Saturday, January 11, 2014

Lee Kwang Soo terharu



BERPELUANG bertemu aktor kacak Korea, Lee Kwang Soo beberapa hari lalu ternyata merupakan satu pengalaman yang menarik.
Sangkaan awal, mungkin ramai yang tidak begitu mengenali jejaka kelahiran Korea Selatan ini.
Namun, teriakan ribuan peminat yang hadir ke acara Fan Meeting Lee Kwang Soo in Malaysia itu membuktikan bahawa dia seorang aktor yang sangat dikenali dalam kalangan peminat Malaysia.
Ternyata kini, Lee Kwang Soo bukanlah satu nama asing dalam dunia hiburan di negara Asia.
Walaupun sebelum ini Kwang Soo telah bergelar seorang pelakon sejak tahun 2008 lagi, namun, program hiburan Running Man yang disertainya telah melonjakkan lagi termometer populariti empunya diri.
Selain mendapat gelaran Prince Of Asia oleh peminatnya di serata dunia, Kwang Soo juga diberi beberapa gelaran seperti zirafah kerana ketinggiannya yang mencecah 190 meter serta si pengkhianat menerusi program Running Man.
Beralih kepada acara sidang peminat yang berlangsung selama lebih kurang dua jam di Kenanga Wholesale City (KWC), Kuala Lumpur pada Sabtu lalu, Kwang Soo kelihatan sangat teruja apabila menyaksikan hampir 2,000 peminat hadir pada acara tersebut.
Peminat histeria, Kwang Soo menangis
Apa yang jelas kelihatan, acara tersebut rata-rata dibanjiri oleh golongan remaja khususnya perempuan yang seakan-akan terkena histeria apabila menyaksikan idola mereka berdiri di atas pentas.
Walaupun ia hanya acara bertemu peminat, namun, beberapa aktiviti yang disediakan oleh pihak penganjur pastinya membuatkan peminat merasa berbaloi membeli tiket yang harganya ratusan ringgit.

PEMINAT Kwang Soo ternyata sangat teruja dengan kemunculan Kwan Soo kali ini di Malaysia.


Kwang Soo juga tidak putus-putus memberi tunduk hormat sebagai tanda penghargaan kepada para peminat yang sentiasa bersorak untuknya sepanjang acara tersebut berlangsung.
"Saya sangat berterima kasih kepada anda semua yang sentiasa menyokong dan sejujurnya sangat menghargai kalian.
"Saya sangat gembira dapat bertemu anda semua dan tidak sabar untuk memberitahu ahli yang lain bahawa anda sangat menakjubkan.
"Kalian semua sungguh bermakna buat diri saya. Saya memang tidak sangka punya ramai peminat di Malaysia Terima kasih," katanya yang ingin sekali lagi datang ke Malaysia pada masa akan datang.
Melihat kepada keterujaan dan sambutan sangat menggalakkan oleh peminat yang hadir, tanpa disedari, air mata Kwang Soo mengalir ketika melihat layar lebar yang menayangkan hasil kreativiti yang dihasilkan oleh peminat Malaysia.
Tambahan, ketika aktiviti sesi soal jawab dijalankan, hampir kesemua soalan yang diberikan berkenaan perihal Kwang Soo dapat dijawab oleh rata-rata peminat yang hadir.
Justeru, terharu dengan pengetahuan peminat mengenai dirinya, Kwang Soo meluahkan rasa terharu sambil dilihat mengesat air mata : "Pengetahuan kalian yang luas mengenai diri saya membuatkan saya terasa sebak dan sedih, walhal sepatutnya ia menjadi aktiviti yang menyeronokkan."
Pelawak tapi pemalu
Peminat program realiti TV, Running Man mungkin melihat Kwang Soo sebagai seorang yang nakal serta dianggap pengkhianat kerana sering mengkhianati ahli kumpulan yang lain, namun, pada hakikatnya, jejaka ini seorang yang pemalu.

ADA sahaja jenaka spontan Kwang Soo apabila bersama peminatnya.


Ini kerana, setiap kali melakukan aktiviti atau berlakon di atas pentas bersama peminat bertuah yang 'berlakon' bersamanya, Kwang Soo pasti menutup muka sambil senyum tersipu-sipu.
Adakalanya, dia memberitahu kepada peminat bahawa dirinya sangat malu namun demi menghiburkan dan tidak ingin menghampakan peminatnya, diteruskan jua aksi spontan yang ternyata membuatkan penonton tidak kering gusi.
Bukan sahaja berhibur bersama peminat, malah, Kwang Soo turut mempersembahkan bakat nyanyiannya dengan menyampaikan sebanyak tiga buah lagu yang berjudul Hug, Because I Love You dan I Believe.
Sebelum mengakhiri acara, pengacara acara tersebut, Baki Zainal sempat mengadakan sesi temuramah bersama jejaka ini di atas pentas.
Ketika ditebak persoalan tentang watak yang ingin dilakonkannya, tanpa bersembunyi Kwang Soo menyatakan keinginannya untuk watak yang belum pernah ditawarkan kepadanya.
"Saya pernah memegang watak sebagai antagonis dan begitu juga watak romantis. Selepas ini mungkin apa yang saya inginkan ialah memegang watak seorang lelaki playboy.
"Apa yang saya boleh katakan, saya sangat sukakan lakonan, jadi, sepanjang bergelar pelakon, tiada apa yang saya tidak suka," jawabnya yang juga ditanya mengenai pengalaman pahit sepanjang penglibatan dalam bidang lakonan.
Tambah jejaka berusia 28 tahun ini mengenai karier lakonannya, dia bakal tampil dalam sebuah drama tempatan kelak. Beritahunya juga, dia seorang yang romantik, dan watak antagonis dirasakan kurang sesuai dengan empunya diri kerana lakonannya sebelum ini memegang watak seumpama itu dilihat kurang mendapat sambutan.
Ditanya juga adakah dia akan kembali ke industri peragaan, jawab Kwang Soo, walaupun dia sangat sukakan bidang tersebut, namun, perancangan untuk kembali tidak pernah terlintas di benak mindanya.

KWANG SOO turut mempersembahkan bakat nyanyiannya dengan menyampaikan sebanyak tiga buah lagu yang berjudul Hug, Because I Love You dan I Believe.


"Bidang peragaan ialah suatu pengalaman yang sangat bermakna buat diri saya. Banyak pengalaman manis yang ditimba sepanjang menjadi peragawan.
"Namun, sejak ke bidang lakonan, saya tidak pernah rindukan bidang tersebut. Malah, saya sangat berpuas hati dengan kehidupan saya kini," beritahunya ketika berjumpa peminat di Singapura.
Jelasnya lagi, dalam karier lakonan, dia ingin menjadi seorang pelakon serba boleh di mana dia berhasrat untuk melakonkan pelbagai watak dan tidak mahu tertumpu terhadap satu watak sahaja.
Antara lebih kurang 10 soalan yang diajukan, soalan ini merupakan antara yang mendapat sorakan paling kuat daripada 2,000 peminat yang memenuhi ruang tingkat 15 pusat perdagangan tersebut.
"Saya suka wanita yang pendek dan mempunyai senyuman yang menawan untuk dijadikan sebagai teman wanita," ungkapnya ketika ditanya kriteria wanita idaman yang diidamkan olehnya.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: