pelakon terbaik yang diiktiraf Oscar kali ini (dari kiri), Matthew McConaughey, Cate Blanchett, Lupita Nyong'o dan Jared Leto.


Kali pertama
Selain kemenangan yang diraih oleh Cate Blanchett dan Matthew McConaughey dalam kategori masing-masing, turut menjadi perhatian ialah kejayaan Jared Leto (Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik) dan Lupita Nyong'o (Pelakon Pembantu Wanita Terbaik).
Ini kerana ia merupakan kali pertama mereka tercalon dalam Oscar dan terus meraih kemena- ngan.
Menariknya, kemenangan yang diraih oleh Jared itu berhasil menutup mulut pengkritiknya terhadap wataknya sebagai Rayon dalam filem Dallas Buyers Club tersebut.
"Kemenangan ini saya tujukan kepada 36 juta orang penduduk di seluruh dunia yang sedang berusaha untuk melawan penyakit AIDS.
"Biar apa pun rintangan dan cabaran yang terpaksa dihadapi, termasuk sikap tidak adil segelintir pihak terhadap penyakit yang dihidapi, saya akan terus berdiri menyokong anda semua," jelasnya yang juga merupakan vokalis band rock, 30 Seconds to Mars.
Luah Lupita pula, kemenangan hasil lakonan menerusi filem 12 Years A Slave itu merupakan suatu pencapaian terbaik sepanjang kariernya sebagai pelakon serta mengharumkan nama negara kelahirannya, Kenya.
Menurut Lupita, kejayaan menggenggam trofi Oscar memberikan suatu kenangan yang terindah buat dirinya, memandangkan dia tidak pernah menyangka untuk berdiri di pentas majlis anugerah tersebut sebelum ini.
"Apabila saya menggenggam trofi ini, ia lantas mengingatkan saya terhadap mereka yang berhadapan dengan kehidupan kurang sempurna terutama sekali kanak-kanak.
"Selain itu, saya mahu kemenangan ini dapat menjadi inspirasi kepada pelakon wanita berkulit hitam untuk mencipta kejayaan dalam bidang yang diceburi," ujar pelakon berusia 31 tahun itu.
Tangan kosong
Paling menjadi tumpuan untuk acara Oscar kali ini pastinya kemenangan filem yang memaparkan kisah tentang seorang lelaki kulit hitam yang dijual menjadi hamba, 12 Years A Slave apabila ia dinobatkan sebagai Filem Terbaik.
Diarahkan oleh Steve McQueen yang juga seorang yang berkulit hitam, filem berkenaan menewaskan pesaing lain terdiri daripada American Hustle, Captain Phillips, Dallas Buyers Club, Gravity, Her, Nebraska, Philomena dan The Wolf Of Wall Street.
"Setiap manusia bukan sahaja berhak untuk menyelamatkan diri, malah mempunyai hak menjalani kehidupan seperti manusia lain.
"Itulah tema utama yang ingin saya sampaikan kepada penonton tentang kehidupan seorang hamba bernama Solomon Northup. Saya dedikaskan kemenangan ini kepada mereka yang pernah menjadi mangsa dan menderita menjadi hamba," jelasnya.
Namun begitu, sesuatu yang menjadi luar jangkaan ramai apabila filem American Hustle yang tercalon dalam 10 kategori pulang dengan tangan kosong tanpa memenangi sebarang anugerah.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: