Tuesday, March 4, 2014

Penangan kahwin campur The Journey

PERTEMBUNGAN budaya antara elemen dan segar dan menarik yang dipaparkan menerusi filem The Journey.


KEDUDUKAN filem KL Gangster sebagai filem Malaysia terlaris dengan kutipan tiket sebanyak RM11.74 juta pada tahun 2011 telah berjaya dipintas oleh sebuah filem Cina tempatan berjudul The Journey.
Sejak ditayangkan pada 30 Januari lalu, filem terbitan Woohoo Pictures, arahan Chiu Keng Guan itu mencatatkan kutipan sebanyak RM13.5 juta sehingga 26 Februari lalu.
Penerbit, Gayatri Su-Lin Pillai berkata, pihaknya langsung tidak menyangka filem yang bertemakan kekeluargaan serta paparan budaya dan gaya hidup masyarakat Cina itu mampu menarik minat ramai penonton ke pawagam.
“Perasaan kami sudah tentu sangat terharu berdasarkan sambutan yang sangat luar biasa ini. Ia merupakan suatu kejutan apabila The Journey menjadi filem tempatan paling laris sekarang ini.
“Secara jujurnya, kami tidak pernah menjangka filem ini akan mencatatkan kutipan sebegini banyak. Kami amat berterima kasih kepada mereka yang banyak memberikan sokongan terhadap filem ini,” ujarnya ketika ditemui semasa majlis previu khas filem berkenaan di GSC Pavilion, Kuala Lumpur minggu lalu.
Menurut Gayatri, selepas filem berkenaan melepasi tempoh Skim Wajib Tayang selama dua minggu, ia masih terus ditayangkan di pawagam dan merasakan tidak mustahil ia mampu mencatat kutipan mencecah RM14 juta.
The Journey mengisahkan tentang Chuan (Lee Sai Peng), seorang bapa yang sangat konservatif dan mementingkan adat agak berat hati dalam membenarkan anak perempuannya, Ah Bee (Joanne Yew) berkahwin dengan lelaki bangsa asing bernama Benji (Ben Andrew Pfeiffer).
Biarpun filem berkenaan menampilkan pelakon baharu sebagai teraju utama, ujar Gayatri, ia bukan suatu halangan untuk menarik minat penonton memandangkan garapan jalan ceritanya yang begitu baik dan menghiburkan.
Tambahnya, dengan menerapkan elemen konsep kekeluargaan, kasih sayang, persahabatan dan budaya, The Journey dilihat sebagai sebuah filem yang sangat sesuai untuk semua lapisan masyarakat.
“Itu merupakan salah satu faktor kekuatan filem ini sehingga menjadi tarikan yang luar biasa kepada penonton,” jelasnya.
Gayatri berkata, berdasarkan kejayaan yang diraih itu, pihaknya juga sudah merancang untuk memasarkan The Journey di beberapa buah negara.
Bermula dengan tayangan di Singapura pada bulan ini, filem berkenaan seterusnya akan ditonton oleh penonton di Taiwan.
Malah, sudah ada permintaan daripada pengedar di Amerika Syarikat untuk tayangan di negara berkenaan.
“Kami juga sudah merancang untuk menghantar filem ini menyertai Festival Filem Antarabangsa Hong Kong yang akan berlangsung pada 24 Mac ini,” ujarnya.
Puas hati
Selain Gayatri, pengarah filem The Journey iaitu Chiu Keng Guan juga meluahkan rasa terkejutnya terhadap sambutan yang diterima daripada penonton.
Ujarnya, dia berpuas hati apabila segala usaha keras kru produksi yang berhadapan dengan pelbagai cabaran sepanjang pembikinan filem berkenaan selama tiga bulan telah membuahkan hasil yang memberangsangkan.
“Bukan mudah untuk menghasilkan filem ini kerana banyak cabaran yang terpaksa dihadapi, misalnya babak yang membabitkan belon udara.
“Mungkin ramai yang tidak tahu, belon udara tersebut dihasilkan oleh kami sendiri dengan bantuan orang ramai.
“Selain itu, para pelakon yang membintangi filem ini juga merupakan pelakon baharu. Namun begitu, mereka berjaya menampilkan mutu lakonan yang cukup baik dan berkesan,” jelasnya yang pernah mengarahkan filem Woohoo! (2010) dan Great Day (2011).
Filem yang menelan kos produksi sebanyak RM3 juta itu menjalani penggambaran di beberapa buah negeri seperti Kedah, Pulau Pinang, Melaka, Johor dan Sabah.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: