Monday, January 27, 2014

'Bayi pertama' Mizz Nina

MIZZ NINA mengakui tidak kesal dengan tindakannya yang kini mahu meninggalkan dunia nyanyian.


PENYANYI Mizz Nina mula mengambil keputusan berhijab selepas pulang daripada menunaikan ibadah haji di Mekah pada 25 Oktober tahun lalu bersama suaminya vokalis kumpulan Hujan, Noh Salleh.
Terkini, Mizz Nina, 34, melalui satu lagi fasa baharu apabila mengambil keputusan untuk berhenti menyanyi pula.
Anak kepada Pengerusi Kumpulan AmBank Malaysia, Tan Sri Azman Hashim itu mengakui mahu berhenti menyanyi untuk memberi fokus pada ibadah dan juga perniagaannya.
Berangkat ke Mekah mengerjakan umrah bersama suami dan keluarga pada hari ini (Isnin), Mizz Nina juga berkongsi mengenai rasa hati apabila mengambil keputusan meninggalkan kerjaya nyanyiannya. Selain itu, Mizz Nina turut menyebut tentang ‘bayi pertama’nya.
Ikuti lanjut temu bual Kosmo! bersama Mizz Nina atau nama ringkasnya, Nina ketika ditemui pada upacara Bengkel Hari Hijab Sedunia bersama jenama Muslimahnya, Madeena di Petaling Jaya, Selangor, Sabtu lalu.
Kosmo!: Kenapa Mizz Nina mengambil keputusan mahu berhenti menyanyi?
MIZZ NINA: Ini adalah perkara baharu yang saya dapati dan fahami selama saya menuntut ilmu daripada beberapa ahli agama. Pengalaman yang pernah saya lalui selama ini juga memaksa saya untuk berubah. Selepas ini saya akan mengurangkan aktiviti nyanyian. Saya tidak akan membuat persembahan dalam kalangan penonton yang bercampur. Saya hanya akan membuat persembahan di hadapan penonton wanita sahaja.
Adakah Nina masih menerima tawaran menyanyi selepas berhijab?
Saya masih menerima tawaran menyanyi, namun saya tolak secara baik.
Adakah keputusan Nina ini dipengaruhi oleh sesiapa?
Tidak. Keluarga sentiasa menyokong apa yang saya lakukan. Begitu juga Noh, dia sentiasa menyokong keputusan saya.
FIGURA ini kini lebih memberi fokus kepada bidang perniagaan.


Nyanyian dan tarian sudah sebati dengan Nina sebelum ini. Jadi, adakah sukar bagi Nina untuk membuat keputusan ini?
Terpulang kepada sama ada anda mahu fokus dunia atau akhirat. Saya sendiri sudah puas melalui zaman tersebut dan saya tidak menyesal meninggalkan bidang nyanyian.
Sekarang saya mahu fokus pada ibadah dan juga perniagaan pakaian Muslimah iaitu Madeena.
Sebelum ini Nina ada membuat perniagaan pakaian dalam talian iaitu Mizz De Menor. Bagaimana dengan perniagaan yang menonjolkan pakaian dengan imej funky itu?
Sekarang ini ia dalam proses menghabiskan stok. Selepas itu, jenama Mizz De Menor akan ditutup dan saya akan fokus pada jenama Madeena yang memfokuskan kepada pakaian Muslimah pula.
Ceritakan sedikit mengenai bengkel Madeena hari ini dan apa perancangan lain untuk mengembangkan lagi perniagaan pakaian Muslimah ini?
Buat masa ini Madeena hanya dijual menerusi dalam talian. Pada masa yang sama saya juga sedang mencari kedai untuk Madeena. Madeena menjual pakaian, skaf dan akan datang saya akan menjual kosmetik pula. Bengkel pada hari ini pula dilakukan sempena Hari Hijab Sedunia. Peserta yang hadir berpeluang mendengar taklimat cara pemakaian tudung mengikut bentuk wajah daripada perunding imej Top2ToeStyliesta, Emi Idura.
Selain Madeena, apa lagi projek lain yang akan Nina lakukan?
Saya dan rakan ada menubuhkan sebuah syarikat produksi bernama Big Fish Media. Syarikat tersebut saya anggap seperti bayi pertama saya. Ia sudah diusahakan sejak setahun setengah yang lalu dan buat pertama kalinya syarikat produksi saya akan menerbitkan sebuah rancangan TV untuk kanak-kanak seperti program TV Hi-5 di Australia. Untuk permulaan program 13 episod itu akan dibuat dalam bahasa Melayu dan kemudiaannya ia akan dibuat dalam bahasa Inggeris pula.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: