Saturday, January 11, 2014

Privasi bukan sebab Encik Mimpi bertopeng

HANYA mahu dikenali sebagai Encik Mimpi, pendatang baharu berusia 25 tahun ini merahsiakan identiti dirinya termasuk nama sebenar dirinya.


MENGGUNAKAN nama Encik Mimpi dengan imej bertopeng tanpa mahu mendedahkan nama sebenar itu sesuatu yang baharu cuba ditampilkan oleh penyanyi lagu Rindukanlah yang popular menerusi lagu runut bunyi drama Playboy Itu Suami Aku di slot Akasia, TV3.
Ingin mencari satu kelainan, menurut Encik Mimpi, dia kedekut untuk berkongsi mengenai siapa dirinya sebenar bukan sebab takut privasinya hilang tetapi ingin mengekalkan nama penanya sebagai blogger sebelum ini.
Ia juga merupakan pemintaan pengikut dan peminat blognya yang meminta dia terus menjadi Encik Mimpi tanpa mendedahkan identiti sebenarnya.
Bersedia dengan imej sebegitu, adakah Encik Mimpi juga bersedia untuk menerima cemuhan, kritikan dan kontroversi daripada orang ramai selepas terlibat dalam dunia seni?
Encik Mimpi mengulas mengenai perkara itu kepada Kosmo!.
Dia juga becakap tentang lagu ciptaannya, Rindukanlah yang berjaya mencapai lebih 700,000 tontonan di YouTube selepas dimuat naik empat bulan lalu ketika ditemui pada majlis pelancaran single pertamanya Rindukanlah di Hotel Sani, Kuala Lumpur.
Kosmo!: Boleh cerita lebih lanjut kenapa anda memilih imej bertopeng dan menggunakan nama Encik Mimpi?
ENCIK MIMPI: Encik Mimpi sebenarnya merupakan nama pena saya sebagai blogger bermula tahun 2009. Dalam blog, saya tidak pernah menunjukkan wajah dan mendedahkan nama sebenar saya. Saya cuma kongsikan pengalaman belajar dan bekerja di luar negara.
Jadi, saya cuba kekalkan imej ini selepas mengambil keputusan menceburi bidang nyanyian. Saya juga ada bertanya kepada pengikut-pengikut blog saya dan mereka juga setuju dengan imej seperti ini.
Adakah anda yakin dengan imej seperti ini mampu menarik peminat?
Mungkin peminat akan teragak-agak sebab belum ada lagi penyanyi yang tampil seperti ini. Jika adapun Bandi Amuk. Tetapi dia tidak berahsia dari segi nama dan latar belakang.
SELAIN menyanyi, Encik Mimpi turut terkenal sebagai seorang blogger yang banyak memuat naik lagu hasil ciptaannya buat peminat.


Adakah anda ingin meniru konsep yang sama cuba ditampilkan oleh Bandi Amuk?
Memang ramai yang cakap saya cuba tiru imej Bandi Amuk tetapi sejujurnya saya sendiri yang memikirkan konsep bertopeng putih ini.
Atau anda berselindung dari segi nama dan rupa kerana takut hilang privasi?
Saya tidak kisah hilang privasi atau kehidupan diganggu peminat. Cuma, saya mahu kekalkan konsep perjuangan saya ini sampai bila-bila.
Adakah anda bersedia dikritik dan dicemuh kerana tampil dengan imej seperti ini?
Sebagai manusia biasa, saya tidak dapat elak daripada komen negatif dan dicemuh tetapi saya ambil itu sebagai kata semangat untuk buktikan yang terbaik.
Mungkin anda boleh kongsikan sedikit siapa sebenarnya anda?
Saya merupakan lulusan kejuruteraan seni bina luar negara berumur 25 tahun. Sekarang, saya bekerja sebagai Pakar Teknologi Maklumat (IT). Sebelum menjadi penyanyi, saya merupakan blogger dan suka mencipta lagu. Disebabkan itu, saya sering muat naik lagu-lagu saya di blog dan juga YouTube. Saya juga suka parodikan lagu.
Boleh cerita lebih lanjut mengenai single pertama Rindukanlah?
Lagu itu berkonsepkan akustik pop. Saya tidak sangka selepas memuatkan lagu itu di YouTube, ramai yang menyukainya dan lagu itu juga terpilih sebagai lagu runut bunyi untuk drama popular Playboy Itu Suami Aku.
Selain Rindukanlah, berapa buah lagu yang anda tulis?
Saya sudah menulis lebih 20 buah lagu.
Mana satukah yang menjadi keutamaan anda sekarang? Menyanyi atau pakar teknologi maklumat?
Buat masa ini, keutamaan saya adalah bekerja di bidang IT. Saya belum merancang untuk fokus sepenuhnya dalam bidang muzik. Saya anggap menyanyi sebagai kerjaya sampingan sahaja.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: