Friday, January 24, 2014

Rahsia kosmetik kayu gaharu

EEDI menunjukkan kayu gaharu yang mempunyai pelbagai khasiat.


MENYEDARI khasiat gaharu yang terhasil daripada pokok karas atau nama botaninya, Aquilaria malaccensis Lamk, Min’s Agarwood memperkenalkan pelbagai rangkaian produk kosmetik yang dihasilkan menggunakan bahan tersebut.
Min’s Agarwood dimiliki oleh Classified Resources Sdn. Bhd. (Classified Resources), merupakan satu-satunya syarikat bumiputera yang membangunkan produk berasaskan gaharu di Kelantan.
Lebih menarik, syarikat itu juga terlibat dalam projek penanaman dan pembangunan pokok karas.
Menurut Ketua Pengarah Eksekutifnya, Eedi Sann, syarikat tersebut telah menceburi bidang pembangunan gaharu sejak beberapa tahun lalu yang memfokuskan projek-projek di Kelantan.
“Pada tahun 2007, bekas Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Aziz Nik Mat melancarkan projek Koridor Depu. Ia ternyata menarik minat ramai penduduk di negeri ini untuk menyertai projek tersebut.
“Bagaimanapun, projek itu gagal menepati sasaran. Pokok-pokok karas atau lebih popular di negeri ini sebagai depu, terbiar begitu sahaja,” katanya.
Bagi melestarikan semula pembangunan gaharu di negeri ini, Classified Resources mengambil alih projek tersebut dengan membantu peserta projek memahami kebaikan, khasiat dan pemasaran hasil daripada pokok tersebut.
Pokok-pokok yang ditanam sewaktu projek tersebut dilancarkan sudah berusia enam hingga tujuh tahun dan sedia dituai hasilnya.
Hasil-hasil tersebut dibeli oleh Classified Resources untuk diproses menjadi pelbagai produk yang bernilai tinggi.
Gaharu mempunyai permintaan tinggi di dalam dan luar negara ekoran khasiatnya.
PROSES ini untuk mendapatkan minyak gaharu.


Projek gagal
Menurut Pengarah Pemasarannya, Minaa Mumtaz, ramai peserta projek Koridor Depu tidak tahu mengenai khasiat pokok tersebut secara menyeluruh.
“Kebanyakan mereka mengambil benih dan menanamnya di belakang rumah dan kemudiannya apabila projek tersebut gagal, pokok-pokok tersebut terbiar begitu sahaja.
“Kami secara tidak langsung membantu mereka memperoleh pendapatan daripada hasil penanaman mereka untuk dimanfaatkan oleh semua orang,” katanya.
Selain meneruskan projek Koridor Depu, Classified Resources turut menceburi bidang perladangan gaharu bagaimanapun, hasilnya masih belum boleh dituai.
Katanya, produk yang dihasilkan dijamin tidak mempunyai bahan kimia yang boleh memberi kesan kepada pengguna.
“Kami mahu mengekalkan keasliannya termasuk tiada penggunaan bahan kimia di dalam komposisinya.
“Terdapat 50 peratus sehingga 80 peratus gaharu diletakkan di dalam setiap produk dan ia diproses hasil kerjasama Biotech Kelantan,” katanya.
Antara produk yang dikeluarkan Min’s Agarwood ialah minyak gaharu, scrub badan dan rambut, teras gaharu, air mandian, minyak urut dan beberapa produk lagi.
Kepada yang berminat untuk mendapatkan produk tersebut, hubungi talian 09-746 2346 atau e-mel kepada minsagarwood@gmail.com.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: