|
SEBAGAI penganut agama Islam, kita wajib menutup aurat. Bagi kaum wanita Islam rambut khususnya, aurat paling dipandang lewa. Tidak terkecuali mereka yang sanggup membuka tudung ketika bersukan bagi mengelakkan rasa tidak selesa.
Namun, sejak atlet-atlet di negara Asia Barat tampil berani bertudung di pentas sukan bertaraf dunia, tempiasnya meresap ke rantau Asia Pasifik terutama dalam kalangan negara yang padat penduduk Islam.
Senario itu dijadikan inspirasi kepada seorang wanita tempatan bagi memperkenalkan hijab khusus untuk aktiviti riadah. Dr. Nurul Shahnaz Ahmad Mahdzan menerusi label Raqtive mahu mengubah konsep pemakaian sukan Muslimah di negara ini agar lebih praktikal.
"Pengalaman peribadi ketika berjoging dan melakukan aerobik turut mendorong saya mewujudkan tudung sukan di bawah jenama Raqtive.
"Sukar untuk menemui tudung yang sesuai. Memandangkan tudung bawal agak tebal, alternatif terbaik adalah tudung sutera yang perlu diikat ke belakang kerana ia ringan. Namun, bila berpeluh memang basah lencun," imbas pengasas Raqtive itu yang turut berharap agar ia dapat meningkatkan minat bersukan dalam kalangan wanita kontemporari.
|
Keselesaan
Menyasarkan kepada wanita bertudung yang aktif, dua produk teras Raqtive iaitu hijab sukan pro dan hijab sukan standard sesuai untuk sebarang jenis sukan. Sama ada maraton, bola jaring, olahraga atau senaman di gim, ia pasti memberikan keselesaan maksimum kepada si pemakai.
Potongan lebih pendek hijab sukan pro menjadikan tudung ini sempurna untuk sukan lasak seperti triatlon kerana ia mudah dimasukkan ke dalam baju. Tudung ini juga direka dengan rongga pada bahagian tepi yang kerap berpeluh termasuk kawasan atas telinga.
Bagi memenuhi cita rasa wanita Malaysia, hijab sukan standard Raqtive pula diberi potongan sedikit panjang berbanding hijab sukan pro. Pelapik keras pada bahagian depan (awning) tudung itu pula lembut agar ia tidak rosak ketika menaiki motosikal.
Material mikro fiber khusus untuk aktiviti bersukan yang diguna Raqtive membuatkan hijab mereka cepat meresap dan menyejat peluh. Ia cepat kering, tidak berbau dan ringan, berbeza dengan fabrik likra yang mudah meregang tetapi lambat menyejat peluh.
"Hijab sukan pro didatangkan dalam enam warna seperti putih dengan tiga jalur berbeza manakala hijab sukan standard mempunyai sembilan warna termasuk ungu, hijau, merah jambu dan merah.
"Ia boleh dipadankan dengan apa jua pakaian dan sesuai untuk gaya kasual. Kami turut mengeluarkan sarung lengan yang mempunyai warna sedondon dengan hijab," tambah Nurul Shahnaz.
hijab sukan Just You pun baik juga, fabric kurang labuh tapi masih cover lagi
ReplyDelete