Wednesday, January 29, 2014

Inisiatif pengurangan banduan di Sweden


PELABURAN besar oleh kerajaan Sweden bagi program-program pemulihan dan pencegahan dilihat antara faktor yang menyebabkan pengurangan pemenjaraan banduan di negara tersebut.


SEORANG hakim warganegara Sweden, Carin Westerlund menyatakan bahawa beliau jarang sekali teragak-agak untuk tidak menjatuhkan hukuman penjara ke atas penjenayah.
"Saya boleh memilih sama ada untuk meletakkan mereka di bawah tempoh percubaan atau mengarah melakukan khidmat masyarakat daripada mengurung mereka di dalam penjara," katanya yang bertugas di daerah Uppsala.
Walaupun demikian, beliau menegaskan tidak semua penjenayah menerima hukuman yang sedemikian.
"Jika kita berbicara tentang kes-kes jenayah lain seperti rompakan, narkotik dan keganasan seksual, hukuman yang dikenakan masih tidak berubah semenjak 10 tahun lalu," jelas Westerlund.
Sungguhpun barisan hakim di negara berkenaan kian mengambil langkah dengan mengarahkan pemakaian gelang elektronik dan bentuk-bentuk hukuman alternatif dalam usaha mereka mengurangkan kadar banduan di penjara, Sweden masih menutup bilangan institusi hukuman yang ada. Langkah itu diteruskan walaupun kadar jenayah semakin meningkat.
Bersama-sama negara Nordic lain, kadar pemenjaraan di Sweden merupakan antara yang terendah di dunia dengan catatan 0.5 orang bagi setiap 1,000 banduan. Jumlah itu adalah separuh berbanding di Perancis dan 10 kali ganda lebih rendah daripada Amerika Syarikat.
Menurut Perkhidmatan Penjara dan Percubaan Sweden, populasi banduan di negara berkenaan telah turun hampir 1,000 orang kepada 4,300 orang banduan sejak sedekad lalu.
"Kami masih lagi mencari jawapan mengenai persoalan ini namun ia masih terlalu awal untuk memberikan jawapan yang tepat," ujar ketua perkhidmatan itu, Nils Oeberg.

PEMAKAIAN gelang elektronik pada banduan merupakan antara langkah pilihan institusi perundangan Sweden.


Bentuk hukuman
Jabatan Kriminologi, Universiti Stockholm menerusi satu kajian yang dilaksanakan baru-baru ini mendedahkan hukuman tanpa tahanan telah memainkan peranan penting dalam penurunan jumlah banduan.
Mengikut Kementerian Keadilan Sweden, pada tahun 2011, Mahkamah Agung Sweden telah mengeluarkan kriteria baharu bagi tuduhan mengedar dadah dan ini seterusnya meringankan lagi hukuman jenayah-jenayah yang lebih ringan.
Mahkamah Sweden juga lebih cenderung untuk memberikan parol selepas dua pertiga daripada hukuman penjara telah dijalankan.
Selain itu, satu lagi faktor yang mengurangkan bilangan banduan di penjara mungkin disebabkan oleh pelaburan besar yang dibuat dalam program-program pemulihan dan pencegahan pengulangan perbuatan jenayah oleh bekas banduan.
Seorang banduan berusia 38 tahun di Penjara Norrtaelje yang enggan mendedahkan namanya berkata, banduan di Sweden mempunyai akses terhadap pendidikan dan berpeluang memulakan kehidupan baharu selepas keluar dari penjara.
"Ini adalah kali pertama saya menjalani hukuman penjara dan berharap ini yang terakhir," katanya.
Kesan pengurangan
Menurut Majlis Pencegahan Jenayah Kebangsaan Sweden, jumlah pengurangan banduan tidak bersangkut paut dengan kadar jenayah di negara itu yang meningkat daripada 1.2 juta kesalahan pada tahun 2002 kepada 1.4 juta (2014).
"Peningkatan itu termasuk kenaikan ketara dalam jenayah dadah, penipuan dan serangan," katanya.
Kerajaan pusat Sweden telah berusaha untuk menjatuhkan hukuman setimpal ke atas jenayah berat seperti membunuh tetapi cadangan mereka bercanggah dengan badan kehakiman yang percaya bahawa kaedah pemulihan lebih berkesan daripada hukuman penjara.

RAMAI rakyat Sweden menyokong kaedah hukuman berbentuk pemulihan berbanding meletakkan banduan di dalam penjara.


Pendekatan yang lebih ringan ini disokong ramai rakyat Sweden namun ia juga telah mendapat kritikan terutamanya daripada Persatuan Sokongan Mangsa Kebangsaan.
"Hukuman penjara tidak lagi sekerap dahulu. Bagi pendapat saya, sebarang kes bunuh harus menerima hukuman penjara seumur hidup.
"Ini kerana keluarga mangsa mengalami kesedihan yang mendalam dan mereka merasakan tempoh hukuman penjara yang singkat yang dijatuhkan ke atas banduan terlibat tidak masuk akal," kata presiden persatuan berkenaan, Sven-Erik Alhem.
Ekoran pengurangan jumlah banduan, pada tahun 2013, sebanyak empat buah penjara dan satu pusat pemulihan daripada 82 institusi hukuman di Sweden telah ditutup.
Oeberg menjelaskan, kelima-lima pusat yang ditutup itu agak usang dan pelaburan yang tinggi diperlukan untuk mengekalkan operasinya.
"Selain itu, institusi-institusi yang masih kekal secara umum tidak penuh," ujarnya.
Sementara itu, Inspektor Penjara Norrtaelje, Anders Ekstroem berkata, hukuman penjara tempoh pendek yang dilaksanakan dalam bentuk tempoh percubaan dapat mengurangkan bilangan banduan di penjara.
Beliau bagaimanapun tidak merasakan pengurangan itu akan membawa kepada peningkatan keganasan atau menyebabkan dirinya kehilangan pekerjaan.
"Ia merupakan satu peluang yang baik untuk berusaha melaksanakan inisiatif pencegahan pengulangan jenayah dan mencari jalan yang lebih efektif dalam mengekalkan keamanan dan keselamatan sekeliling dalam tempoh panjang," katanya.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: