Thursday, January 30, 2014

Salur maklumat segera dan berkesan



INDUSTRI pengangkutan teksi merupakan antara penyokong utama sektor pelancongan negara memandangkan ia secara tidak langsung menjadi 'duta kecil' kepada para pelancong, sama ada tempatan mahupun asing, ketika mengembara di ibu kota.
Selaras dengan inovasi teknologi pada masa kini, satu sistem pengiklanan digital menggunakan teknologi sistem wayarles, SmartaxiAds, bakal diperkenalkan sebagai satu langkah transformasi industri tersebut.
Menurut pengguna perkhidmatan teksi yang juga merupakan seorang jurukamera bebas dari Kuala Lumpur, Shahrul Nazmi Mat Sahar, 27, pembaharuan itu dilihat sebagai satu langkah penting yang mampu mengangkat kualiti perkhidmatan yang disediakan.
“Saya boleh dikategorikan sebagai pengguna kerap pengangkutan awam ini kerana ia memudahkan pergerakan saya di sekitar bandar raya Kuala Lumpur. Selain dapat menjimatkan minyak dan tenaga sekiranya memandu sendiri, kehadiran pemandu yang peramah menjadikan perjalanan ke destinasi yang dituju tidak membosankan.
“Pengenalan SmartaxiAds ini saya pasti akan menambahkan suasana di dalam teksi agar tidak sunyi dan kekok. Ia mampu menyediakan topik perbualan antara pemandu dan penumpang,” katanya ketika ditemui Infiniti di KL Sentral baru-baru ini.

DARI kiri: Muhammad Reduan, Aslah dan Arham ketika di majlis pemeteraian perjanjian persefahaman antara Gigalink Solutions dengan Destination Transport berkenaan pengenalan SmartaxiAds di Kuala Lumpur baru-baru ini.


Tambahnya, sistem tersebut dapat memberi manfaat kepada penumpang teksi yang datang dari pelbagai tempat untuk memperoleh maklumat-maklumat terkini.
Bagi pengusaha teksi, Shamsuddin Jamaluddin, antara manfaat terbesar pemasangan SmartaxiAds dalam kenderaan itu adalah penyediaan saluran data komunikasi dengan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD).
“Jika berlaku kejadian yang tidak diingini seperti rompakan, kerosakan atau kehilangan teksi, pihak berkuasa boleh mengesan kedudukan kenderaan melalui cip keselamatan yang dipasang pada peranti pengiklanan tersebut,” jelas lelaki yang juga Setiausaha Persatuan Pemandu Teksi KL Sentral ini.
Sistem SmartaxiAds merupakan ilham syarikat terbitan Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Gigalink Solutions Sdn. Bhd. (Gigalink Solutions) dalam usahanya memperbaiki mutu perkhidmatan pengiklanan pada pengangkutan awam di negara ini.
Tingkat mutu perkhidmatan
Menurut Ketua Pegawai Eksekutifnya, Muhammad Reduan Abd. Lah Sani, sistem tersebut membolehkan penumpang dan pemandu teksi mendapat maklumat-maklumat terkini melalui kempen-kempen atau pengiklanan yang disediakan seperti kempen Tahun Melawat Malaysia 2014 (TMM 2014), di samping memberikan pendapatan tambahan kepada pengusaha teksi terlibat.
“Teknologi pintar ini dicadangkan kepada syarikat pengangkutan, Destination Transport Sdn. Bhd. (Destination Transport) sebagai pemacu perniagaan mereka di masa hadapan.

KANDUNGAN digital dipaparkan di skrin sesentuh yang terletak di bahagian belakang penyandar kepala kerusi penumpang hadapan.


“Perkhidmatan interaktif ini secara tidak langsung mampu menaikkan mutu perkhidmatan agar setanding dengan negara-negara maju yang mempunyai kemudahan ini,” katanya ketika ditemui di majlis pemeteraian perjanjian persefahaman antara Gigalink Solutions dengan Destination Transport bagi penyediaan SmartaxiAds di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Turut hadir pada majlis berkenaan ialah Presiden Persatuan Pengusaha Teksi dan Kereta Sewa Wilayah Persekutuan, Selangor yang juga Pengerusi Destination Transport, Datuk Aslah Abdullah dan Timbalan Pengarah (Inovasi), Pusat Inovasi dan Pengkomersialan UTM, Prof. Dr. Arham Abdullah.
Muhammad Reduan menjelaskan, sistem pengiklanan digital yang menggunakan teknologi terkini itu telah dipasang pada 50 buah teksi Destination Transport di sekitar Lembah Klang dengan operasi dijangka bermula pada pertengahan Februari ini.
Akses maklumat
Muhammad Reduan berkata, pelbagai maklumat dapat disalurkan dengan cepat dan berkesan melalui SmartaxiAds yang menggunakan teknologi pengkomputeran awan dan jalur lebar tanpa wayar sebagai medium pelaksanaannya.
“Sistem ini dilengkapi dengan sebuah skrin sesentuh paparan kristal cecair (LCD) berukuran 22.9 sentimeter yang dipasang di bahagian belakang penyandar kepala kerusi penumpang bahagian hadapan teksi.
“Kandungan-kandungan digital baharu kemudian akan dimuat naik pada paparan tersebut untuk tontonan penumpang. Selain daripada hanya memerhati, sistem ini turut memberi peluang kepada penumpang di tempat duduk belakang meneroka pelbagai maklumat dan iklan yang ditawarkan,” jelas beliau.

PEMASANGAN peranti SmartaxiAds dimulakan dengan 50 buah teksi Destination Transport.


Menjelaskan cara-cara sistem berkenaan berfungsi, katanya, SmartaxiAds akan memaparkan iklan-iklan yang terkandung secara automatik sebaik sahaja penumpang membuka pintu teksi.
“Sistem iklan akan dihentikan sebaik sahaja pemandu menyahaktif meter tambang di destinasi yang dituju,” ujar beliau.
Dalam usaha untuk mengembangkan lagi perkhidmatan yang ditawarkan, Muhammad Reduan berharap agar lebih banyak pihak termasuk agensi kerajaan, badan berkanun mahupun syarikat swasta akan memberi sokongan dan memaparkan kandungan digital menarik dan bermanfaat kepada pelanggan.
“Medium pengiklanan ini dipercayai akan memberikan satu pengalaman baharu kepada para penumpang teksi.
“Selain itu, penyediaannya tidak akan mengganggu pemanduan kerana pemandu teksi tidak terlibat secara langsung dalam mengendalikan sistem SmartaxiAds ini,” jelasnya sambil memberitahu tiada caj tambahan dikenakan kepada penumpang yang mengakses sistem pengiklanan tersebut.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: