KUALA LUMPUR - Fenomena zaman ais mini yang diramalkan berlaku 40 tahun lagi berkemungkinan besar tidak akan melibatkan Malaysia kerana kedudukannya di garisan Khatulistiwa yang mempunyai penerimaan cahaya matahari yang banyak sepanjang tahun.
Pensyarah di Pusat Pengajian Sains Fizik, Universiti Sains Malaysia (USM) merangkap Penasihat Kelab Astronomi USM, Prof. Madya Chong Hon Yew berkata, fenomena itu berlaku apabila aktiviti matahari berada di tahap yang minimum menyebabkan tompok letusan solar pada permukaan matahari berkurangan dan matahari menyejuk.
"Pakar matahari, Richard Harrison dari Makmal Rutheford Appleton di Oxfordshire, United Kingdom (UK) pernah menyatakan terdapat kebimbangan suhu (matahari) boleh jatuh begitu rendah, malah dalam tempoh kajiannya selama 30 tahun, beliau tidak melihat keadaan seperti itu dan ini merupakan sesuatu yang pelik.
"Pakar astronomi memerlukan lebih banyak masa untuk mengkaji perubahan ini dan saya tidak dapat memberikan ramalan negara mana yang akan terjejas kerana kita masih belum tahu fenomena itu benar-benar akan berlaku dalam tempoh 40 tahun akan datang ataupun tidak," katanya ketika dihubungi di sini semalam.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: