|
SENGAJA figura ini diminta hadir pada sesi pemotretan dalam keadaan polos. 'Bogel' tanpa sebarang solekan dan menyarung pakaian yang selesa, yang menjadi pakaiannya sehari-harian.
Tidak menolak, ditemani kakak kesayangannya yang banyak menjadi tulang belakang karier dan kehidupannya, Mimie, Misha Omar hadir ke lokasi dalam hujan renyai tanpa bertanya tujuan atau mempersoalkan mengapa dia perlu hadir 'bogel' tanpa sebarang solekan.
Begitulah Misha, sejak dulu, sejak 12 tahun lalu, tidak pernah banyak kerenah. Kecuali, prinsip wanita berusia 32 tahun ini, jangan meminta dia menyarung busana seksi, skirt pendek atau sesuatu yang terlalu menjolok mata. Cukuplah sekadar sedap di pandang mata dan tidak menimbulkan rasa menyampah pada semua orang.
Walau memenuhi permintaan Kosmo!, namun ada gejolak sugul pada bola matanya. Senyumnya diukir ikhlas tapi tidak semanis gula yang selalu menggugah rasa. Ia sekadar satu senyuman yang jauh dibalut luka.
Kami mengambil masa yang lama untuk memulakan bicara. Pertamanya, tidak tahu mahu bermula di mana. Keduanya, bimbang persoalan yang disua akan membuka luka di jiwa.
Hampir enam bulan memperlahankan rentak kerjaya kerana berhadapan dengan masalah kesihatan dua ahli keluarga terdekatnya, momentum kesedihan ditutup dengan pemergian bapa tercinta.
Ya, setiap insan akan kehilangan, kerana kematian itu satu janji. Begitu yang terjadi kepada Misha apabila bapanya, Omar Ismail, meninggal dunia akibat serangan jantung pada usia 75 tahun, 30 November lalu di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian, Kelantan sekitar pukul 5.31 pagi.
"Ia merupakan enam bulan yang panjang dan sangat meletihkan. Sehingga akhir Disember 2013, baru saya rasa ia berakhir.
"'Tsunami' ini datang tanpa diduga. Memang saya tak bersedia sama sekali dengan setiap dugaan yang datang. Bagaimanapun, saya terima semuanya dengan reda," begitu Misha membuka bicara.
Sebelum bapanya diserang sakit jantung dan kemudian dipanggil Ilahi, salah seorang adiknya, Syazlin Syahira, 18, pula yang merupakan seorang penghidap autisme dan tidak boleh berdikari, jatuh sakit.
Didignosis sebagai pesakit paru-paru berair, sempat rusuk kirinya ditebuk dan ditahan tiga minggu di hospital, kata Misha, hal itu sahaja sudah meluruhkan perasaannya.
"Kami adik-beradik perempuan sangat rapat. Melihat Lin sakit membuat hati saya berkecai dan saya kata pada diri sendiri saya mahu menggantikan tempat dia kerana tidak tahan melihat dia sakit," katanya.
Sebaik Lin pulih, mereka pulang menyambut Aidilfitri di kampung halaman, Kota Bharu, Kelantan dan di sana, dia pula jatuh sakit sehingga 'hilang' suara akibat terlalu tertekan.
Malah, ujarnya pada Aidilfitri tersebut juga, kakaknya Mimie seperti sudah dapat 'membaca' tentang jangka hayat bapanya.
Cerita Misha: "Mimie cakap dia lihat abah nampak sangat uzur. Jadi, raya tahun itu dia belikan abah pakaian serba lengkap termasuk tali pinggang dan melayan abah lebih daripada biasa.
"Beberapa hari kemudian, abah kena serangan jantung dan sejak itu rumah pertama kami semua ialah hospital. Selepas beberapa minggu dirawat di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Kuala Lumpur, abah minta pulang ke kampung.
"Dia mahu duduk di rumah sendiri, namun oleh kerana tahap kesihatannya merosot, dia ditahan di HUSM.
"Selepas 45 hari ditahan, abah akhirnya pergi, 10 minit sebelum Subuh dan saya tidak sempat berada di sisinya kerana dalam perjalanan ke hospital," ceritanya panjang lebar.
Sejak pemergian bapanya, Misha mengakui emosinya lebih jauh jatuh merudum. Dia tidak mahu bertemu orang, tidak keluar bekerja kecuali yang membabitkan perjanjian yang telah dipersetujui. Malah, dia banyak mengasingkan diri.
Mujur ibunya menjadi manusia yang mendorong dirinya membuang segala rasa terpuruk itu.
"Hubungan saya dengan abah sudah macam kawan dan mengimbas bagaimana dia merupakan orang yang menentang saya menjadi penyanyi kerana meminta saya sekurangnya memperoleh ijazah tetapi akhirnya dia juga yang menjadi penyokong paling tegar membuatkan saya rasa begitu kehilangan.
"Namun, mak menasihati saya, kata- nya sesiapa pun akan kehilangan dan rasa hilang memang tidak boleh lupa. Bagaimanapun, ingatlah bahawa dia ada di setiap darah kita dan nama pun saya kongsi dengan dia, bila rasa hilang, sedekahkan Al-Fatihah.
"Sebagai yang masih hidup, saya perlu teruskan perjalanan masa depan dan tanggungjawab sosial terhadap kerja saya," katanya sebak.
Meminjam semangat ibu dan keluarga serta peminat yang sentiasa menyokongnya, kata Misha, dia bangkit.
Kedatangan 2014, dengan penambahan usia 32 tahun pada 6 Januari lalu memberi dia semangat baharu untuk kembali aktif.
Kini, jadual kerjanya kembali padat dan dia kembali mengisi permintaan- permintaan pihak yang memerlukan khidmatnya sebagai anak seni.
Hanya katanya, buat masa terdekat, dia menolak untuk berlakon dan telah melepaskan dua tawaran yang dihulur pengarah Rashid Sibir serta Rina Khan kerana sedar bahawa emosinya masih belum sepenuhnya stabil.
Misha dulu
Sengaja mengendurkan emosi luka, mengajak wanita yang bicaranya selalu tersusun ini dek kerana hobi membaca melihat tahun pertama pembabitannya sebagai penyanyi, Misha ketawa lucu.
Sementelah, topik yang dibuka menyentuh tentang imejnya dan pembawaan diri untuk berada selesa di dalam bidang seni.
"Dulu, masa mahu jadi penyanyi, saya rasa perlu tampil menyenangkan semua orang. Bersolek dan memilik pakaian yang 'wow' itu perlu. Namun, sebagai budak kampung memang gagal tentang penampilan, semua yang saya pakai atau kenakan memang kelihatan canggung.
"Jadi akhirnya, apa yang saya jual ialah kekuatan vokal saya dan lagu hebat ciptaan Adnan Abu Hassan, Bunga-Bunga Cinta," katanya.
Hanya berbekalkan Bunga-Bunga Cinta, bertebaran magis lagu tersebut. Nama Misha menjadi harum di seluruh negara, menang beberapa anugerah dan single-single nyanyiannya selepas itu seperti Ku Seru atau Pulangkan menambah sukses lagi pada kariernya.
Seiring harum namanya, Misha sempat juga diserang beberapa berita negatif, termasuk diletak dalam sindrom diva apabila mempunyai penata bunyi dan mikrofon sendiri.
Ketawa apabila dikatakan diva, Mi-sha menyimpulkan ringkas: "Sebagai seorang penyanyi dan dibayar mahal, saya mahu memberikan yang terbaik untuk semua klien atau peminat saya.
"Saya mampu untuk membayar penata bunyi dan mempunyai mikrofon sendiri untuk karier saya, mengapa tidak saya lakukan? Ia tentang pilihan masing-masing dan saya memilih sebegitu untuk memastikan kualiti saya terjaga. Bukan untuk berlagak diva."
Disogok pula tentang kekurangannya muncul di kaca televisyen atau media, dia mengambil pendekatan seumpama itu untuk memberi nilai eksklusif dirinya sebagai seorang anak seni yang mahu bertahan untuk tempoh masa yang panjang.
Katanya, dia bimbang jika terlalu mengambil semua peluang yang datang, tarikh luput dirinya sebagai anak seni akan pantas berakhir.
"Jadi, saya kira biarlah mungkin saya jarang dilihat orang tetapi realitinya, saya masih ada dan dipanggil menyanyi," katanya bersyukur.
Duit
Skeptikal tentang dunia hiburan, hidup seseorang anak seni itu mewah. Mengaku pernah terjebak dan cuba untuk hidup mewah, akhirnya kata penyanyi bersuara lunak merdu itu, dia kembali kepada realiti, hidup sebagai orang biasa.
"Saya kira, selepas insiden saya ditipu dengan pelaburan duit yang menghanguskan ratusan ribu duit saya dan pernah berteman dengan lelaki kaya yang setiap gerak geri diperhati dan kemahuan menjadi wanita biasa dinafikan, saya muhasabah diri.
"Hidup bukan sekadar untuk kaya atau mewah. Hidup adalah tentang bagaimana saya menikmatinya walau dengan sekecil apapun rezeki yang saya peroleh. Apa yang penting saya bersyukur," katanya membuat kesimpulan tentang 'raja manusia' pada hari ini iaitu duit.
Pasti kahwin
Dua kali menangguhkan pernikahannya dengan Firos Ezzwa Rossly yang telah menjadi tunangnya sejak 21 Februari 2012, kata Misha, jodoh mereka untuk bergelar suami isteri kini semakin hampir.
"Insya-Allah, selepas menangguhkannya dua kali, saya dan Firos akan bernikah sebelum pertengahan tahun ini. Saya percaya, walaupun abah tidak sempat menyaksikan kami bersatu, dia telah merestui hubungan kami dan ikhlas menyerahkan saya untuk dijaga Firos sebelum menghembuskan nafas terakhir," katanya yang mengunci mulut untuk menyasarkan tarikh pernikahannya kerana bimbang ia tergelincir lagi daripada rencana mereka berdua.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: