BAKAL ditayangkan di pawagam terpilih bermula 6 Mac ini, filem terbaharu arahan Perakas Rajaram, Vennira Iravugal (Malam Yang Terang) dijangka bakal memberi suatu impak baharu menerusi paparan kisah cinta yang menjelajah tiga negara – Malaysia, Singapura dan Myanmar.
Bagaimanapun, Perakas, 34, yang juga bertindak selaku penerbit, memohon supaya ulasan tentang filem tersebut tidak disiarkan dalam media sebelum ia ditayangkan.
“Saya mohon supaya pihak media tidak membuat ulasan tentang filem Vennira Iravugal sebelum ia ditayangkan. (Saya) bimbang ia akan mematikan minat dan suspens cerita yang ditampilkan.
“Biarlah penonton datang sendiri dan menonton filem ini di pawagam pada 6 Mac nanti,” katanya.
Tindakan Perakas itu ada sebabnya. Ia ekoran dalam pada penerbit dan pengarah filem Tamil tempatan bertungkus lumus menghasilkan filem dengan kos mencecah sehingga berjuta-juta ringgit, penonton Malaysia masih dilihat kurang memberi sokongan kepada hasil filem tempatan.
Walau sehebat mana sekalipun sesebuah filem Tamil tempatan, namun budaya membezakan antara filem terbitan Malaysia dengan produksi Tamil dari India sudah menjadi satu ikutan yang sebati dalam kalangan penonton di negara ini.
Namun, Vennira Iravugal yang dihasilkan penuh teliti dan dedikasi oleh Perakas dijangka mampu menggugat budaya yang sudah lama menguasai audiens filem Tamil di Malaysia itu.
Rakaman filem yang menggunakan kamera dari pelbagai sudut, kualiti filem pada skrin, lokasi perfileman yang membabitkan lokasi luar negara seperti Myanmar dan sedikit di Singapura selain Malaysia menyediakan suatu pakej buat Vennira Iravugal.
Pakej tersebut disempurnakan lagi dengan suntikan lagu-lagu yang sudah menjadi fenomena di laman-laman sosial dan YouTube seperti Indre Pirivam dan Vaanavil, lakonan bersahaja tetapi penuh impak pelakon seperti Magen Vigadakavi, K. Sangeetha, penyanyi rap Psycomantra, David Anthony dan Kencana Devi, justeru filem ini berpotensi tinggi untuk menggapai sukses.
Filem yang membawa penonton kepada watak utama, Ramesh dan cinta pertamanya di kampus sebelum dia seterusnya belayar ke Myanmar dengan membawa kisah cinta dalam aspek berbeza tetapi penuh jenaka.
Elemen genre romantik komedi ini walaupun merupakan suatu pendekatan yang biasa tetapi Perakas telah menampilkan suatu penyampaian yang segar terutama apabila ia difilemkan di tengah-tengah kota Myanmar yang menampilkan masyarakat di situ.
Ternyata perbezaan yang dipaparkan telah membawa Vennira Iravugal menjelajah ke beberapa negara seperti Oslo, Norway untuk Festival Filem Antarabangsa sebelum ia ditayangkan di Malaysia.
Menurut pengasas Festival Filem Tamil di Norway, Vaseeharan Sivalinggam, Vennira Iravugal merupakan filem Tamil Malaysia pertama yang dipilih untuk tayangan di negara itu kerana dipercayai dapat menarik masyarakat Tamil di negara Eropah.
Setiap plot dan adegan filem ini disampaikan secara bersahaja, kelihatan ringkas tetapi pastinya meninggalkan impak pada diri penonton.
Naskhah ini turut mendapat perhatian istimewa daripada Akademi Filem Tamil Antarabangsa selain ditayangkan pada festival filem yang diadakan di Chennai, Tamil Nadu, India.
“Vennira Iravugal sudah ditayangkan di Australia, Kanada, Afrika Selatan, Sri Lanka, India, Singapura, Myanmar dan akan datang di Malaysia.
“Sebab saya memilih Myanmar kerana mahu menunjukkan suatu persekitaran yang baharu dan tidak pernah ditunjukkan oleh mana-mana pihak dalam dunia perfileman Malaysia. Lagipun, saya dapat mendedahkan kewujudan komuniti Tamil di Myanmar menerusi filem ini,” kata Perakas.
Tambahnya: “Ia merupakan filem dengan 100 peratus kandungan dan intipati Malaysia tetapi pendekatan rakaman di Myanmar telah memberi suntikan kelainan.”
Selain itu, daya tambah untuk filem ini adalah dari segi muzik, khususnya yang disuntik komposer muzik Lawrence Soosai, penulis lirik lagu Yuwarajah Krishnan serta penyanyi terkenal dari India, Andrea Jeremiah.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: